Ketika menyertai kumpulan Little India Veggie Collection (LIVC) sebagai sukarelawan dalam satu misi menyelamatkan sayur-sayuran dan buah-buahan di Little India, saya menyedari betapa seriusnya isu pembaziran makanan di Singapura.
Setiap hari, sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih segar dan berkhasiat tetapi mempunyai sedikit kecacatan atau bentuk yang tidak sempurna, sering dibuang kerana dianggap tidak sesuai untuk dijual.
Namun, pengalaman ini membuka mata saya kepada keprihatinan masyarakat Little India dalam memainkan peranan mereka untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Memandangkan hasil jualan mereka bergantung kepada penampilan produk, ramai peniaga yang tidak teragak-agak menyumbangkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kurang sempurna kepada sukarelawan LIVC.
Sayur-sayuran dan buah-buahan tersebut kemudian dihantar kepada badan amal, Krsna’s Free Meals, yang akan digunakan untuk menyediakan makanan percuma kepada pekerja migran dan golongan yang memerlukan.
Pada permulaan misi tersebut, saya dan sukarelawan lain berkumpul di Lembu Square, kawasan lapang berdekatan Mustafa Centre.
Sebagai sukarelawan, tugas saya bermula dengan mengenal pasti sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih selamat dimakan.
Kami berjalan ke sekitar 10 kedai yang terletak di sepanjang Desker Road, Lembu Road dan Syed Alwi Road untuk mengumpul makanan tersebut menggunakan troli besar.
Saya diberi tunjuk cara membezakan antara sayur dan buah yang masih segar tetapi tidak sempurna, daripada sayur dan buah yang sudah tidak sesuai untuk dimakan.
Satu cara ialah dengan memeriksa kulitnya dan mengenal pasti sama ada ia tergores atau berbentuk tidak serata.
“Asalkan ia tidak berkulat, ia selamat dimakan,” kata salah seorang sukarelawan LIVC kepada saya.
Selain memeriksa sama ada sayur dan buah berkulat atau tidak, saya juga mencium bau mereka untuk memastikan ia masih segar dan selamat dimakan.
Kesemua pemilik kedai sudah pun mengenali sukarelawan LIVC yang berada dengan saya kerana kerjasama yang telah lama terjalin.
Melihat mereka bertegur sapa dan bergurau senda seperti kawan rapat membuat saya rasa kagum dan gembira kerana ia menunjukkan keikhlasan kedua-dua pihak untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Selepas mengumpul makanan, proses seterusnya ialah antara yang paling mencabar, iaitu menolak troli yang dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kembali ke Lembu Square.
Di sinilah kami menyusun dan memeriksa sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum dihantar ke Krsna’s Free Meals.
Buah-buahan dan sayur-sayuran disusun mengikut jenis, dengan setiap jenis buah dan sayur disimpan dalam kotak kadbod yang berbeza.
Pengalaman ini memberikan saya perspektif baru tentang pembaziran makanan dan betapa pentingnya peranan setiap individu dalam menanganinya.
Dengan sedikit usaha, sayur-sayuran dan buah-buahan yang sebelum ini mungkin dibuang di dalam tong sampah kini dapat ‘diselamatkan’ untuk dijadikan hidangan yang mengenyangkan bagi golongan yang memerlukan.
Ia bukan sahaja meringankan beban golongan susah ini tetapi juga membantu memelihara alam sekitar.
Pengalaman ini juga telah mengubah pandangan saya terhadap sayur dan buah yang tidak sempurna.
Dahulu, saya mungkin tidak akan mempertimbangkan untuk memakannya, tetapi kini saya tidak kisah sama sekali asalkan ia selamat untuk dimakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg