Berita Harian akan menganjurkan satu sidang keibubapaan percuma yang akan mengupas pentingnya komunikasi berkesan antara ibu bapa dengan anak pada Sabtu, 2 November.
Acara berjudul Mengeratkan Hubungan Bersama Anak itu juga akan membincangkan cara menyediakan persekitaran selamat untuk anak.
Penceramah di sidang itu, pekerja sosial berpengalaman lebih dua dekad, Cik Nur Hilyah Saparin, antara lain akan berkongsi pilihan alternatif untuk ibu bapa berkenaan cara mereka berkomunikasi dengan anak.
“Apabila kita berhubung dengan anak remaja kita dengan mendengar secara aktif, kita dapat membuka jalan ke arah penciptaan bersama peraturan, sempadan dan kesan berkaitan kehidupan remaja itu di dalam dan luar rumah,” kata Cik Nur Hilyah.
Beliau akan menyampaikan ceramah berjudul Kemahiran Keibubapaan Positif – Menjalinkan Hubungan dan Mencipta Bersama.
Seorang lagi penceramah di sidang itu, Ustazah Shameem Sultanah, akan menyampaikan ceramah kedua berjudul Prinsip Keibubapaan Islam yang Positif.
Beliau antara lain akan berkongsi tentang cara bagi ibu bapa mendekati anak remaja berdasarkan ajaran Islam.
Ibu bapa yang menghadiri sidang di Pusat Konvensyen Suntec itu juga akan dapat mengikuti perbincangan anggota panel berkaitan topik menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak mengharungi kehidupan dengan yakin.
Anggota panel bagi sesi itu ialah penceramah motivasi, Ustazah Liyana Musfirah; pegawai kes kanan di unit penjagaan selepas (penyepaduan semula) AMP, Cik Shafiqah Ashur; pengerusi eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Ketua bagi Jawatankuasa Kecil Bapa Teladan di Nakhoda, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor; dan sukarelawan IM Volunteers Network, Encik Danial Iskandar.
Berkongsi pendapatnya tentang topik yang akan dibincangkan, Encik Mohamed Khair berkata ibu bapa, termasuk datuk nenek, perlu tahu erti, skop dan kesan ‘persekitaran selamat’ dalam kehidupan hari ini dan esok.
“Sudah terdapat perubahan besar, terutama skop dan kesan keselamatan ke atas anak-anak. Anak-anak boleh berada dalam persekitaran yang tidak selamat walaupun mereka berada di dalam rumah sendiri.
“Ini boleh menjejas anak-anak dari pelbagai sudut sekiranya faktor ‘keselamatan’ ini tidak ditangani dengan baik dan bijak oleh para ibu bapa,” katanya.
Dalam menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak, Encik Mohamed Khair menyarankan agar keperibadian ibu bapa dijadikan rujukan utama buat anak-anak.
“Keperibadian ibu bapa haruslah yang bersifat terbuka dan tidak suka menuduh atau menghukum. Wujudkan suasana senang untuk anak-anak berbual dan bertanya, walaupun tentang topik-topik yang sensitif, tanpa ragu-ragu,” katanya.
Encik Mohamed Khair juga berkata ibu bapa perlu membimbing anak-anak menjadi lebih berhati-hati dengan mesej yang datang daripada sumber yang tidak diketahui atau meragukan.
“Ini supaya mereka tidak mudah tertipu atau ditipu sehingga melakukan sesuatu atau mengambil tindakan yang hanya akan membahayakan diri mereka dari sudut-sudut tertentu.
“Anak-anak juga perlu dibimbing supaya tahu batas-batas yang mereka perlu hormati agar tidak menjadi pelaku kesalahan ke atas orang lain di alam atau ruangan media alternatif,” ujarnya.
Sementara itu, Cik Shafiqah menggalakkan ibu bapa supaya peka terhadap trend yang muncul di kalangan kanak-kanak dan belia, kerana ia akan memberi maklumat tentang cabaran yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka.
“Kesedaran ini membolehkan kita memahami cabaran yang mereka hadapi, dan dengan itu, ibu bapa akan lebih bersedia untuk menyokong mereka ketika melayari fasa remaja yang menarik tetapi mencabar ini.
“Pada masa sama, adalah penting untuk meraikan pencapaian mereka dan terlibat dalam hobi mereka. Ini akan memupuk hubungan yang kuat, justeru mencipta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita membesar,” katanya.
Mengeratkan Hubungan Bersama Anak
2 November 2024, Sabtu, 2-5 petang
Pusat Konvensyen Suntec, Bilik 324 - 326
Masuk percuma
Daftar di sini: bit.ly/bhparents
Ceramah:
Topik 1: Kemahiran keibubapaan positif – menjalinkan hubungan dan mencipta bersama
Topik 2: Prinsip keibubapaan Islam yang positif
Perbincangan panel dan soal jawab:
Topik: Bagaimana ibu bapa boleh sediakan persekitaran selamat untuk anak-anak di tengah-tengah cabaran demi mengharungi kehidupan dengan lebih yakin?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg