Apabila Nurul Shafilla Edora Abdullah beralih ke sekolah rendah, setiap perkataan dalam buku teks ibarat halangan besar yang sukar dilalui.
Ia membuatnya cepat berputus asa dan enggan cuba membaca.
Keadaan itu semakin menjejas keyakinannya, terutama apabila dia dibuli oleh rakan sekelas kerana kelemahannya itu, sekali gus membuatnya hilang minat untuk belajar.
Disahkan mengalami disleksia pada 2022 semasa berada di tadika, Shafilla, kini sembilan tahun, mempunyai kesukaran membaca dengan tepat dan lancar.
Ibunya, Cik Nur Shakirah Zainudin, memberitahu Berita Harian (BH) baru-baru ini bahawa beliau tertekan kerana tidak tahu bagaimana ingin membantu Shafilla dalam pelajarannya.
Apatah lagi beliau turut menggalas tanggungjawab membesarkan dua lagi anak – yang normal – pada masa yang sama.
Setelah lama bergelut untuk mendidik Shafilla di luar waktu sekolah, Cik Shakirah, 31 tahun, membuat keputusan mendaftarkan anak kedua tiga beradik itu untuk mengikuti kelas tuisyen peribadi.
Pilihan itu dipermudahkan apabila sepupunya mencadangkan Genius Mind Home Tuition, sebuah agensi tuisyen yang menyediakan sesi peribadi di rumah, dan turut menumpukan perhatian kepada keperluan kanak-kanak dengan perbezaan pembelajaran.
Oleh kerana Cik Shakirah merupakan seorang ibu tunggal, sepupunya menawarkan untuk menanggung bayaran tuisyen sebanyak $35 sejam, setiap Sabtu atau Ahad selama satu hingga dua jam, sepanjang kira-kira enam bulan dari pertengahan hingga hujung 2024.
Cik Shakirah, yang bekerja sebagai penggubah bunga di syarikat perancang acara, telah membesarkan Shafilla dan kakaknya, 11 tahun, serta adik lelakinya, enam tahun, secara sendirian sejak 2020.
Keluarga empat beranak itu menetap di flat sewa dua bilik di bahagian tengah Singapura.
Menurut Cik Shakirah, Shafilla, murid Darjah 3 di Sekolah Rendah Zhangde, yang terletak di Jalan Membina, kawasan Bukit Merah itu dipadankan dengan seorang tutor yang penyabar dan berpengalaman menangani kanak-kanak disleksia.
Sesi tuisyen, yang dijalankan di rumah sepupu Cik Shakirah di Yishun, memberi tumpuan pada mata pelajaran Bahasa Inggeris dan mendidik Shafilla dalam kebolehan membaca.
Shafilla, yang kelihatan pemalu dan pendiam, berkata dia teruja dengan sesi tuisyen kerana tutornya sangat membantu dan peramah.
Menurut Cik Shakirah, tutor Shafilla sangat memberi galakan dan sentiasa mencuba cara baru untuk membantunya menyebut perkataan tanpa meletakkan tekanan ke atasnya.
Sepanjang enam bulan itu, Cik Shakirah berkata beliau dapat melihat peningkatan dalam kemahiran membaca dan keyakinan Shafilla.
“Alhamdulillah, prestasi akademik Shafilla lebih baik berbanding tahun lepas (2024). Dia juga lebih cenderung membaca buku pada masa lapang.
“Tuisyen itu bukan sekadar untuk akademiknya, saya mahu dia yakin pada dirinya sendiri, bukan hanya mahir dalam pelajaran,” jelasnya.
Di samping itu, beliau yang menyokong usaha keterangkuman di sekolah berharap lebih banyak perhatian dapat diberikan kepada murid yang mempunyai keperluan khas.
“
Alhamdulillah, prestasi akademik Shafilla lebih baik berbanding tahun lepas (2024). Dia juga lebih cenderung membaca buku pada masa lapang. Tuisyen itu bukan sekadar untuk akademiknya, saya mahu dia yakin pada dirinya sendiri, bukan hanya mahir dalam pelajaran.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg