Kata orang, terdapat cerita di sebalik setiap karya seni.
Sempena sambutan kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), syarikat seni tempatan, The Culture Story, telah melancarkan pameran, Artist’s Proof: Singapore at 60, yang mengetengahkan lebih 90 karya seni oleh 50 pelukis.
Setiap lukisan melambangkan sebahagian identiti Singapura sambil mengimbau kembali kenangan terindah dan kisah peribadi warga tempatan.
Diadakan di galeri seni ArtSpace @ HeluTrans di 39 Keppel Road, pameran itu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat secara dekat koleksi peribadi Encik Chong Huai Seng, pengasas bersama The Culture Story yang juga pengumpul karya seni tempatan.
Ia juga memberi perspektif baru kepada pengunjung untuk meneroka sejarah Singapura melalui lensa kreatif para pelukis berbilang generasi dan budaya.
Berkongsi kepada pihak media, Encik Chong berkata:
“Setiap karya seni yang dipamerkan menyimpan kisah tersendiri. Ia menunjukkan bahawa seni merupakan salah satu cara untuk merakam cerita atau memori.
“Pameran ini seperti surat cinta saya buat Singapura – satu gambaran mengenai individu, tempat atau kenangan yang membentuk saya dan juga negara ini.”
Seramai lima pelukis Melayu turut terlibat dalam pameran yang berlangsung hingga 17 Ogos itu.
Mereka termasuk pelukis, Hilmi Johandi dan Khairulddin Wahab; pereka seni muda, Israfil Ridhwan; artis berbilang disiplin dan kurator, Zulkhairi Zulkiflee; serta pelukis batik mapan, Sujak Rahman.
Bagi Sujak, kededua lukisannya yang dipilih untuk pameran itu melambangkan dua fasa yang cukup berbeza dalam kehidupannya.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai karya seni yang dipamerkan, Sujak berkata karya Neighbours (1978) mengisahkan tentang kehidupan zaman mudanya menetap di rumah sewa di estet Jurong.
Lukisan Return (2000) pula menceritakan tentang identitinya sambil bermimpi tentang masa silam dan masa depannya.
“Sebagai seorang pelukis, saya telah mereka teknik, ‘Temasek Batik’, iaitu gabungan ciri-ciri tradisional dan bahan seni kontemporari. Saya menganggap teknik ini sebagai batik Singapura.
“Batik merupakan sebahagian identiti warga Singapura, dengan karya seni saya adalah sumbangan saya kepada budaya seni Singapura,” kongsi Sujak, yang kini giat mengajar teknik, ‘Temasek Batik’ itu kepada generasi muda.
Bagi Hilmi pula, peluang melibatkan diri dalam pameran itu merupakan satu penghargaan.
Karya seni yang diketengahkan pula merupakan dari awal pembabitannya dalam bidang seni halus.
“Karya saya sentiasa bermula dengan gambar sedia ada.
“Salah satu karya seni saya mengambil rujukan gambar arkib dari era 1950-an dan 1960-an, terutamanya daripada filem Tan Sri P. Ramlee.
“Terdapat juga karya saya, Great World City; New World (2017), yang mengambil ilham dari era 1970-an, di mana terdapat taman hiburan yang kini tidak lagi wujud.
“Saya suka bagaimana sesebuah karya seni mungkin mempunyai makna tersendiri pada zaman itu tetapi boleh ditafsirkan semula dengan cara berbeza dalam konteks kini atau pada masa hadapan,” kongsi Hilmi, yang mempamerkan tiga lukisan bagi pameran itu.
Antara karya lain yang merupakan tumpuan utama dalam pameran tersebut termasuk arca gangsa mendiang Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang direka seniman asal Britain, Sydney Harpley, pada 1982.
Terdapat juga karya menarik seperti satu siri foto yang menggambarkan makanan harian warga tempatan mengikut Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) setiap keluarga di Singapura.
Karya unik yang diberi nama I’m Worth My Bread (2025) merupakan gabungan rekaan seniman, Stefan Chow dan Huiyi Lin.
Lawatan berpandu dan program khas untuk orang awam turut diadakan setiap hujung minggu sehingga penghujung tempoh pameran itu.
Menerusi pameran tersebut, para penganjur berharap pengunjung yang hadir akan dapat menghayati seni halus dengan lebih dekat, menggalak lebih ramai orang supaya mengumpul pelbagai karya seni dan memartabatkan budaya seni tempatan.
BUTIRAN PAMERAN
Tempat: ArtSpace @ HeluTrans, 39 Keppel Road, #01-05, Tanjong Pagar Distripark, Singapura 089065
Masa: Dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang
Tarikh: Hingga 17 Ogos
Masuk percuma
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg