KUALA LUMPUR: Poster filem Duyung: Legenda Aurora yang menerima pelbagai kritikan sejak dilancarkan baru-baru ini, rupa-rupanya sekadar gimik promosi sebelum poster sebenar dengan rekaan grafik lebih kemas dan berkualiti diperkenalkan.
Pengarahnya, Profesor Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen, 60 tahun, berkata poster yang tular dan menjadi bualan netizen itu adalah sebahagian daripada pendekatan pemasaran berbeza bagi menarik perhatian penonton ke pawagam.
“Poster itu memang gimik. Kami mahu penonton lebih peka dan beri perhatian. Kami mahu rakyat Malaysia menonton dan bercakap mengenai filem ini.
“Apabila poster seperti itu dikeluarkan, yang memuji mungkin seorang dua, tetapi yang mahu mengkritik memang ramai menunggu.
“Jadi, kami gunakan pendekatan psikologi songsang,” katanya.
Datuk Razak berkata pihak penerbit sudah merancang untuk mengeluarkan poster baru yang lebih menepati jangkaan penonton, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Daripada pihak penerbit, iaitu KRU Studios dan Primeworks Studios (PWS), memang sudah dimaklumkan bahawa poster baru akan dikeluarkan.
“Jadi, yang tular itu hanya umpan atau gimik promosi,” katanya ditemui pada sidang media dan tayangan perdana filem berkenaan di GSC Lalaport Bukit Bintang pada malam 17 Disember.
Mengulas lanjut, Datuk Razak menjelaskan aspek pembikinan poster bukan di bawah bidang kuasa pengarah, sebaliknya ditentukan sepenuhnya oleh pasukan pemasaran yang dilantik penerbit.
“Dalam industri perfileman, tugas pengarah adalah menghasilkan filem. Poster dan teaser bukan dibuat oleh pengarah.
“Bagi mana-mana filem sekalipun, pengarah tidak terbabit dalam penghasilan poster kerana ia tanggungjawab bahagian pemasaran di bawah penerbit eksekutif. Namun, perkara ini sering disalah faham,” katanya.
Datuk Razak yang terbabit dalam dunia pengarahan sejak 1997 bagaimanapun mengakui tidak ambil hati dengan kritikan diterima.
“Orang yang memahami bisnes perfileman tahu perkara ini. Di Hollywood atau Bollywood juga sama, ada pasukan pemasaran yang menguruskan aspek promosi.
“Saya memilih untuk berdiam diri kerana mereka yang berilmu akan faham maksud sebenar di sebalik strategi ini,” katanya.
Sebelum ini, poster Duyung: Legenda Aurora menerima kritikan pelbagai pihak, khususnya berkaitan rekaan grafik yang didakwa tidak memenuhi standard tertentu.
Perhatian turut terarah kepada poster yang memaparkan teraju utama, Anna Jobling, apabila tona warna digunakan disifatkan suram dan kurang menyerlah.
Duyung: Legenda Aurora adalah sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan lebih moden dan sentuhan visual lebih segar.
Dihasilkan KRU Studios bersama 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi itu dijadualkan menemui penonton pada 25 Disember ini.
Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon asal seperti Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani dan Yassin Yahya, selain dibantu pelakon baharu termasuk Anna Jobling dan Ayie Floor88.
Turut membuat penampilan khas ialah Datuk Yusry Abdul Halim serta kumpulan Zero yang dianggotai Syaiful, Sharif dan Atu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg