Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrasekolah inklusif semai empati, galak sikap berdikari
Nilai bantu kanak-kanak apabila masuk ke alam sekolah, masyarakat umum
Prasekolah inklusif semai empati, galak sikap berdikari
Kanak-kanak yang belajar dan bermain bersama rakan sekelas yang mempunyai keupayaan berbeza secara semula jadi menyemai empati, rasa hormat dan pemahaman bahawa setiap insan mempunyai kekuatan dan cabaran berbeza.
Menyatakan demikian, guru kanan di prasekolah inklusif pertama di Singapura, Kindle Garden, Cik Nur Allysha Osman, berkata nilai-nilai itu kekal bersama mereka apabila mereka melangkah ke alam persekolahan, dunia pekerjaan dan masyarakat yang lebih luas kelak.
“Pendidikan inklusif bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak secara individu, malah turut membantu membina masyarakat apabila perbezaan diterima, semua orang berasa bahawa mereka mempunyai tempat, dan orang ramai bersedia memberi ruang kepada satu sama lain untuk mengambil bahagian secara bermakna,” ujar guru Bahasa Inggeris berumur 25 tahun itu.
Prasekolah di Enabling Village di Lengkok Bahru itu diasaskan pada 2016 dan menyediakan sekitaran untuk kanak-kanak berkeperluan khas, seperti autisme dan palsi serebrum belajar dan bermain bersama rakan sebaya yang ‘neurotipikal’ atau normal.
Dikendalikan oleh agensi perkhidmatan sosial AWWA, ia memastikan nisbah 70:30 antara kanak-kanak yang berkembang secara tipikal dengan kanak-kanak berkeperluan khas.
Pada Mac, prasekolah tersebut mengurangkan yuran sebanyak 50 peratus ke $900, bagi menarik lebih ramai kanak-kanak.
Ini setelah kemasukan tahunan turun daripada sekitar 70 kepada 50 kanak-kanak.
Jumlah pendaftaran yang lebih rendah secara keseluruhan bermakna lebih sedikit tempat tersedia untuk kanak-kanak kurang upaya, walaupun prasekolah tersebut menerima pertanyaan untuk lebih 100 kanak-kanak berkeperluan khas setiap tahun.
Menurut Cik Nur Allysha, terdapat salah tanggapan bahawa prasekolah yang bersifat terangkum sama seperti persekitaran pendidikan khas, atau kebanyakannya berasaskan terapi.
Sebenarnya, pelajar di Kindle Garden meluangkan hari mereka melakukan banyak perkara yang sama seperti kanak-kanak di prasekolah lain, ujarnya.
Mereka belajar melalui bermain, meneroka konsep baru, berkawan dan mengambil bahagian dalam kegiatan berkumpulan.
Perbezaannya selalunya terletak pada penyesuaian yang dirancang dengan teliti di sebalik tabir.
“Sebagai contoh, guru mungkin menyediakan jadual visual, menyesuaikan bahan pembelajaran atau menyusun kegiatan dengan cara berbeza supaya lebih ramai kanak-kanak dapat mengambil bahagian dengan jayanya,” jelas Cik Nur Allysha.
Beliau menambah, sesetengah ibu bapa juga bimbang anak mereka mungkin tidak mendapat perhatian yang mencukupi jika kelas tersebut merangkumi kanak-kanak dengan keperluan berbeza.
Namun, Cik Nur Allysha menerangkan kelas di prasekolah itu sengaja dikekalkan dalam saiz lebih kecil dan guru merancang berdasarkan kekuatan serta keperluan setiap kanak-kanak, supaya setiap di antara mereka mendapat sokongan dan dapat berkembang dengan baik.
Memberi contoh, beliau berkata kanak-kanak mungkin berusaha mencapai hasil pembelajaran yang sama, tetapi menggunakan pendekatan berbeza berdasarkan kekuatan dan keperluan mereka.
Semasa pelajaran fonik misalnya, seorang kanak-kanak mungkin menyentuh (trace) huruf menggunakan bahan sentuhan, manakala seorang lagi menggunakan kad bergambar atau petunjuk visual tambahan.
Menurut Cik Nur Allysha, tidak sekadar belajar daripada guru, kanak-kanak ‘neurotipikal’ di prasekolah itu belajar daripada interaksi mereka dengan rakan-rakan berkeperluan tambahan.
Ini dilihat dalam detik-detik harian, seperti menunggu sedikit lebih lama untuk seorang rakan, mencari cara untuk memastikan semua orang dapat menyertai permainan, atau membantu rakan semasa waktu makan atau bermain di luar.
“Dalam kelas saya, saya telah melihat kanak-kanak melangkah lebih jauh dengan sengaja memikirkan perkara yang disukai oleh rakan sekelas mereka dan mencari cara untuk melibatkan mereka,” kongsi Cik Nur Allysha.
“Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang mempunyai keperluan tambahan gemar bermain dengan bola, jadi semasa waktu bermain di taman permainan, rakan-rakan sekelasnya akan secara aktif mencari bola dan mengajaknya menyertai permainan mereka.
“Apa yang bermula sebagai tindakan inklusif yang mudah telah menjadi sesuatu yang dilakukan secara semula jadi oleh mereka,” tambah beliau.
Bagi kanak-kanak dengan keperluan tambahan pula, pembelajaran dalam persekitaran terangkum membantu mereka membina keyakinan diri, mengembangkan sikap berdikari dan membentuk persahabatan yang bermakna.
Ia juga memberi mereka peluang untuk mengambil bahagian dalam pengalaman harian bersama rakan sebaya, yang membuat mereka berasa diterima, dihargai dan dapat ikut terlibat sama.
“Apa yang membuat saya kagum adalah sejauh mana persahabatan ini membentuk diri kanak-kanak.
“Saya telah melihat kanak-kanak berkeperluan tambahan menjadi lebih yakin kerana mereka mempunyai rakan-rakan yang menerima mereka tanpa teragak-agak,” kata Cik Nur Allysha.
“Pada masa yang sama, saya telah melihat kanak-kanak lain menjadi lebih penyayang dan memahami kerana persahabatan tersebut.
“Nilai-nilai ini sering kekal bersama kanak-kanak sedang mereka membesar,” tambahnya.
“
“Pendidikan inklusif bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak secara individu, malah turut membantu membina masyarakat apabila perbezaan diterima, semua orang berasa bahawa mereka mempunyai tempat, dan orang ramai bersedia memberi ruang kepada satu sama lain untuk mengambil bahagian secara bermakna... Sebagai contoh, guru mungkin menyediakan jadual visual, menyesuaikan bahan pembelajaran atau menyusun kegiatan dengan cara berbeza supaya lebih ramai kanak-kanak dapat mengambil bahagian dengan jayanya.”