Apabila baru digoreng, churro berwarna keemasan ini mempunyai bahagian dalam yang lembut dengan tekstur rangup di luar.
Doh digoreng itu dicelupkan ke dalam sos coklat atau sos Spanish caramel yang mempunyai rasa lemak manis.
Itulah keistimewaan churro, sajian pencuci mulut berasal dari Sepanyol yang ditawarkan Chulop!, perniagaan yang diasaskan penyanyi, Encik Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, dan isteri, Cik Malaque Mahdaly.
Encik Ahmad Syarifullah, yang lebih dikenali sebagai Syarif daripada kumpulan hip-hop Sleeq, berkongsi cabaran menghasilkan churro yang sempurna.
“Churro yang baik memerlukan keseimbangan tekstur rangup dan kenyal yang tepat.
“Doh perlu digoreng pada suhu yang betul, supaya ia masak secara sekata dan tidak menyerap terlalu banyak minyak,” kongsi penyanyi berusia 35 tahun itu.
Apabila Chulop! bermula sedekad lalu di East Village, setiap churro dibuat dengan tangan, daripada mencampurkan adunan hinggalah proses paiping dan menggoreng.
Bahkan, Syarif tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam bidang kulinari.
Ia bermula apabila beliau membina mahligai bersama Malaque, yang telah belajar membuat pastri Perancis di The French Pastry School di Chicago, Amerika Syarikat.
“Kami ingin memulakan perniagaan tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Malaque sudah pun cenderung ke bidang masakan, tetapi kami tidak mahu membuat pelaburan besar yang akan menghilangkan ‘work-life balance’ (keseimbangan kehidupan bekerja) kami.
“Kafe dan restoran memerlukan usaha yang besar, jadi kami memutuskan untuk menumpukan dalam pembuatan churro,” katanya.
Semasa isterinya hamil, Malaque tidak tahan dengan bau minyak dan Syarif terpaksa mengambil alih peranan membuat churro.
“Dari situ, saya terpaksa belajar dan melakukan banyak penyelidikan demi mencuba dan meningkatkan mutu churro.
“Akhirnya saya kini lebih mahir membuat churro berbanding Malaque,” kata Syarif sambil tergelak.
Sejak penubuhan Chulop!, Syarif melakukan segala persiapan secara manual, yang akan mengambil masa empat jam untuk menyediakan 40 kilogram doh.
Namun, demi mengembangkan perniagaan dan mendekati lebih ramai pelanggan, Syarif terbuka untuk memperbaiki proses serta meningkatkan penghasilan churro.
Syarif kemudian mendekati Enterprise Singapore, yang memberikan 80 peratus pembiayaan untuk membeli peralatan dari Sepanyol, yang sukar diperoleh sebaliknya.
“Jika saya mahu meningkatkan skala, saya tidak boleh terus melakukannya dengan cara membuat semua doh dengan tangan.
“Dengan adanya peralatan dari Sepanyol, ia mengubah segala-galanya.”
“Daripada menghabiskan empat jam membuat 40 kilogram doh, saya kini melakukannya dalam 15 hingga 20 minit,” dedah beliau.
Selain memberi tumpuan kepada pencuci mulut churro, Syarif mengembangkan pilihan pencuci mulut dan pastri dengan perniagaan Boms & Buns, yang menjual pastri dan roti.
Kini, perniagaan yang bermula di Singapura itu telah melancarkan kedai di Bangi, Malaysia, pada 2024, membawa kedua-dua jenama Chulop! dan Boms & Buns di bawah satu bumbung.
Chulop!
Alamat: 430 Upper Changi Road, #01-59, Singapura 487048
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 12 petang hingga 8 malam
Boms & Buns
Alamat: 193 Joo Chiat Road, Singapura 427464
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 11 pagi hingga 7 malam; Sabtu dan Ahad, 9 pagi hingga 7 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg