Pengunjung ke reruai Berita Harian (BH) di acara Raikan Ilmu @ Heartlands di Our Tampines Hub (OTH) pada 13 dan 14 Jun berpeluang menyelami potensi kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembelajaran anak-anak menerusi sesi vodcast langsung bermula 11 pagi.

Pada hari pertama, Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, 37 tahun, akan berkongsi pengalaman membesarkan empat anaknya dengan bantuan AI.

Seterusnya pada hari kedua, mantan guru dan penggiat sastera, Cikgu Karmin Abbas, 63 tahun, akan membawakan aplikasi AI ciptaannya yang memudahkan penguasaan bahasa Melayu.

Selain sesi tersebut, reruai BH turut menawarkan cabaran teka silang kata interaktif melalui kod QR dengan hadiah menarik menanti pengunjung yang berjaya.

Orang ramai juga dipelawa mencuba Kuiz Menterjemah serta meneroka pelbagai ciri AI yang tersedia di laman web beritaharian.sg.

Acara Raikan Ilmu 2026 anjuran Yayasan Mendaki ini bertujuan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam masyarakat Melayu/Islam.

Ia akan dirasmikan pada 13 Jun di OTH oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebagai pembuka tirai bagi 11 acara serupa yang bakal berlangsung di seluruh negara.

Dari Jun hingga Oktober, Mendaki akan bekerjasama dengan bandar M Kuasa Tiga (M³), pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan rakan kongsi korporat, masyarakat dan kebangsaan untuk menjayakan acara itu.

Bersama lebih 90 rakan kongsi, lebih 100 kegiatan akan dibawa langsung ke kawasan kejiranan, meluaskan akses kepada kemahiran masa depan dan mengukuhkan komitmen Mendaki ke arah pembelajaran terangkum untuk semua pelajar, keluarga dan orang dewasa yang bekerja.

Ini kali pertama acara Raikan Ilmu diperluaskan ke 11 lokasi kejiranan di seluruh Singapura, bagi memastikan lebih ramai dapat mengalami pembelajaran di kawasan perumahan mereka.

Ini termasuk Tampines, Jurong, Pasir Ris, Jalan Kayu, Kampong Gelam, Toa Payoh, Nee Soon, Geylang, Woodlands, Marsiling dan Punggol.

Ini juga kali pertama Raikan Ilmu akan berlangsung selama tiga bulan, dari Julai hingga Oktober, berbanding hanya sebulan sebelum ini sejak diperkenalkan pada 2002.