Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menyiasat seorang pemandu yang mengambil gambar dan video pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang didakwanya mempunyai “sikap buruk” pada 12 Ogos.
Pemandu itu juga menyiarkan gambar dan video itu di kumpulan Facebook Complaint Singapore pada 13 Ogos.
Dalam catatannya di Facebook (FB), pemandu itu berkata beliau memandu melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan sedang bercakap dengan isterinya “mengenai beberapa kejadian” sekitar 12:30 tengah hari pada 12 Ogos apabila pegawai itu didakwa bertanya sama ada pasangan itu bercakap mengenainya.
Pemandu itu juga mendakwa bahawa pegawai itu memintanya untuk “menurunkan tingkap keretanya” walaupun tingkap itu sudah diturunkan.
Kemudian, pemandu itu mendakwa beliau diminta pergi ke pejabat ICA di pusat pemeriksaan, di mana beliau merasa telah “membazir 30 minit hanya kerana tidak menjawab seperti yang diharapkan” oleh pegawai ICA. Pemandu itu juga berkata beliau cuba menjelaskan beliau tidak bercakap mengenai pemandu itu semasa bercakap dengan isterinya dalam kereta.
Pemandu itu juga melampirkan beberapa gambar dan video pegawai itu pada muatan FB itu di mana pegawai itu boleh dilihat bercakap di telefon.
Memberi respons, ICA berkata dalam catatan Facebook 15 Ogos bahawa ia tahu mengenai kiriman media sosial tersebut dan telah menjalankan siasatan ke atas kes itu.
“Siasatan kami menunjukkan pemandu itu membuat kenyataan yang tidak wajar apabila pegawai kami mengarahkannya untuk menanggalkan pelindung tingkap penumpang sebelah kanan semasa pelepasan imigresen berlepas. Pemandu itu juga mengambil gambar dan video pegawai kami ketika pegawai menghubungi penyelianya untuk melaporkan insiden,” tulis ICA.
ICA menambah bahawa pemandu itu kemudiannya dirujuk ke Pejabat Bertugas di mana beliau diberi amaran keras selepas “mengakui mengambil gambar dan video di dalam premis pusat pemeriksaan” dan “bersetuju untuk memadamkannya”.
Kes itu telah dirujuk kepada polis selepas ICA mendapati pemandu itu memuat naik gambar dan video dalam talian.
“Pegawai ICA di pusat pemeriksaan menjalankan tugas mereka untuk menjaga sempadan Singapura. Orang yang melalui pusat pemeriksaan diingatkan supaya memberi kerjasama dan mematuhi arahan. Juga adalah satu kesalahan untuk mengambil gambar atau video di dalam premis pusat pemeriksaan, yang merupakan Kawasan Terlindung, tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu,” tambah ICA.
Mereka yang didapati bersalah mengambil gambar kawasan perlindungan tanpa kebenaran boleh didenda sehingga S$20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg