Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU

Raisa ajak penonton ‘terbang’ ke zon cinta

Kematangan, humor bersahaja dan vokal mantap bintang Indo mempesona
Aug 22, 2023 | 05:30 AM



Tanda tanya siapakah gadis cantik dengan suara emas ini bermain di fikiran saya ketika menonton konsert sulung penyanyi Indonesia, Raisa Andriana, di Teater The Star, pada 2014. Ketika itu seorang teman wartawan yang sepatutnya menyaksikan konsert tersebut untuk membuat ulasan tidak dapat hadir kerana komitmen tugas lain.

Pada masa itu, ruang dewan The Star yang gah lagi besar dengan kapasiti penonton yang mampu memuatkan seramai 5,000 orang rasanya terlalu banyak untuk bakat baru yang mula mencipta nama dengan beberapa lagu balada cinta seperti Serba Salah, Apalah (Arti Menunggu), Could It Be dan Melangkah.


Bagaimanapun, saya lihat potensi besar penyanyi yang asalnya menghiburkan pengunjung dari kafe ke kafe dek suara uniknya, sebutan jelasnya pada bait-bait lirik yang dilontarkan dan semestinya penampilannya yang anggun, wajah jelita dan humornya yang kadangkala tidak diduga. Beliau ibarat Siti Nurhaliza versi Indonesia yang memiliki pakej suara dan rupa yang mempesona.

Sembilan tahun kemudian, saya tidak lihat hanya separuh ruang dewan ballroom Resorts World Sentosa terisi tetapi penuh dengan penonton berbilang negara – Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Meskipun mereka tidak seperti penonton dalam konsert Ella ataupun Rossa (yang saya hadiri baru-baru ini di Teater The Star) yang ligat dan teruja menari dek lagu rancak yang disajikan, mereka boleh dianggap peminat setia Raisa yang mewarnai konsert With Love, Raisa pada Sabtu lalu.


Sambil melambai-lambai silinder berlampu yang disediakan Resorts World Sentosa untuk setiap hadirin, mereka menyanyi sama dan memberi respons seperti menjawab salam dan usikan Raisa.

Saya juga kagum melihat sebilangan penonton lelaki di situ yang menghafal lirik lagu Raisa. Ada dua jejaka Melayu, seorang dari Malaysia dan Singapura, di belakang saya yang begitu yakin menyanyi hampir setiap lagu Raisa. Seorang lagi yang duduk sederet dan menemani temanitanya pula bersemangat menghayati setiap bait lirik lagu seperti Terjebak Nostalgia dan Jatuh Hati. Mujurlah suara mereka itu lunak dan tak ‘ke laut’.


Raisa yang mencecah usia 33 tahun pada 6 Jun lalu kini lebih matang sebagai penghibur dan pencerita banyak kisah daripada pengalamannya sebagai seorang penyanyi muda, ibu satu-satunya puteri comel bernama Zalina dan peluang bekerjasama dengan bintang lain serta memberi nafas baru pada lagu lama penuh jiwa, Bahasa Kalbu, yang merupakan nyanyian asal Titi DJ.


Beliau yang saya pernah wawancara pada 2015 mengaku dirinya pemalu dan lebih suka berdiam dan menyendiri di luar zon seorang penghibur semakin bijak, lucu dan lancar bercerita serta cukup selesa di pentas negara asing. ‘Vibes’ positif dan romantis sentiasa ada bersamanya.

Malahan, ada suatu ketika, Raisa mengejutkan ramai dengan memanggil seorang gadis bernama Tiara dalam kalangan penonton, untuk berbual tentang mantan pacarnya Nabil yang tinggal di Batam. Kemudian beliau meminta Tiara menghubungi spontan Nabil di pentas dengan disaksikan lautan penonton. Mereka mendengar daripada pembesar suara telefon gadis itu. Apabila Nabil menjawab panggilan itu dengan nada marah dan malas untuk melayan Tiara, tiba-tiba Raisa menyanyikan lagu Mantan Terindah.


Dalam pada itu, lagu ‘hit’ Reza Artamevia, Biar Menjadi Kenangan, yang berusia 23 tahun, baru-baru ini dirakam semula Raisa dan legenda muzik daripada band Dewa 19, Ahmad Dhani.


Lagu ini juga dinyanyikan secara duet oleh Raisa dengan salah seorang penyanyi latarnya yang disifatkan berpotensi besar menjadi artis solo.

Sayang sekali duet serasi Raisa, Afgansyah Reza (Afgan), tidak dapat bersama untuk membawakan lagu Percayalah yang menaikkan lagi nama mereka sehingga memenangi anugerah duo terbaik di Indonesia mahupun Singapura (Anugerah Planet Muzik). Seperti biasa, penonton dijadikan ‘Afgan’ untuk menyanyikan bahagian lagu bintang tampan itu bersama Raisa.


Saya boleh sifatkan With Love, Raisa sebagai konsert paling ‘chill’ dengan sistem bunyian yang bagus dan jelas serta pilihan lagu yang menenangkan, mendamaikan dan membawa kita terbang ke zon yang selesa sebagai melarikan diri daripada dunia fana yang kadangkala terlalu menyakitkan dek perangai manusia tanpa ihsan.


Cukup dengan mendengar lagu seperti Usai Di Sini, Bye-Bye, Teka-Teki, Ragu dan Tentang Dirimu, anda dapat merasakan jiwa luhur seorang anak seni bernama Raisa yang juga ingin memperkasa pendengarnya.


Konsert dilabuhkan tirai dengan Kali Kedua, mahakarya ciptaan Dewi Lestari, yang mengisahkan tentang wanita yang kembali bercinta dengan kekasih yang awalnya sudah putus.


Melihat karisma Raisa, vokal luar biasanya dan reaksi penonton, si cantik ini dalam perjalanan mencipta kedudukan sebagai vokalis legenda Indonesia suatu hari nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >