Pilihan Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tunggu 5 minit sahaja untuk nikmati hidangan pasta ‘panas-panas’

Kucina Kiosko di Food Republic 313@Somerset sedia pasta dimasak terus depan pelanggan
Oct 9, 2025 | 4:47 PM
kucina kiosko, kucina italian restaurant, hidangan italy
Pengurus Operasi Kucina Kiosko, Cik Nurul ’Ain Zainodin dan pengasas bersama Kucina Italian Restaurant dan Kucina Kiosko, Encik Alessandro Lo Giudice, memperkenalkan Kucina Kiosko di tempat makan Food Republic di 313 @Somerset demi mendekati lebih ramai pelanggan. - Foto BH oleh IZWAN RAHIM

Sajian halal Italy merupakan hidangan yang tidak mudah diperoleh di kawasan bandar.

Apatah lagi sajian yang dimasak secara langsung sejurus tempahan dibuat dan dijual dengan harga berpatutan.

Namun di Kucina Kiosko, konsep baru daripada pasukan di sebalik Kucina Italian Restaurant, pasta segar disediakan ala minute, iaitu dimasak terus di hadapan pelanggan di Food Republic, 313@Somerset.

Dibuka pada Ogos, kios halal Italy ini menyajikan hidangan autentik Italy kepada orang ramai pada harga yang berpatutan.

Menurut pengasas bersama Kucina Italian Restaurant dan Kucina Kiosko, Encik Alessandro Lo Giudice, ilham untuk Kucina Kiosko sebenarnya sudah lama terpendam.

“Kucina Kiosko bukan idea baru.

“Kami (bersama pemilik Kucina Italian Restaurant, Cef Gero DiMaria) memang ingin memperkenalkan sajian makanan jalanan Italy yang halal dengan pendekatan yang mudah.

“Apabila syarikat Food Republic mendekati kami pada Februari, ia mempercepatkan lagi proses untuk impian itu menjadi nyata,” katanya.

Berbeza dengan restoran utama Kucina di Kinex, yang menampilkan konsep lebih eksklusif, Kucina Kiosko membawa versi yang lebih santai dan pantas, sesuai dengan gaya hidup sibuk di kawasan Orchard.

“Di Kinex, ia destinasi untuk makan dan di sini, orang ramai mahu makanan yang disediakan pantas.

“Jadi kami sediakan pasta yang hanya mengambil masa lima minit untuk dimasak,” jelas Encik Alessandro.

“Kami mahu membezakan dua jenama ini iaitu, Kucina yang kekal sebagai restoran Italy autentik dan lebih mewah, manakala di Kiosko, ia menumpukan kepada street food atau makanan jalanan Italy yang ringkas, berkualiti serta mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.”

Pasta di Kucina Kiosko dibuat sendiri menggunakan kuning telur dan tepung semolina atau suji.

Dua jenis pasta pula ditawarkan, iaitu spageti dan casarecce – pasta pendek yang sedikit berpintal.

Sebanyak 20 hingga 25 kilogram pasta spageti dihasilkan dalam seminggu dan pasta casarecce pula sebanyak 15 kilogram, kata Encik Alessandro.

“Pasta kami memang dibuat dengan telur.

“Gabungan semolina, telur serta air menghasilkan tekstur yang lembut dan dimasak pada tahap yang tidak terlalu masak atau al dente.

“Sudah tentu, tempoh memasak juga penting,” ujar beliau.

Tidak mudah untuk menemui pasta al dente, dimasak cukup lembut tetapi masih kenyal di medan selera yang sibuk.

Antara menu popularnya ialah Creamy Cheese Wheel Spaghetti, $7.90 hidangan paling murah di menu tetapi penuh dengan rasa keju berkrim yang memuaskan.

Bagi yang inginkan sesuatu yang lebih mengenyangkan, pelanggan boleh cuba Signature Meatball Sauce Spaghetti, $15.90, dihidang bersama parutan keju parmesan dan sos bebola daging hasil resipi cef Gero DiMaria, yang merupakan pemilik bersama Kucina Italian Restaurant.

Hidangan Carbonara-style Casarecce, $12.40, pula menawarkan versi deconstructed carbonara, hidangan yang mengasingkan bahan utamanya seperti pasta, telur, keju dan daging, menggunakan telur sous vide (setengah masak) bagi memastikan keselamatan makanan tanpa menjejaskan rasanya.

Pelanggan digalakkan memecahkan kuning telur dan gaulkannya dengan pasta, hasilnya rasa lembut, berkrim dan enak!

Selain pasta, terdapat Arancini, $7.90, bebola nasi keemasan gaya Sicily yang diisi sos tomato daging dan mozarela.

Nasi dimasak dalam stok kunyit sebelum dibentuk, disalut serbuk roti dan digoreng hingga rangup.

Arancini ini sajian jalanan klasik Italy juga. Di sana (Italy) saiznya lebih besar, tapi kami kecilkan sedikit untuk sesuaikan dengan selera tempatan.

“Kami goreng sekali lagi sebelum dihidang supaya kekal rangup,” jelas Encik Alessandro.

Antara yang jadi perhatian termasuk (dari kiri) piza ayam perisa pedas, ‘Diavola Spicy Chicken Salami’, $17.20; ‘Classic Margherita’, $13.50 dan ‘Classic Tomato Base bersama Turkey Ham’, $13.90.
Antara yang jadi perhatian termasuk (dari kiri) piza ayam perisa pedas, ‘Diavola Spicy Chicken Salami’, $17.20; ‘Classic Margherita’, $13.50 dan ‘Classic Tomato Base bersama Turkey Ham’, $13.90. - Foto KUCINA KIOSKO

Bagi penggemar piza, Diavola Spicy Chicken Salami Sourdough Pizza, $17.20, menjadi pilihan utama.

Dohnya dibuat daripada campuran tepung gandum, beras dan soya yang diperam lama untuk menghasilkan kerak yang ringan dan rangup.

“Piza ini gaya Romana, lebih sihat, rendah gluten dan mudah dihadam,” tambah beliau.

Menurut Pengurus Operasi Kucina Kiosko, Cik Nurul ’Ain Zainodin, sambutan sejak pembukaan kios itu amat menggalakkan.

“Sejak kita buka, sambutan memang luar biasa. Waktu makan tengah hari dan malam paling sibuk.

“Pelanggan kita terdiri daripada orang muda, pelajar, keluarga dan juga makcik-makcik yang suka cuba makanan baru,” kata Cik Nurul ’Ain yang ingin dikenali sebagai Yayyin.

“Ramai pelanggan Melayu mula kenal pasta jenis casarecce. Biasanya mereka minta spageti, tetapi apabila kita suruh cuba, terus mereka suka sebab teksturnya unik,” tambahya.

Pelanggan juga boleh menyesuaikan rasa mengikut cita rasa sendiri.

“Kalau takut rasa keju mengundang jelak, pelanggan boleh tambah lada hitam atau cili.

“Orang Melayu suka pedas, jadi kita benarkan pelanggan tambah cili padi ikut selera masing-masing,” kata Cik Yayyin.

Kucina Kiosko bukan sekadar kios makanan, malah misi Kucina untuk membawa makanan Italy yang halal ke serata dunia.

“Saya sedar ramai masyarakat Islam belum kenal makanan Italy kerana tidak semua akan ke restoran. Harapan saya ialah untuk kembangkan konsep ini ke Malaysia, Indonesia dan negara Teluk,” katanya.

Pencuci mulut Italy klasik yang diperbuat daripada pastri biskut dicelup ke dalam kopi, iaitu Tiramisu’, $11.90.
Pencuci mulut Italy klasik yang diperbuat daripada pastri biskut dicelup ke dalam kopi, iaitu Tiramisu’, $11.90. - Foto KUCINA KIOSKO

Dengan pasta segar, piza ringan dan pencuci mulut klasik seperti Tiramisu, $11.90 dan Panna Cotta, $10.90, Kucina Kiosko ingin terus membawa makanan Italy yang autentik, halal dan berkualiti dinikmati oleh semua di tengah-tengah kawasan Orchard Road.

Kucina Kiosko
Alamat: 313 Somerset Rd, Level 5, Singapura 238895
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg