Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ruangan DNA BH dekati ibu bapa di acara Mendaki

Nov 19, 2025 | 12:09 PM
Izwandi Azman, Norhaiza Hashim, Nur Adilah Mahbob, Dr Noraslinda Zuber
Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tiga dari kiri), mengunjungi reruai DNA BH semasa acara ‘Pathways to Success’ di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 15 November. Kehadiran beliau disambut wakil BH dan Mendaki, termasuk (dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber; wartawan BH, Encik Izwandi Azman; Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; serta Timbalan Editor Berita BH, Cik Nur Adilah Mahbob. - Foto YAYASAN MENDAKI

Asas kemahiran matematik, kesejahteraan dan kesihatan anak, serta memahami perubahan emosi mereka, adalah antara kemahiran diketengahkan kepada kira-kira 300 ibu bapa ketika satu acara keibubapaan anjuran Yayasan Mendaki pada 15 November.

Acara yang diberi nama Pathways to Success (Haluan Ke Arah Kejayaan) itu diadakan di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan menampilkan sebanyak 11 reruai rakan kongsi.

Ini termasuk Dunia Anak (DNA), ruangan mingguan Berita Harian (BH) berkenaan pembangunan minda dan emosi serta pendidikan si cilik, yang dilancarkan pada Oktober 2024.

Ruangan DNA turut meneroka topik seperti persiapan anak ke darjah satu, kepentingan permainan bebas, kesan masa skrin, serta isu berkaitan keibubapaan dan hubungan keluarga.

Selain laporan mingguan di akhbar dan dalam talian, DNA turut menyediakan kandungan tambahan melalui video pendek dan perkongsian pakar di media sosial BH.

Acara Pathways to Success turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Beliau berkongsi bagaimana acara itu bertujuan membantu ibu bapa memahami pendekatan pembangunan positif serta menyokong minat pembelajaran anak sejak usia awal.

Menurut salah seorang hadirin, Cik Annisa Bellia Putri, 32 tahun, acara itu “bermakna, membuka mata, dan benar-benar memberi inspirasi”.

Beberapa reruai lain turut menampilkan inisiatif yang menyokong perkembangan awal kanak-kanak dan kesejahteraan keluarga.

Antaranya ialah reruai Bapa Sepanjang Hayat, yang memperkenalkan sumber dan kemahiran keibubapaan untuk para bapa, serta KelasMateMatika di bawah Yayasan Mendaki, yang membimbing ibu bapa dalam menyokong asas numerasi anak di prasekolah.

Reruai Kodecoon Academy, yang memperkenalkan asas pengaturcaraan (programming) kepada kanak-kanak, turut menunjukkan peranan rakan komuniti dalam menyokong matlamat acara tersebut.

Dengan pelbagai kegiatan interaktif dan sumber maklumat dikumpulkan di satu ruang, acara tersebut menyatukan dan menawarkan peluang kepada ibu bapa dan kanak-kanak untuk meneroka pendekatan pembelajaran yang dapat menyokong perkembangan mereka dari usia awal.

Menurut Yayasan Mendaki, kededua pihak bakal bekerjasama dalam penyelidikan tiga teras, meliputi kesediaan kanak-kanak ke sekolah dan peralihan ke peringkat sekolah rendah; kemaslahatan ibu bapa dan hubungan keluarga; serta daya tahan dan kesihatan mental kanak-kanak kecil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg