Dalam masa enam tahun menjalankan ‘misi’ menyelamatkan barangan makanan yang masih elok daripada dibuang ke tong sampah, Food Rescue Sengkang (FRSK) telah mengembangkan tenaga relawannya daripada 10 orang pada 2019 kepada sekitar 80 orang pada 2025.
Relawan itu menyokong usaha FRSK ‘menyelamatkan’ barang makanan dari serata Singapura yang merupakan stok lebihan atau sayur dan buah-buahan yang ‘tidak cantik’ tapi masih boleh dimakan.
“Kami menyelamatkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar, makanan kering seperti beras dan minyak, makanan beku, roti dan sebagainya. Apa sahaja yang masih boleh dimakan, kami akan selamatkan bagi memberinya peluang kedua untuk mengurangkan pembaziran,” kata pengasas bersama FRSK, Encik Derek Ong, 59 tahun.
Di laman webnya, FRSK menyatakan relawan diperlukan untuk mengambil barangan dari pusat borong utama di Singapura seperti Pusat Borong Pasir Panjang. Usaha menyelamatkan barang makanan ini dilakukan hampir setiap hari kecuali Ahad, kata Encik Ong, yang bertugas sebagai akauntan bertauliah.
Relawan juga diperlukan untuk memilih dan membungkus barangan dalam pek lebih kecil serta mengawal aliran orang ramai dan pengagihan barangan kepada penduduk yang datang mengambilnya.
Setiap Sabtu, FRSK menganjurkan Pasar Buah dan Sayur ‘Tak Cantik’ di ibu pejabatnya, Thanggam Hub, di 40 Fernvale Road, dari 5 petang hingga 7 malam.
Sekitar 15 pasar satelit menawarkan barangan serupa juga diadakan di serata Singapura.
Barangan makanan itu turut diagihkan kepada banyak tempat lain seperti rumah penjagaan, tempat perlindungan, dan pertubuhan keagamaan.
Bermula pada 2019 dengan mengumpul 100 hingga 200 kilogram barangan makanan seminggu untuk keluarga dan jiran-jiran, FRSK hari ini menyelamatkan 15,000 hingga 50,000 kilogram barangan seminggu.
Jumlah yang dikumpul itu boleh diagihkan kepada 10,000 hingga 25,000 orang.
FRSK bagaimanapun masih menerima permintaan untuk menjadikan pasar satelitnya lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang di Singapura, namun ini tidak dapat dilakukan tanpa relawan tambahan, kata kumpulan itu dalam satu hantaran di Facebook.
Selain bilangan relawan yang tidak mencukupi, Encik Ong berkata cabaran lain yang dihadapi kumpulan itu ialah dana, penyelarasan dan mencari penderma.
Sementara itu, selain menyelamatkan barangan makanan dan mengagihkannya kepada orang ramai, satu lagi matlamat FRSK adalah untuk mendidik masyarakat agar mengurangkan pembaziran makanan.
“Menerusi inisiatif kami, kami mendidik orang ramai bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran tidak cantik adalah selamat untuk dimakan,” kata Encik Ong yang telah memerhatikan peningkatan dalam penerimaan makanan yang diselamatkan kebelakangan ini.
Di laman webnya, FRSK menggalakkan orang ramai membantu mengurangkan pembaziran makanan melalui tiga cara.
Pertama: Bekukan lebihan makanan yang dimasak untuk dinikmati pada waktu makan lain atau pada hari lain.
Kedua: Pergi ke kedai lebih kerap untuk membeli barangan makanan seperti buah dan sayur dalam jumlah kecil pada satu-satu masa. Ini bagi mengurangkan kemungkinan ia menjadi rosak sebelum sempat dimasak atau dimakan.
Ketiga: Makanan yang sudah melepasi tarikh luput tidak semestinya sudah rosak dan tidak boleh lagi dimakan. Orang ramai digalak menggunakan mata, hidung dan lidah untuk menentukan sama ada barangan makanan itu masih elok dimakan atau tidak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg