Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pusingan ‘Funfair Tok Ram’ naik taraf kreativiti bintang

Nov 15, 2023 | 05:30 AM



Jika sebelum ini Ketua Juri, Datuk Ramli MS, kerap dikecam warganet sebab didakwa kononnya pilih bulu dan ada anak emas dalam kalangan peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), pujian melambung-lambung pula diberi kepadanya oleh penonton yang kagum dengan usahanya memberi lagu santai atau humor ala muzik ‘funfair’ kepada peserta Ahad lalu.


Dalam pusingan kelapan ASGV, kita lihat kelainan dan kreativiti peserta apabila diuji dengan tugasan di luar zon selesa. Seronok tonton dari satu ke satu persembahan, dari mula di mana Azharina Azhar menyanyikan lagu Ya Maulai dengan suara serak-serak basahnya hinggalah ke penghujung di mana Siti Nordiana mengasah lidahnya untuk membawa lagu seksi Inggeris, Baby One More Time.


“Selalu-selalulah Tok Ram beri lagu kepada peserta. Lagunya semuabest’ daripada yang peserta pilih sendiri. Kadangkala tengok lagu pilihan peserta, punyalah bosan!” tulis warganet di aplikasi X yang membahasakan dirinya sebagai GoCritic.


Bukan mudah mewujudkan persembahan yang boleh dianggap ‘wow’ dalam masa seminggu.

Saya tabik dua ‘M. Daud Kilau Junior’ yang terdiri daripada peserta ASGV asal Singapura, Aliff Aziz dan Hady Mirza. Yang seorang selamba menari dalam kalangan penonton, siap bawa anak lagi. Yang seorang pula bagaikan ‘import’ mendiang Elvis Presley ke pentas Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meskipun Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri inginkan semangat Elvis itu dilebihkan.

Saya juga paling terkesima dengan Naqiu yang muncul lengkap dengan kostum penari Jawa sambil membuai penonton dengan versi lelaki Kuda Hitam (yang asalnya dinyanyikan Hetty Koes Endang). Naqiu adalah penyanyi serba boleh yang dramatik.


Lihat tarian, gerak silatnya mahupun lirikan mata dan penyesuaian mimik mukanya bagi lagu tersebut. Tiba-tiba saya terasa seperti berada dalam satu persembahan budaya di Indonesia. Beliau berkomunikasi bukan sahaja menerusi lagu dan seni tari tetapi menerusi ekspresi wajahnya.

Begitu juga dengan Tomok yang boleh jadi ‘Momok’ dengan kanta mata mengerikan beberapa minggu lalu kepada watak warga emas dengan gigi rongak yang memikirkan soal keinginan nak kahwinnya yang tidak menjadi dalam lagu Tan Sri S.M. Salim, Apa Dah Jadi.


Meskipun Ramli menegur tentang ‘air lagu’ Ayam yang tandus faktor humornya dalam persembahan ala muzikal Broadway Liza Hanim, saya tetap memuji bintang pintar itu kerana menaiktarafkan persembahan lagu desa sarat simpulan bahasa tentang ayam ke taraf yang berbeza.


Ramli memanggilnya sebagai versi ‘Ayam New York’ yang boleh diberi gred A+ dari segi kreativiti. Sayangnya, Liza tidak keluarkan sisinya yang kelakar bagi lagu pintar nyanyian Jalil Hamid ini. Saya dapat bayangkan lagu dendangan Liza yang turut menampilkan Jalil dan seekor ayam di penghujungnya dijadikan bak runut bunyi muzikal Melayu ala Magika.


Hanya di pentas ASGV dapat kita lihat lagu-lagu dendang rakyat menjadi mahakarya kerana suntikan kreativiti dan tenaga sang penyanyi. Ia bukan setakat lagucover’ biasa-biasa.


Mungkin boleh dipertimbangkan Anugerah Bintang ASGV Paling Kreatif kelak kerana kebanyakan masa penyanyi kreatif sebeginilah yang kita inginkan dalam sesebuah persembahan konsert. Maklumlah kita pergi konsert bukan setakat nak dengar suara dan mencari santapan halwa telinga tetapi kita pun nak nikmati visual menarik dan rasa menebal tentang seni yang melambangkan daya usaha artis yang ditonton buat sejam dua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >