Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penjagaan kanak-kanak berpandukan Islam di utara Singapura, pusat jagaan kanak-kanak, Cavenur Early Learning Centre, bakal membuka pintunya kepada kumpulan pertama murid pada Oktober.
Terletak di 558 Sembawang Road dan bersebelahan dengan kawasan perumahan banglo, pusat dua tingkat itu bertujuan memenuhi keperluan kanak-kanak seawal usia 18 bulan hingga kanak-kanak prasekolah berusia enam tahun.
Ia merupakan khidmat terkini di bawah jenama Cavenur dan diasaskan oleh pendidik veteran, Cik Haniah Abdul Hamid, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman mendidik, termasuk sebagai guru sekolah rendah, pensyarah, dan perunding kurikulum.
Cik Haniah, 57 tahun, sebelum ini menubuhkan tiga khidmat di Tampines – Cavenur Kindergarten pada 2009; pusat asuhan kanak-kanak Cavenur Ed-Venture pada 2019; dan kelas agama hujung minggu bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, Tuheedyn Weekend Islamic School pada 2022.
Pusat baru di Sembawang itu telah menerima pensijilan daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pada 24 Julai.
Dilengkapi dengan kemudahan lengkap bagi pembelajaran dan permainan, pusat itu mempunyai kawasan permainan luar, gelongsor, stesen permainan Lego, kawasan permainan air, serta ruang menunggang skuter dan kereta mainan.
Menurut Cik Haniah, yang juga pengarah pusat itu, sebahagian ruang di tingkat satu bangunan tersebut diperuntuk bagi kanak-kanak berusia 18 bulan hingga tiga tahun di peringkat playgroup dan Tajaka 1 (N1), dan mereka diperkenalkan kepada amalan Islam melalui rutin harian.
“Ini dilakukan seperti menyebut ‘Bismillah’, membaca doa ringkas, dan mendengar kisah Nabi.
“Kanak-kanak dapat belajar sambil bermain serta membina kemahiran sosial dengan nilai Islam secara semula jadi,” jelasnya.
Sebuah bilik berasingan di tingkat satu juga menyediakan ruang belajar bagi kanak-kanak berusia empat tahun di peringkat Tajaka 2 (N2) dengan tumpuan terletak kepada pembangunan keyakinan diri, komunikasi, pengenalan pada surah ringkas, serta nilai murni seperti kesabaran dan kesyukuran.
Di tingkat dua pula, kanak-kanak di peringkat Tadika 1 (K1) dan Tadika 2 (K2) masing-masing berusia lima dan enam tahun, dipersiap dalam menghadapi kemasukan ke sekolah rendah sambil memperkukuh nilai rohani.
Kegiatan yang ditumpukan termasuk konsep asas celik angka, bacaan Al-Quran, doa harian, serta perbincangan tentang adab dan nilai Islam.
Selain itu, terdapat ruang khas untuk permainan blok binaan, serta ruang yang membolehkan kanak-kanak boleh melakukan ‘role-play’ atau bermain peranan mengikut tema.
Sebagai contoh, untuk tema ‘hospital’, kanak-kanak boleh berpakaian seperti doktor dan menggunakan stetoskop mainan, sambil mempelajari perkataan berkaitan seperti ‘termometer’, ‘topeng oksigen’ dan ‘picagari’.
Tingkat dua juga mempunyai bilik khas bagi kegiatan melukis, dan ruang khas untuk mengambil wuduk.
Bagi Cik Haniah, pendidikan bukan sekadar mata pelajaran atau akademik, malah untuk mengenali dan memupuk kekuatan serta potensi unik setiap kanak-kanak.
“Kami tidak berhasrat untuk membina empayar sekolah, tetapi apa yang kami ingin lakukan ialah membangunkan kurikulum yang memberi kesan berkekalan dalam kehidupan kanak-kanak.
“Matlamat kami ialah untuk membimbing dan membentuk, sama ada dalam perkara kecil atau besar, kerana kami percaya setiap langkah membawa perbezaan bermakna,” ujarnya.
Cik Haniah menambah bahawa pusat baru itu bukan sekadar peluasan perniagaan, malah iltizam berterusan untuk menyediakan pendidikan bermutu, berpandukan iman, dan berteraskan kasih sayang kepada masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg