Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seni Melayu, minat layu?

Kumpulan seni terus tarik penggiat muda walau sukar tembusi generasi baru
Oct 26, 2025 | 5:30 AM
Kumpulan hadrah tempatan, Firqatul Wannazam 1921, bereksperimen dengan pelbagai pendekatan bagi menarik minat golongan muda. Di Singapura, terdapat hanya lima kumpulan yang masih mengamalkan seni ini.
Kumpulan hadrah tempatan, Firqatul Wannazam 1921, bereksperimen dengan pelbagai pendekatan bagi menarik minat golongan muda. Di Singapura, terdapat hanya lima kumpulan yang masih mengamalkan seni ini. - Foto MUHAMMAD SHAHID HARON

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Itulah ungkapan yang melambangkan keteguhan warisan seni Melayu yang diwarisi turun-temurun.

Namun, di tengah arus kemodenan dan pengaruh teknologi yang pesat berubah, minat generasi muda di Singapura terhadap seni tradisional Melayu dilihat semakin pudar. 

Kumpulan seni ini, yang dahulunya dapat menarik anak muda dalam jumlah yang memberangsangkan, kini berdepan dengan penyertaan yang berkurangan daripada golongan tersebut. 

Di sebalik usaha memelihara tarian, muzik dan persembahan berasaskan budaya ini, terdapat persoalan tentang sejauh mana seni dan warisan itu mampu terus berkembang dalam kalangan generasi masa kini.

Menurut beberapa kumpulan yang ditemu bual oleh Berita Minggu, antara cabaran yang mereka hadapi ialah pendanaan untuk menampung kos bagi menjalani program untuk terus melestarikan seni mereka.

Menurut Majlis Seni Kebangsaan (NAC), seni tradisional memainkan peranan penting dalam landskap seni dan budaya berbilang kaum Singapura yang unik.

Pengarah Seni Persembahan, Kumpulan Ekosistem Seni, di NAC, Cik Serene Lim, berkata ini kerana “seni tradisional menghubungkan kita dengan kisah serta warisan bersama”.

“Meskipun cita rasa penonton terus berubah, kami tetap komited untuk memelihara seni tradisional agar ia terus hidup dan berkembang maju.

“Bagi mencapai matlamat ini, NAC menyediakan sokongan menyeluruh kepada kumpulan dan penggiat seni tradisional Melayu, termasuk skim geran, penyediaan ruang seni, rakan kongsi serta penugasan khas,” jelas Cik Lim.

Tambahnya, NAC telah menyokong lebih daripada 50 kumpulan seni tradisional Melayu menerusi skim pembiayaannya sepanjang tiga tahun lalu.

Ini termasuk kumpulan Era Dance Theatre dan Nadi Singapura yang disokong melalui Skim Syarikat Utama (MC), serta projek seni tradisional Melayu seperti Gemadah – Festival Muzik Tradisional Melayu yang diusahakan Persatuan Pemuzik Tradisional Melayu Singapura, melalui Geran Persembahan dan Penyertaan.

Presiden kumpulan tarian Melayu, Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusof, berkata:

“Walaupun kami menerima dana daripada badan pemerintah, namun saya tidak pasti sejauh mana ia boleh membantu dalam masa jangka panjang.”

Dalam siri pertama sesi perkongsian bersama sekitar 50 penggiat dan pihak berkepentingan dalam bidang seni dan budaya Melayu di restoran Permata pada 17 September, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Yayasan Warisan Melayu (MHF) akan memainkan peranan lebih aktif bagi melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan, kumpulan dan penggiat kebudayaan demi melestarikan budaya dan warisan Melayu Singapura.

Ini supaya kumpulan berbeza dalam masyarakat dapat menyumbang idea dan cadangan untuk memartabatkan landskap budaya dan warisan Melayu di sini, tambahnya.

Dalam aspek memodenkan seni tradisional pula, penggiat budaya, Encik Muhammad Ilyia Kamsani, menyatakan beliau melihat ia bukan sebagai satu kompromi, tetapi menganggapnya sebagai satu evolusi.

“Ia (memodenkan seni tradisional) merupakan satu langkah penting untuk mengekalkan tradisi kita dan bukan sekadar untuk bertahan.

“Matlamatnya bukanlah untuk mengagungkan masa lalu, sebaliknya untuk melibatkannya secara aktif. Kesedaran seperti ini penting bagi mewujudkan budaya yang dinamik yang boleh difahami penonton masa kini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg