Topik diikuti
Pergi ke BHkuRestoran Italy Porta Porta ucap selamat tinggal selepas 33 tahun, pemilik ingin bersara
Restoran Italy Porta Porta ucap selamat tinggal selepas 33 tahun, pemilik ingin bersara
Restoran Italy Porta Porta ucap selamat tinggal selepas 33 tahun, pemilik ingin bersara
Selepas 33 tahun menyajikan hidangan asli Italy dan menjadi tempat terciptanya pelbagai kenangan pelanggan, Porta Porta Italian Restaurant, bakal menutup tirainya pada 31 Disember.
Keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pemiliknya, penyanyi popular era 1980-an, Cik Rozianah Baharudin, menikmati persaraan selepas lebih tiga dekad mengusahakan restoran tersebut bersama keluarga.
Anaknya, Encik Danesh Ettore Laino, berkata faktor usia ibunya menjadi pertimbangan utama, selain peningkatan kos operasi dan cabaran mendapatkan tenaga kerja.
“Ibu saya semakin berusia dan sudah lama saya menggalakkannya supaya bersara.
“Bagi saya, keputusan ini lebih mudah kerana saya mahu melihat ibu menikmati kehidupannya. Namun, ia pasti menyakitkan baginya kerana restoran ini dibuka bersama arwah bapa saya dan sudah dianggap seperti anak sendiri,” katanya semasa dihubungi Berita Harian (BH).
Restoran yang kini terletak di 32 Jalan Pari Burong, berhampiran Simpang Bedok, bermula sebagai perniagaan katering pada 1993 sebelum berkembang menjadi restoran hasil permintaan pelanggan setia.
Perjalanan kulinari Cik Rozianah bermula ketika beliau menetap selama lima tahun di Carrara, Tuscany, Italy, bersama suaminya, mendiang Encik Antonino Laino.
Di sana, beliau mempelajari masakan Italy dengan memerhatikan suami dan ibu mentuanya memasak, sebelum mengembangkan kemahirannya sendiri.
Porta Porta kemudian dikenali dengan hidangan asli selatan Italy yang menggunakan bahan seperti bawang putih, tomato dan minyak zaitun.
Antara hidangan popularnya ialah Farfalle Con Salsa Di Gamberi, pasta berbentuk rama-rama dengan sos krim udang, serta Spaghetti Di Pesce yang mengandungi makanan laut.
Menurut Encik Danesh, landskap makanan dan minuman (F&B) Singapura kini jauh berbeza berbanding ketika restoran itu mula beroperasi.
“Kos operasi, sewa dan bekalan semuanya semakin mahal. Restoran keluarga lebih terkesan kerana kami tidak mempunyai pelabur besar untuk menanggung kerugian,” katanya.
Beliau pernah cuba menggajikan lebih ramai kakitangan, termasuk ketua cef, bagi mengurangkan beban keluarga, namun kosnya terlalu tinggi.
Semasa pandemik Covid-19, keluarga itu turut mengekalkan pekerja yang sudah berkhidmat lebih sedekad dan terus membayar gaji mereka meskipun restoran terpaksa ditutup sementara.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Encik Danesh berkata kenangan paling bermakna ialah hubungan erat yang terjalin antara keluarga, pekerja dan pelanggan.
Pengumuman penutupan di Instagram pada 9 November turut mengundang reaksi sebak pelanggan yang membesar bersama restoran itu.
Seorang pelanggan berkongsi bahawa beliau pernah ke restoran itu untuk keluar dating di Porta Porta ketika restoran itu masih beroperasi di Changi, dan kini mempunyai empat anak bersama suaminya.
Encik Danesh berkata keluarganya menerima banyak panggilan dan mesej penghargaan, malah ada pelanggan menggesanya mengambil alih perniagaan.
Menjelang penutupan, beliau sedang mempertimbangkan acara amal sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat.
Selepas restoran ditutup, beliau berharap ibunya dapat melancong dan menikmati percutian yang terpaksa diketepikan selama 33 tahun.
“Ibu insan paling rajin bekerja yang saya kenali. Saya berharap ibu akhirnya dapat menikmati kehidupannya dan melihat dunia,” katanya.