Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BINTANG INDONESIA

Rapper Indonesia A. Nayaka gegar dunia 'hip hop' Nusantara

Senangi kerjasama dengan bakat S'pura dan M'sia demi kongsi kisah hidup manusia
Sep 25, 2021 | 05:30 AM



DARI keselesaan studio rumahnya, rapper Indonesia, Ariel Nayaka, terus rancak bersembang sambil menjana kerja kreatif bersama sahabat seni dari Malaysia, SonaOne dan YHB Sleepsalot dari Singapura.



Yang terhasil dalam tempoh pandemik adalah kerjasama padu mereka dalam lagu Orang Lain, dengan video muziknya sudah menarik 163,000 tontonan di YouTube sejak dimuatnaik pada 29 Julai lalu.



Ariel yang menggunakan nama pentas A. Nayaka, 27 tahun, kini dianggap sebagai rapper muda berpotensi besar di Indonesia dan Nusantara di bawah label raksasa hip hop, Def Jam South East Asia.



Apakah impian besarnya dalam menjalin lebih banyak jambatan ukhuwah dengan rapper Singapura dan Malaysia bagi menggegar persada hip hop Nusantara?



Ikuti wawancara Berita Harian bersamanya yang diselaraskan label rakaman Universal Music, baru-baru ini.



Soalan (S): Ceritakan pengalaman merakam 'Orang Lain' bersama SonaOne dan YHB Sleepsalot.



Ariel: Pengalamannya cukup menarik. Saya bertuah diberi kesempatan menjalin kerjasama dengan SonaOne, antara penerbit muzik terbaik di Asia Tenggara.



Beliau tahu menyerlahkan bakat seseorang menerusi lagu. Nyala rasanya amat saya kagumi. SonaOne memberi segalanya buat muzik bukan kerana beliau terdesak memerlukan wang tetapi kerana muziklah hidupnya dan muzik juga cinta hatinya.



YHB Sleepsalot pula adalah anak muda yang 'cepat tangkap' apa jua ilmu yang diajar. Beliau tangkas mencipta lagunya sendiri dan mampu pergi jauh.



Justeru, apabila projek Orang Lain menggabungkan kami bertiga, ia satu sinergi bakat Nusantara yang hebat dan padu.



Malah, persahabatan kami jadi begitu rapat. Walau terpisah dek pandemik, kami masih mampu menghasilkan kerja seni dari studio rumah masing-masing.



Hampir setiap hari kami berbincang melalui Zoom termasuk mencakupi topik di luar muzik.



S: Mengapa Ariel rasa kerjasama Nusantara ini akan menghasilkan satu kelainan dan perlu dalam dunia muzik tanpa sempadan?



Ariel: Ia satu kelebihan kerana kita saling belajar daripada satu sama lain. Apa lagi tatkala memikirkan budaya Singapura, Malaysia dan Indonesia tidak terlalu jauh.



Kita mempunyai muzik dan makanan yang hampir sama secara budaya. Mudah menghadam persis belajar dengan abang atau adik sendiri.



S: Apakah pengertian 'Orang Lain' buat Ariel?



Ariel: Lagu ini menjejak perubahan yang kita alami sebagai manusia dengan ada fasa dan langkah yang perlu kita lalui.



Perubahan itu wajar seperti mendakap norma baru. Kita harus terus kekalkan rasa positif dan bangga kalau kita berubah ke arah kebaikan.



S: Sewaktu pandemik, apa yang dipelajari?



Ariel: Saya belajar agar lebih bersabar dan tidak perlu mengeluh. Saya akur saya rindu membuat persembahan di khalayak ramai seperti dahulu.



Namun, demi keselamatan, kita harus bersabar dan menghargai setiap detik yang berlalu.



S: Apakah ketika berada jauh di rantauan, iaitu meniti usia kanak-kanak di Houston, Texas, Amerika Syarikat, merupakan titik tolak Ariel kenali budaya 'hip hop'?



Ariel: Betul sekali. Saya berada di Texas bersama ibu dan adik saya antara usia enam tahun dengan 12 tahun.



Saya membesar dengan muzik rapper antarabangsa, Eminem dan 50 Cent.



Saya masih ingat dalam perjalanan panjang di jalanan, saya hanya bertemankan alat 'Walkman' dan cuma ada satu cakera padat 50 Cent untuk didengar sepanjang perjalanan 14 jam itu.



Sebenarnya, lagu 50 Cent tidak sesuai didengar anak kecil seperti saya. Namun, saya berjaya menyorok CD 50 Cent dan mendengarnya tanpa pengetahuan ibu bapa saya.



S: Apabila pulang ke Indonesia, apa yang membuatkan Ariel kemudian memasuki band metal?



Ariel: Saya budak baru di sekolah baru. Ada semacam kejutan budaya. Pada ketika itu, teman sekeliling tidak dengar hip hop.



Mereka lebih sukakan muzik rok metal yang 'emo'. Saya belajar main gitar dan membuat persembahan di beberapa 'gig' muzik metal.



Saya harus berterima kasih di atas pendedahan itu kerana apabila saya kemudian kembali kepada hip hop, saya sudah tidak gementar lagi menyanyi di pentas kerana muzik metal melatih saya agar lasak dan bersahaja.



S: Apa pandangan Ariel tentang muzik 'hip hop' yang menyisipkan pesanan positif?



Ariel: Ia satu usaha murni menulis sesuatu yang positif dalam lagu hip hop tetapi pastikan anda menjadikan bahan itu sebagai satu sandaran hidup.



Misalnya, kalau anda tulis lagu tentang tabiat kitar semula barangan bagi mengurangkan sisa plastik, pastikan anda juga komited melakukannya dalam kehidupan sebenar.



Setiap perkara positif yang kita nyatakan dalam lagu kita, kita harus susuli dengan melakukannya.



S: Siapakah tiga 'rapper' yang membawa pengaruh besar buat anda?



Ariel: Jay Z kerana beliau antara rapper terhebat dunia. Di luar bidang muzik, beliau seorang usahawan bijak yang berjaya dan memberi iktibar buat pemuzik lain dalam menggerakkan bisnes seni.



Saya juga sukakan Drake yang serba boleh dan mampu bikin lagu keramaian, khusus buat wanita, lagu perlahan atau tegas.



Akhir sekali, SonaOne kerana saya mengenalinya secara peribadi. Beliau berikan banyak masa dan keringat buat setiap kerja seninya.



S: Kalau boleh bekerjasama dengan artis Indonesia lain, siapa pilihan Ariel?



Ariel: Kunto Aji kerana beliau sahabat karib saya. Kami belum pernah masuk studio bersama bagi projek rakaman.



Allahyarham Chrisye kerana nenek saya menggemari lagu-lagunya. Maka, setiap karyanya ingatkan saya tentang keluarga saya.



Ariel (vokalis Peterpan/Noah) kerana teruja ingin tahu perspektifnya tentang muzik.



S: Apakah nasihat ibu buat Ariel terus bertahan dalam kehidupan dan kerjaya?



Ariel: Jujur pada diri, jangan lupa solat lima waktu dan ikhlas dalam melakukan sesuatu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >