Bak kata pepatah, hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Oleh itu, sekiranya mahu warisan dan tradisi kita terus membara dan berakar, serta sebati dengan jati diri anak, pendedahan awal amat penting, terutama dalam dunia serba pesat berubah hari ini.
Ibu bapa digalak menyediakan pengalaman dan kegiatan bagi memupuk minat anak terhadap seni tradisional Melayu, termasuk lawatan ke pusat budaya atau bermain permainan tradisional Melayu.
Pendekatan menyeluruh itu memastikan anak membesar dengan jati diri yang kukuh sambil menguasai kemahiran dunia hari ini.
1) Lawatan budaya
Ibu bapa digalak membawa anak ke pusat budaya seperti Taman Warisan Melayu untuk melihat pameran mesra keluarga, menghadiri sesi bercerita serta menyertai bengkel interaksi yang dapat menjadikan sejarah dan kesenian warisan kita lebih hidup.
Lawatan sebegitu memberi inspirasi dan pengalaman langsung tentang sejarah dan warisan kita.
2) Kunjungan ke kedai tradisional dan persatuan silat
Kunjungi kedai yang menjual pelbagai kain tenunan tradisional seperti batik dan songket di Kampong Gelam.
Selain itu, kunjungi persatuan silat atau kelab masyarakat yang menganjurkan persembahan kebudayaan serta kelas untuk menghayati budaya yang sebenar secara langsung.
3) Kegiatan muzik dan tarian
Belajar menyanyi lagu rakyat Melayu dan menari mengikut rentak tradisional, dapat memupuk kemahiran bahasa, pergerakan motor serta mengeratkan hubungan dengan budaya kita.
Kegiatan sebegitu amat sesuai dilakukan di rumah dan di sekolah di samping membantu kanak-kanak memahami nilai seni dalam kehidupan seharian.
4) Main permainan Melayu bersama anak
• Batu seremban: Latih koordinasi tangan dan mata melalui lambungan dan kutipan batu kecil
• Lompat getah: Uji ketangkasan dan kekuatan fizikal dengan melompat getah yang direntang dan ketinggiannya dinaikkan secara berperingkat
• Congkak: Asah kemahiran berfikir dan melakar strategi menggunakan papan berlubang dan guli atau butang
• Main Ular Naga: Kegiatan berkumpulan yang meniru pergerakan ketua dan menggalakkan kerjasama
• Congkak Batu: Uji ketepatan dan tumpuan dengan melontar batu ke sasaran
Pendedahan awal kepada warisan dan tradisi turut mahu dicapai sukatan pelajaran Tadika di Masjid, atau lebih dikenali sebagai Mosque-Based Kindergartens (MBK).
Di MBK, seni batik, silat, kraf, serta permainan tradisional diperkenalkan kepada kanak-kanak untuk mengasah kemahiran asas, dan sekali gus memupuk rasa cinta terhadap budaya dan warisan kita.
Untuk seni batik misalnya, kanak-kanak berpeluang mengenali motif bunga dan geometri di kain batik asli, kemudian menghasilkan karya ‘batik’ tersendiri menggunakan pita pelekat dan cat air sambil mendengar lagu tradisional seperti, Selendang Mak Inang.
Kegiatan itu mengukuhkan identiti budaya dan mengajar konsep corak yang berkaitan dengan asas celik angka.
Seni silat pula, diperkenalkan melalui penceritaan dan video dan kanak-kanak dapat melihat pelbagai gaya pergerakan dan pakaian seragam pesilat.
Mereka juga berpeluang berlatih beberapa pergerakan asas seperti tumbukan, tangkisan dan membuka langkah.
Kegiatan itu membantu meningkatkan keyakinan diri, memupuk sikap bekerjasama sepasukan sambil menggalakkan gaya hidup aktif, mengukuhkan jati diri mereka dan kemahiran motor kasar.
Untuk kraf tradisional pula, bahan kitar semula digunakan untuk membuat trofi manakala kegiatan menganyam jalur kertas berwarna menggalakkan kreativiti dan kesedaran alam sekitar.
Permainan seperti capteh dan Nenek Si Bongkok Tiga pula, membantu perkembangan motor halus dan kasar, serta membentuk nilai sosial seperti kesabaran dan kerjasama.
Capteh menguji koordinasi mata dan tangan, manakala Nenek Si Bongkok Tiga menggabungkan lagu dan permainan kreatif.
Seni batik bukan sahaja memperkaya kreativiti.
Malah, ia mampu memupuk keupayaan celik nombor anak-anak kita melalui:
• Corak dan keseimbangan: Gunakan ilmu matematik dan bentuk geometri berulang seperti bentuk tiga segi, empat segi sama atau bulat bagi memahami keseimbangan dan perkadaran.
• Kurang dan perkadaran: Ukur kain dan membahagi ruang secara tepat untuk meletakkan corak mengikut susunan yang ditetapkan.
• Pengiraan dan penyusunan: Hitung bintik, garisan dan ulangan corak supaya konsisten. Ada rekaan yang mengulangi motif beberapa kali untuk menghasilkan kesan visual yang menarik.
• Campuran dan catuan warna: Imbangi pewarna, air atau bahan kimia sambil mengasah masa dan suhu secara matematik untuk menghasilkan rona warna yang diingini.
Seni silat membantu perkembangan kemahiran motor kanak-kanak melalui:
• Koordinasi dan keseimbangan: Latihan pergerakan seperti tendangan, pukulan dan posisi bertahan membantu meningkatkan koordinasi antara mata, tangan dengan kaki. Ia juga mengajar keseimbangan berat badan semasa menyerang dan mempertahankan diri.
• Kekuatan dan kelenturan: Pelbagai pergerakan seperti berpusing, membongkok, menendang dan melompat, menguatkan otot dan kelenturan badan.
• Kelajuan dan ketangkasan reaksi: Latihan silat akan menajamkan refleks dan kelajuan tindak balas kerana sebagai seorang pesilat, kita perlu membalas tindakan lawan dengan cepat. Ini akan meningkatkan kawalan motor halus dan kasar.
• Rentak dan ketepatan masa: Pergerakan silat disusun mengikut aliran, sama seperti menari, iaitu melatih ketepatan masa bertindak balas.
• Kesedaran tubuh badan: Ajar kesedaran kedudukan badan, lingkungan pergerakan badan dan kesedaran ruang di sekeliling mereka. Semua itu penting untuk pergerakan fizikal harian kita.
Penulis telah berkhidmat sebagai Pengetua Tadika Masjid Al-Istiqamah selama empat tahun. Beliau berkelulusan Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan telah berkecimpung dalam sektor pendidikan awal selama 27 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg