Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Produk kecantikan tiruan Korea banjiri pasaran dunia

Nov 17, 2025 | 1:39 PM
produk kecantikan, tiruan, Korea
Krim jenama Sulwhasoo tiruan yang diimport secara haram dari China dan disenaraikan di laman e-dagang Korea sebagai produk asli. - Foto INCHEON REGIONAL CUSTOMS

SEOUL: Satu gelombang produk kecantikan tiruan Korea kini melanda pasaran dunia, dengan tiruan yang begitu sempurna sehingga ramai pengguna tidak menyedari mereka telah tertipu sehingga terlambat.

Pada 2025 sahaja, kerugian berkaitan pencurian harta intelek yang menyasarkan jenama kecantikan Korea telah melonjak kepada 22 bilion won ($19.7 juta).

Demikian menurut data Perkhidmatan Kastam Korea.

Ini mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 24 kali ganda berbanding 2024.

Kebanyakan produk tiruan tersebut berasal dari China, yang menyumbang kepada 99 peratus daripada semua penghantaran yang dikesan.

Pihak berkuasa mengatakan banyak produk palsu itu memasuki Korea melalui Amerika Syarikat.

Daripada semua produk tiruan yang dirampas antara Januari dengan September, 81 peratus (bernilai 17.8 bilion won) mengikuti laluan tersebut.

Bagi pengguna, bahaya tidak hanya terletak pada kerugian kewangan.

Produk tiruan sering kelihatan hampir sama dengan yang asli, tetapi kandungannya adalah satu teka-teki.

Sebagai contoh, versi tiruan daripada topeng kolagen popular daripada syarikat APR, hanya mengubah satu huruf dalam nama produk – ‘collagen’ menjadi ‘gollagen’ – sambil meniru pembungkusan dengan sangat teliti.

APR, syarikat teknologi-kecantikan terkemuka dari Korea, memberi amaran dalam satu kenyataan bahawa produk tiruan “tidak dapat dipastikan kandungannya,” yang boleh membahayakan kesihatan.

Kini, peniru bukan hanya menyasarkan jenama mewah sahaja. 

Jenama mewah daripada syarikat kecantikan terkemuka, Amorepacific, Sulwhasoo, menduduki tempat teratas dalam senarai kosmetik Korea yang paling banyak dipalsukan pada 2024, namun pada 2025, jenama bajet seperti Manyo telah mengambil alih.

Menurut data kastam, produk tiruan Manyo adalah yang paling kerap dirampas pada 2025 (952 unit), diikuti oleh Sulwhasoo (812 unit).

Pada penghujung September, polis China di Foshan telah menyerbu sebuah gudang yang menghasilkan produk tiruan daripada lima jenama penjagaan kulit Korea yang popular, termasuk Beauty of Joseon dan Skin1004.

Pihak berkuasa merampas 56,000 produk tiruan, yang bernilai satu bilion won mengikut harga runcit sebenar.

Serbuan itu merupakan yang terbesar melibatkan jenama Korea di China, ujar Agensi Perlindungan Harta Intelek Korea.

Para pakar industri menyatakan jenama baru, yang sering kekurangan sumber untuk memantau pasaran antarabangsa, sangat terdedah kepada risiko ditiru.

Dalam banyak kes, syarikat hanya mengetahui masalah tersebut selepas pelanggan melaporkan produk yang mencurigakan di luar negara.

Kastam Incheon di Korea baru-baru ini menangkap seorang penjual dalam talian pada September.

Penjual itu mengimport secara haram lebih daripada 7,000 produk tiruan buatan China, disamarkan sebagai jenama Korea dan menjualnya di dalam negara pada harga kurang daripada separuh harga biasa.

Aduan daripada pengguna yang mendakwa kerengsaan kulit dan pembungkusan yang mencurigakan membantu mencetuskan siasatan tersebut.

Sebagai tindak balas, syarikat seperti Amorepacific mengatakan mereka sedang memperluaskan kerjasama dengan pihak berkuasa kastam di luar negara dan sedang mengambil tindakan undang-undang.

Pemerintah Korea Selatan merancang menubuhkan pasukan petugas awam-swasta pada 2026 untuk melindungi tanda dagangan kecantikan Korea dan meningkatkan pengesanan produk tiruan di sempadan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg