Dunia Anak (DNA), yang merupakan ruangan baru kelolaan Berita Harian (BH), telah mendekati ibu bapa dalam satu persidangan keibubapaan percuma yang berlangsung pada 2 November.
Persidangan berjudul Mengeratkan Hubungan Bersama Anak yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec dan dihadiri sekitar 100 orang itu, berhasrat mengupas kepentingan berkomunikasi secara berkesan antara ibu bapa dengan anak.
DNA, yang dilancarkan pada 3 Oktober, bertujuan memberi tumpuan kepada perkara berkaitan si kecil dan dunia mereka.
Diterbitkan setiap Khamis, ruangan itu disasarkan kepada ibu bapa muda dan berharap untuk mengupas topik berkaitan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, seperti persiapan memasuki darjah satu, pentingnya masa bermain dan bahaya masa skrin berlebihan ke atas pembangunan anak.
Selain isu yang berkait secara langsung dengan anak-anak, topik melibatkan orang di sekeliling mereka akan diterokai, seperti keibubapaan, perkahwinan dan hubungan keluarga.
Koresponden BH, Cik Nur Dhuha Esoof, yang mengendalikan ruangan DNA berkata:
“Menerusi perkongsian pengalaman ibu bapa membesarkan anak-anak mereka, DNA berharap dapat mencetus perbincangan dalam kalangan pembaca dan memberi inspirasi atau ilham kepada ibu bapa.”
Pembaca boleh menyertai kumpulan Telegram DNA untuk menerima rencana terkini secara tetap.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg