Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puteri Sarah buka lembaran baru, fokus perkara positif pada 2026

Jan 12, 2026 | 1:29 PM
Malaysia, Puteri Sarah Liyana, azam, kontroversi, 2026
Selain terus aktif dalam bidang lakonan dan perniagaan, pelakon Puteri Sarah memberi tumpuan kepada pengajian pada peringkat ijazah sarjana sebagai usaha memperkukuhkan masa depan. - Foto INSTAGRAM PUTERI LIYANA SARAH

KUALA LUMPUR: Puteri Sarah berkongsi pengalaman peribadi yang disifatkan berbeza daripada pendedahan beberapa artis sebelum ini yang mendakwa berdepan pelbagai realiti pahit sepanjang menjadi anak seni.

Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 41 tahun, berkata perjalanan awal kerjayanya dalam industri hiburan lebih positif apabila dikelilingi individu berpengalaman yang sentiasa membimbing serta menjaga kebajikannya.

Katanya, sokongan dan tunjuk ajar daripada nama besar dalam industri kreatif ketika itu membuatkan beliau berasa selamat dan dihargai, selain membentuk persekitaran kerja yang sihat sejak awal pembabitannya.

“Alhamdulillah, setakat ini tidak ada, semua okey. Saya tiada masalah. Awal pembabitan saya dalam industri saya bermula dengan Datuk M. Nasir. Jadi, ketika itu, M. Nasir dan Datin Marlia Musa yang jaga saya.

“Jadi saya fikir ketika itu saya tiada masalah. Mereka jaga saya dengan sungguh-sungguh,” katanya ditemui pada sesi temu bual bersama platform TV Tuisyen di Balai Berita, Bangsar di sini pada 9 Januari, lapor BH Online.

Mengulas mengenai aliran semasa yang memperlihatkan kontroversi seolah-olah menjadi syarat untuk seseorang artis terus mendapat perhatian, Puteri Sarah menegaskan nilai sebenar selebriti tetap terletak pada bakat, bukanlah sensasi.

“Saya bukanlah orang yang terbaik untuk cakap perkara ini, tetapi kadang-kadang kontroversi itu kita tidak minta.

“Kalau kita hendak buat kontroversi, sekurang-kurangnya buatlah kontroversi yang baik. Contoh kita tengok macam Khairul Aming, itu kontroversi yang baik.

“Hendak kata bergantung pada kontroversi pun tidak juga. Kadang-kadang, apabila kita ada kontroversi, tetapi kalau tiada bakat, tidak boleh juga,” katanya.

Disoal mengenai azam 2026, Puteri Sarah mahu memulakan lembaran baru dalam kehidupan dengan memberi fokus kepada perkara yang lebih positif dan membina, katanya.

Pelakon drama Suri Hati itu berkata, selain terus aktif dalam bidang lakonan dan perniagaan, beliau memberi tumpuan kepada pengajian pada peringkat ijazah sarjana sebagai usaha memperkukuhkan masa depan.

“Kalau boleh saya hendak mulakan dengan perkara baru dan perkara yang elok. Macam sambung belajar, perniagaan dan lakonan saya.

“Lupakan yang lama, 2026 kita buka buku baru, yang positif saja. Itulah perancangan saya untuk tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Puteri Sarah menjadi guru selebriti subjek Matematik Tingkatan Dua menerusi TV Tuisyen, revolusi pendidikan digital yang direka khas untuk memperkasakan pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Lima.

Antara selebriti lain yang turut terbabit termasuk Fendy Bakry, Shha Iskandar, Raja Afiq, Zara Zya, Adam Lee dan Wanie Kayrie.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg