Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolar rai inovasi, cita rasa warisan sempena ulang tahun ke-100
Polar rai inovasi, cita rasa warisan sempena ulang tahun ke-100
Daripada karipap berkulit rangup hingga kepada gulungan kek manis atau Sugar Roll, sajian Polar Puffs & Cakes sudah menjadi sebahagian daripada kenangan zaman kanak-kanak beberapa generasi warga Singapura.
Kini, berusia 100 tahun, jenama bakeri halal tempatan itu terus memperbaharui tawarannya tanpa mengetepikan cita rasa warisan yang menjadi identitinya.
Sempena ulang tahun ke-100, Polar bekerjasama dengan cef dan usahawan sosial, Encik Benny Se Teo, bagi memperkenalkan dua hidangan berinspirasikan cita rasa tempatan.
Antaranya ialah Nonya Chicken Puff, $3.70, yang diinspirasikan daripada hidangan tradisional Peranakan, namun diolah menggunakan inti ayam berempah dan halia bagi memenuhi keperluan halal.
Turut diperkenalkan ialah ‘Nasi Ayam Cekur Bento’, $9.90, yang menampilkan ayam berperisa cekur, dihidangkan bersama nasi perang, acar dan keropok, di cawangan terpilih.
Pengerusi Eksekutif Polar, Dr Chan Kok Yew, yang merupakan pemilik generasi ketiga perniagaan keluarga itu, berkata pihaknya ingin terus memikat selera generasi baharu sambil memelihara warisan jenama tersebut.
“Selama 100 tahun, Polar berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan beberapa generasi warga Singapura, berkongsi detik harian, kenangan indah dan sambutan bersama keluarga mereka.
“Meskipun zaman dan cita rasa berubah, nilai kami tetap utuh. Mutu, harga berpatutan dan konsistensi sentiasa menjadi asas Polar,” ujarnya.
Ditubuhkan oleh Encik Chan Hinky pada 1926, Polar bermula sebagai sebuah kafe di 51 High Street sebelum berkembang menjadi rangkaian bakeri dengan cawangan di serata Singapura dan Malaysia.
Sebelum Perang Dunia Kedua, Polar telah memperkenalkan karipap bakar yang menggabungkan pastri berlapis berinspirasikan Perancis dengan inti bercita rasa tempatan.
Pada 2001, Polar memperoleh pensijilan halal, sekali gus membolehkan lebih ramai pelanggan daripada pelbagai masyarakat menikmati produknya.
Presiden Tharman Shanmugaratnam turut meraikan ulang tahun ke-100 Polar dengan menyertai upacara memotong kek, dalam majlis sambutan di Hotel Singapore Marriott Tang Plaza pada 19 November.
Sempena sambutan itu, Polar turut menyumbang $50,000 kepada inisiatif Yellow Ribbon sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam memberi peluang kedua kepada bekas pesalah.
Sejak 2004, Polar mengendalikan kemudahan pengeluaran pastri di Penjara Changi bagi menyediakan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran kepada banduan.
“Aspirasi kami mudah, iaitu memelihara warisan dan tradisi yang telah meraih kasih sayang beberapa generasi, sambil menyambut masa depan dengan kemesraan, kreativiti dan matlamat yang jelas.
“Yang paling penting, kami berharap Polar akan terus mendapat tempat istimewa di hati warga Singapura, baik muda mahupun tua, untuk beberapa generasi akan datang,” tambah Dr Chan.