Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat beli-belah JB City Square diubah suai, tempatkan apartmen hotel, hab kesejahteraan

Nov 5, 2025 | 6:58 PM
Lakaran artis bagi Johor Bahru City Square yang diperbaharui.
Lakaran artis bagi Johor Bahru City Square yang diperbaharui. - Foto ALLGREEN PROPERTIES

Johor Bahru City Square, pusat beli-belah yang menjadi destinasi pertama dan terakhir buat ramai pengunjung rentas sempadan ke negeri Johor di selatan Malaysia, bakal menambah tawaran baru termasuk penginapan hotel serta hab kesihatan dan kesejahteraan.

Sebagai sebahagian inisiatif penambahbaikan asetnya, kerja pengubahsuaian pusat beli-belah itu telah bermula pada November dan dijangka siap pada suku keempat 2027, menurut pengurusan pusat beli-belah tersebut, Johdaya Karya, dalam kenyataan pada 3 November.

Pusat beli-belah itu dijangka kekal “beroperasi sepenuhnya” sepanjang tempoh transformasi berkenaan, tambahnya.

Dibina pada pertengahan 1990-an di pusat bandar Johor Bahru, ia terhubung dengan bangunan pemeriksaan, imigresen dan kuarantin Sultan Iskandar menerusi jambatan pejalan kaki.

Lokasinya yang strategik menjadikan pusat beli-belah ini tempat yang sering menjadi hentian pertama dan terakhir buat ramai pengunjung yang menyeberangi sempadan antara Johor Bahru dengan Singapura.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya semasa pandemik Covid-19 yang menutup sempadan antarabangsa buat sementara waktu, Johor Bahru City Square, telah berdepan dengan persaingan daripada pusat beli-belah baru yang lebih moden dan menarik, termasuk Mid Valley Southkey dan Paradigm Mall.

Antara penambahan utama yang diumumkan pada 3 November bagi pusat beli-belah yang sedang dinaik taraf itu ialah taman pengembaraan kanak-kanak seluas 15,000 kaki persegi, hab kesihatan dan kesejahteraan seluas 41,300 kaki persegi, serta apartmen hotel di atas bangunan pusat beli-belah sedia ada.

Pengarah eksekutif Olive Tree Property Consultants, Encik Tan Wee Tiam, berkata kepada akhbar The Straits Times (ST) hab kesejahteraan dan apartmen hotel itu berpotensi menjadi tarikan utama baru Johor Bahru City Square untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Johor Bahru.

“Selain makanan dan minuman atau menonton wayang, perkhidmatan kesejahteraan telah menjadi salah satu perkara wajib bagi pelawat dari Singapura ke Johor Bahru yang ingin memanfaatkan kelebihan kadar pertukaran mata wang,” katanya.

Beliau turut berkata dengan menambah pilihan perkhidmatan seperti pusat pelangsingan badan, kecantikan, urut, dan salun rambut, ia dapat menjadi langkah baik memandangkan pusat beli-belah berdekatan seperti KSL City telah menarik ramai pengunjung.

“Jika harganya ditetapkan secara berdaya saing atau sedikit lebih tinggi, City Square boleh menawarkan alternatif kepada pusat beli-belah lain,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg