Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilih jadi ejen hartanah, bukan kerana dikenali lantas mudah pancing pelanggan

Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Norseha Sani berkongsi perjalanan menjadi ejen hartanah.
Norseha Sani berkongsi perjalanan menjadi ejen hartanah. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Selepas menjual rumah ibu bapanya yang beliau ambil alih setelah bernikah, mantan pelakon tempatan, Norseha Sani, terpanggil untuk menceburi bidang hartanah.

“Semasa menjual rumah itu, saya turut membuat perkiraan saya sendiri walaupun kami mengambil ejen untuk membantu.

“Saya tergerak hati untuk membantu masyarakat kita yang ingin menjual rumah. Ada kalanya mereka tidak faham dan malu untuk bersuara demi mengetahui lebih lanjut tentang jual beli hartanah.

“Saya rasa saya ada kemahiran itu dan terus beritahu suami, saya ingin mendaftar dalam kursus tersebut,” kongsinya yang mengambil kursus Jurujual Hartanah (RES) pada 2019. 

Berpendapat ia bukan langkah mudah untuk menjadi ejen hartanah, Norseha memulakan perjalanan itu semasa hamil anak ketiga, namun hanya lulus peperiksaan itu selepas melahirkan anak keempat. 

“Antara cabaran utama adalah selepas menjalani kursus itu, terdapat tempoh dua tahun untuk anda menduduki dan lulus kededua kertas peperiksaan.

“Selepas mendapat lesen, anda juga perlu menghadiri kursus ‘refresher’ (ulang kaji) pada setiap tahun. Lantas, lesen untuk menjadi ejen hartanah ini amat berharga bagi saya,” kongsi beliau.

Norseha turut mengakui terdapat lebih ramai selebriti tempatan menceburi bidang hartanah. 

Antaranya termasuk juara Singapore Idol (musim pertama) Taufik Batisah, pelakon Lydia Izzati, mantan deejay radio Nona Kirana, pengacara Ainon Talib, dan kapten bola sepak pasukan Singa, Hariss Harun. 

Ditanya jika kedudukan sebagai orang yang dikenali lebih membuat kerjaya mereka lebih mudah, Norseha menyifatkan ia dapat membantu dari segi pemasaran, namun aspek lain mengenai hartanah itu kekal sama.

“Nama mereka sudah dikenali dan mereka mungkin sudah ada pengikut di media sosial. Jadi tidak perlu memasarkan diri mereka dengan begitu agresif.  

“Namun mereka tetap harus melakukan tugasan yang serupa dengan ejen lain yang kurang dikenali. 

“Sejujurnya, ia bergantung pada cara mereka memahami keperluan klien itu dan jikalau mereka komited dan mempunyai minat dalam bidang ini,” tambahnya. 

Setelah menjadi seorang ibu, Norseha turut bimbang untuk mencari pekerjaan dengan waktu pejabat kerana ingin memberi keutamaan pada anak-anaknya. 

Walaupun mengakui kerjaya yang dipilih lebih fleksibel dengan jadual yang diurus sendiri, beliau berkongsi ada kalanya klien mempunyai kemahuan tertentu.  

“Pengalaman saya tidaklah begitu banyak. Namun, kadangkala klien saya mempunyai kemusykilan mengenai hartanah mereka. 

“Sebagai ejen hartanah, saya tidak mahu mereka dibebani dengan rasa ragu. Biar saya yang tanggung ‘emosi berat’ itu dan memikirkan situasi terbaik untuk menyelesaikan masalah hartanah mereka,” jelas Norseha. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg