Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rapper Joe Flizzow cedok ilmu 'otak geliga' Harvard

Lebih sedekad lalu genre hip hop mencetus tanggapan negatif dalam kalangan sesetengah pendengar Melayu yang berasakan ia membawa pengaruh tidak baik, bersandarkan perkembangan di Barat. Namun, banyak nilai positif tentang kerja keras, semangat tidak putus asa dan kenang jasa orang lain kini mewarnai irama hip hop Melayu lebih positif. Apakah pandangan dua nama besar dunia hip hop di Malaysia mengenai anjakan minda tentang irama kegemaran ramai anak muda ini? BERITA HARIAN melaporkan.
Mar 12, 2021 | 05:30 AM



DIGELAR The President dalam dunia hip hop Malaysia sempena nama album solo pertamanya pada 2010, Joe Flizzow sememangnya rapper berwawasan yang ingin melihat muzik hip hop Melayu menembusi pasaran antarabangsa.



Bekas anggota duo hip hop Too Phat yang terkenal pada lewat 1990-an, Joe yang nama sebenarnya, Johan Ishak, 41 tahun, pentingkan ilmu demi kekal relevan dan berada di 'papan atas' industri muzik.



Beliau malah sudah melangkahkan kakinya ke institusi gemilang dunia di Boston, Sekolah Perniagaan Harvard di Amerika Syarikat, bagi menghadiri kursus ringkas perniagaan hiburan, media dan sukan, lima tahun lalu.



Kursus dua minggu itu ditaja Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).



Dalam satu wawancara Zoom bersama Joe yang diselaraskan label rakaman Universal Music baru-baru ini, beliau teruja bercerita tentang usaha mencorak budaya positif hip hop yang menjadi nadi ramai anak muda di Nusantara ini.



Pada musim 'perintah berkurung' sewaktu pandemik Covid-19 ini, Joe bukan sahaja menamatkan zaman bujangnya dengan penggiat seni visual, Marini Ramlan, malah turut menghasilkan lagu Ciao bersama rapper muda MK dan rapper Amerika keturunan Korea, Jay Park.



Ikuti wawancara bersamanya yang tidak sepi dengan gelak tawa dan banyak tersisip inspirasi buat anak Melayu maju.



SOALAN (S): Apakah yang mencetus kerjasama dengan Jay Park dan MK bagi 'Ciao' yang sudah ditonton lebih 3.6 juta kali di YouTube sejak dimuatnaikkan Januari lalu?



JOE: Sudah lama saya idamkan kerjasama dengan MK dan Jay Park. Senang cakap, Ciao yang membawa maksud ucapan seperti 'Hi' dan 'Bye' ini adalah lagu 'lockdown'!



Apabila kita terkurung dalam studio selama sebulan dua, saya menyedari Jay Park sudah pulang ke Korea. Sebelum ini, beliau sibuk bikin konsert di Amerika. Kadang di New York, Seattle dan Los Angeles.



Terfikir saya, Jay Park hutang saya satu lagu sebab saya sudah buatkan lagu untuknya. Di dalam dunia hip hop memang ada konsep 'bayar hutang'. Kirakan 'kalau lu buat lagu untuk gua, gua akan buat lagu untuk lu'.



Namun, meskipun lagu ini saya tulis, saya tetap rujuk kepada Alyph selaku penerbit. Beliau bos saya. Apabila idea gabungkan tiga suara - saya, Jay Park dan MK - diusulkan kepada Alyph, macam biasa jawapannya, "Yo man! Fuh! Gabungan 'gila' ni... " Sempat beliau kirim saya 'emoticon' orang kepala pecah dengan konfeti bertebaran.



MK yang ketika itu di Kota Kinabalu, Sabah, juga beri respons yang positif. Maka terhasillah Ciao.



S: Bagaimana pengalaman bergabung dengan nama besar dalam dunia hip hop, Jay Park? Bagaimana sambutan buat 'Ciao' dalam kalangan pendengar bukan Melayu?



JOE: Saya sudah mengenali Jay Park sekitar sembilan tahun. Beliau sering juga ke Malaysia sebelum Covid-19. Apabila beliau 'berkampung' selaku pengadil buat rakaman Asia's Got Talent di Johor, saya selalu juga menjenguknya.



Semasa saya ke Korea bagi pesta muzik, Jay Park bawa saya jalan-jalan dan menjenguk studionya di kawasan Gangnam.



Pendek kata, inilah persahabatan yang terjalin akrab dalam muzik. Sangat senang bekerja dengan Jay Park yang merendah hati dan rajin.



Dari segi sambutan, Alhamdulillah, dengan lebih tiga juta tontonan dicapai dalam tempoh lebih sebulan, ia sesuatu yang disyukuri.



Saya lebih gembira sebab Ciao mendapat perhatian pendengar muzik serata dunia. Lihat video reaksi yang ada. Ada pendengar Perancis dan Sepanyol yang beri maklum balas tentang lagu ini selain ramai dari Indonesia.



Di Twitter, peminat K-Pop pun turut sama berbincang tentang lagu hip hop Malaysia ini. Ia bukti bahawa kita mampu berdiri sebaris dengan artis antarabangsa, menawarkan sesuatu yang menyegarkan buat mereka yang sesetengahnya baru kali pertama dengar lagu Melayu.



S: Muzik hip hop yang dahulunya dikaitkan dengan negativiti kerana perkembangan di Barat kini lebih diterima sebagai irama positif. Apa komen Joe?



JOE: Sayangnya, yang wujudkan kontroversi atau tanggapan sebegini adalah pihak media. Sebenarnya tiada pertarungan antara hip hop 'west coast' (genre sampingan hip hop oleh bakat dari bahagian barat Amerika) dengan 'east coast' (genre sampingan hip hop yang berasal dari New York).



Tak kenal, maka tak cinta. Jangan cepat melabel hip hop negatif sebelum mengenali sejarahnya. Ia merupakan genre muzik yang diperkenalkan di kawasan The Bronx (New York City) bagi mewujudkan kedamaian antara geng yang bertelagah. Matlamatnya atas dasar kasih sayang.



Hip hop adalah luahan rasa. Ramai rapper yang menceritakan tentang kemiskinan, jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan keganasan sekeliling mereka.



Apabila 2Pac menyanyikan lagu Dear Mama, beliau akui ibunya penagih dadah tetapi ada sesuatu yang memperkasa diri jika diamati lirik lagu ini.



Hip hop adalah genre yang sentiasa didukung anak muda. Kerana itu, saya pentingkan kerjasama dengan anak muda seperti MK. Ia petanda dua generasi artis boleh bekerjasama demi naikkan industri muzik Melayu.



S: Masih adakah lagi salah tanggapan tentang hip hop?



JOE: Pastinya ia tidak boleh dilenyapkan sepenuhnya. Namun, saya tumpang gembira dan boleh katakan hip hop membantu menjana ekonomi, baik di Singapura mahupun Malaysia.



Artis grafiti yang dahulunya dikejar pihak berkuasa kerana dianggap memusnahkan harta benda awam apabila mereka melukis dan menyembur cat pada tembok kini diberi ruang dan dikomisyen menghasilkan grafiti.



Di Singapura dan Brunei, rapper juga diberi penghormatan membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan. Saya bangga.



S: Ceritakan tentang kembara singkat anda ke Harvard. Apa yang mendorong usaha mempertingkat diri anda?



JOE: Saya ke sana bukan kerana nak kejar ijazah, tetapi lebih kerana saya ingin berkenalan dengan orang otak geliga.



Pensyarah saya adalah karyawan pemasaran yang melakar pelan penjenamaan buat bintang sehebat Beyonce dan pemain bola keranjang LeBron James.



Saya dapat tebarkan rangkaian kenalan dengan orang hebat dari Alibaba Group, Google, Microsoft, penerbit dan rakan bisnes Shah Rukh Khan. Bagi saya, inilah peluang keemasan.



Setiap kali pergi kursus, saya akan pilih institusi cemerlang seperti Harvard, Cambridge atau Yale kerana ia melambangkan kecemerlangan. Kita tidak harus segan menimba ilmu daripada orang hebat.



Lagi pun, kalau saya ingin pengaruhi generasi muda dengan menekankan pesanan agar mereka harus gigih buru diploma atau ijazah dan jangan tercicir separuh jalan, saya mesti tunjukkan contoh yang baik juga. Saya sisipkan semua ini dalam lagu saya walau sebaris dua sahaja. Hidup perlu ada impian dan wawasan.




Trivia Joe



- Sejak 2013, Joe Flizzow memulakan perniagaan kedai gunting Joe's Barbershop yang menggunakan kaedah unik memperkasa si tukang gunting.



- Mereka menyewa kerusi gunting rambut pelanggan sebagai satu cara beliau memberi mereka semangat menjadi bos sendiri.



- Kini, terdapat 300 tukang gunting bersama Joe's Barbershop. Namun, sejak operasi bermula lapan tahun lalu, terdapat 1,000 individu memanfaatkan peluang ini.



- Joe gembira dapat membantu golongan muda mengharungi kesulitan membangun pendapatan mantap dengan keupayaan membeli rumah dan kereta sendiri.



- Selain memiliki syarikat pengurusan bakat, beliau pernah mengendalikan bisnes makanan tetapi tutup serta bisnes kasut 'sneakers' yang dianggap tidak berjaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >