Sebulan sekali, kolong Blok 714 Yishun Street 71 berubah menjadi pasar yang menawarkan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran secara percuma yang boleh diambil sesiapa sahaja.
Tetapi ada dua perkara yang perlu sedia dihadapi mereka yang berhasrat mengambil barangan segar itu – barisan beratur yang panjang, serta keadaan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mungkin kelihatan kurang elok.
Ini kerana pasar tersebut menawarkan buah-buahan dan sayur-sayuran lebihan atau ‘tidak cantik’ yang diselamatkan daripada dibuang ke dalam tong sampah.
Selain buah-buahan dan sayur-sayuran, barangan dapur lain seperti produk beku, susu, jus dan sos yang hampir luput turut ditawarkan.
Namun, walaupun Pasar Satelit Yishun itu menawarkan barangan ‘reject’, ia tetap mendapat sambutan baik daripada orang ramai dengan hampir 100 orang datang setiap kali ia diadakan dan semua barangan habis diambil.
Pasar pada petang Sabtu itu merupakan inisiatif kumpulan masyarakat bagi membantu keluarga memerlukan dan warga emas mudah terjejas, Project Pencil Singapore, yang diasaskan oleh Cik Sarimah Amat.
“Biasanya mereka yang datang mengambil barangan ini adalah warga emas, keluarga dari flat sewa dan keluarga dengan ramai anak. Tapi sebenarnya sesiapa pun boleh mengambil kerana kami tidak meletakkan syarat. Ini kerana selalunya kami ada cukup barangan untuk semua yang datang dan kami bahagikan seadil mungkin,” kata Cik Sarimah.
“Kami juga tidak mengenakan sebarang bayaran kerana kami mendapat barangan itu pun secara percuma. Kami cuma mahu menimbulkan kesedaran di kalangan penduduk untuk mengurangkan pembaziran makanan. Kami juga menganjurkan pasar ini untuk membantu penduduk mengurangkan belanja pasar,” tambahnya.
Menurut Cik Sarimah, pasar itu mula dianjurkan pada 2023 setelah beliau berkenalan dengan pengasas Food Rescue Sengkang, Encik Derek Ong, dan memahami usaha menyelamatkan barangan yang masih boleh dimakan daripada dibuang.
Food Rescue Sengkang, sebuah badan bukan mencari untung (NPO), mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak terjual di Pusat Borong Pasir Panjang dan mengumpulkannya di gudang mereka di Sengkang.
Pada hari Pasar Satelit Yishun dianjurkan, sekitar 2 petang, beberapa relawan Project Pencil Singapore akan menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk ke gudang tersebut dan mengambil sejumlah buah-buahan dan sayur-sayuran di situ.
Sementara itu di kolong blok 714, beberapa relawan menyediakan meja dan stesen mengupas bawang, membersihkan sayur dan sebagainya.
“Selepas sekitar satu jam, sayur-sayuran dan buah-buahan sudah diatur dan sedia untuk diambil. Barisan orang yang beratur pun sudah mula panjang. Bagi warga emas yang tak kuat beratur, kami sediakan kerusi untuk mereka duduk sementara menunggu pasar dibuka.
“Kami selalu umumkan bahawa pasar dibuka pada 5 petang tapi seawal 4 petang orang sudah mula beratur. Kami pernah menghadapi kejadian seorang warga emas pitam kerana beratur terlalu lama,” kata Cik Sarimah.
Selain mengambil barangan dari gudang dan mengendalikan pasar, tenaga relawan diperlukan untuk memastikan keselamatan mereka yang beratur dan untuk menguar-uarkan tentang pasar itu kepada penduduk di kawasan sekeliling.
Tugas mereka biasanya berakhir sekitar 7 malam selepas membersihkan ruang yang digunakan.
Project Pencil Singapore mempunyai sekitar 30 relawan termasuk sekitar 20 yang aktif. Kebanyakan mereka adalah penduduk Melayu/Islam di kawasan Yishun.
Sementara itu, mereka yang mengambil barangan di pasar itu sebahagian besar terdiri daripada penduduk daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang tinggal di daerah Yishun Street 71 manakala bakinya merupakan penduduk di bahagian Yishun yang lain dan juga dari estet perumahan Woodlands, Sembawang dan Canberra.
Pasar itu tidak diadakan pada Mac 2025 disebabkan Ramadan dan mungkin kembali diadakan pada hujung April, kata Cik Sarimah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg