Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah hantu di USS: Seram hingga hampir mahu menyerah
Pengalaman menyeramkan di empat rumah berhantu dan dua zon seram di HHN14
Rumah hantu di USS: Seram hingga hampir mahu menyerah
Belum sempat menarik nafas lega, kami sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan watak seram secara tiba-tiba di hadapan kami.
Begitulah pengalaman saya bersama pasukan wartawan Berita Harian (BH) ketika mengunjungi Universal Studios Singapore (USS) untuk merasai sendiri pengalaman Halloween Horror Nights 14 (HHN14).
Berlangsung dari 25 September hingga 1 November 2026, HHN14 menampilkan empat rumah berhantu, dua zon seram, tiga persembahan langsung serta pelbagai watak seram yang boleh muncul pada bila-bila masa di sekitar USS.
Kami memulakan kunjungan dengan persembahan Scaremony, yang mengisahkan sekumpulan pencipta kandungan yang memecah masuk ke sebuah gudang terbiar sebelum secara tidak sengaja melepaskan kuasa jahat.
Dari situ, kami meneruskan perjalanan ke rumah berhantu pertama, Karang Guni: The Cursed Collection.
Rumah kedai yang penuh dengan barang terpakai yang berselerak itu membuatkan kami tidak pasti dari arah mana pula kejutan seterusnya akan muncul.
Setiap sudut seolah-olah menyembunyikan sesuatu, daripada barangan terbiar hinggalah ruang sempit yang dipenuhi objek pelik.
Malah, seorang wartawan dalam pasukan kami hampir menyerah dan mahu berhenti di pertengahan perjalanan.
Kisahnya rumah berhantu ini tentang seorang karung guni yang bertahun-tahun mengumpulkan barangan terpakai tanpa menyedari bahawa setiap barang yang dikumpul membawa nasib malang daripada pemilik terdahulunya.
Akhirnya, rumah kedai itu menjadi tempat yang dipenuhi ‘sumpahan’.
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke rumah berhantu kedua, Chatterbox Charlie’s Vaudeville Horrors.
Pengalaman di sini terasa lebih trippy atau seolah-olah membawa pengunjung ke alam lain, dengan kejutan yang boleh muncul dari pelbagai arah termasuk dari atas juga.
Chatterbox Charlie, yang sebelum ini muncul di zon seram The FEARground, kini kembali dengan rumah berhantunya sendiri, ditemani patungnya, Junior.
Namun, bagi saya dan pasukan, Singapore’s Most Haunted: On Air merupakan antara rumah berhantu yang paling menyeramkan.
Belum sempat melangkah jauh, sudah ada kejutan yang menanti.
Ada kalanya kami baru mengambil satu langkah sebelum sesuatu muncul secara tiba-tiba di hadapan kami.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah berhantu ini, studio penyiaran yang dahulunya meriah kini berasa sunyi dan menyeramkan.
‘Legenda’ seram Singapura pula dihidupkan semula melalui beberapa babak mengerikan, membuatkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang perjalanan.
Rumah berhantu terakhir yang kami kunjungi ialah Made in Hell: XL Robotics, yang membawa kami melalui sebuah kemudahan kejuruteraan bio dan robotik.
Berbanding tiga rumah sebelumnya, pengalaman di sini terasa sedikit berbeza.
Suasana yang berkabus membuatkan beberapa bahagian set kelihatan tidak jelas, sekali gus menambahkan rasa tidak pasti ketika kami bergerak dari satu ruang ke ruang seterusnya.
Reka bentuk set pula menampilkan konsep futuristik yang sepadan dengan tema kemudahan robotik.
Bukan sekadar rumah berhantu
Selain rumah berhantu, kami turut melalui dua zon seram — The Raveyard dan Necropolis: The Serpent’s Crossroads.
Di The Raveyard, sebuah ‘tanah perkuburan lama’ bertukar menjadi dunia pesta yang diterangi cahaya neon apabila malam menjelang.
‘Roh-roh’ dari pelbagai zaman bangkit untuk meneruskan pesta yang terhenti akibat kematian, dengan beberapa ruang bergambar tersembunyi turut disediakan untuk pengunjung.
Di zon itu juga berlangsung persembahan Nail the Beat, yang menampilkan Ponti-Ana, watak baharu yang diinspirasikan daripada legenda Pontianak, bersama HamiKuma, beruang teddy zombi yang membuat penampilan sulungnya di USS.
Dari The Raveyard, kami kemudian menuju ke Necropolis: The Serpent’s Crossroads, sebuah misteri dari Mesir Purba yang dikuasai watak Sasu Soul Eater.
Di sini, pengunjung berdepan pelbagai makhluk aneh dan roh yang berkeliaran di sekitar zon tersebut.
Malam kami diakhiri dengan persembahan Club PanDEMONium, yang membawa pengunjung ke sebuah kelab di ‘neraka’ dengan KHAOS sebagai watak utama.
Namun, jika rumah berhantu dan zon seram masih belum cukup untuk membuatkan pengunjung terkejut, watak seperti Karung Guni dan Fatimah Rockers, yang diinspirasikan daripada legenda Pontianak, turut berkeliaran di sekitar USS.
Mereka boleh muncul di hadapan pengunjung pada bila-bila masa.
Di sebalik watak seram
Di sebalik segala jeritan dan kejutan yang kami lalui, persiapan untuk HHN14 sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah.
Prostetik untuk watak-watak HHN14 mengambil masa hingga empat bulan untuk diukir, dibentuk dan dihasilkan.
Bagi setiap pelakon seram pula, jurusolek mempunyai kira-kira 30 minit untuk mengubah mereka menjadi watak masing-masing sebelum acara bermula.
Sebanyak 1,125 prop digunakan dalam Karang Guni: The Cursed Collection, manakala 340 set kostum dihasilkan untuk pelakon di rumah berhantu, persembahan dan zon seram.
Sepanjang 18 malam acara, kira-kira 250 liter darah palsu turut digunakan, selain 108 rambut palsu bagi melengkapkan penampilan para pelakon.
Jadi, jika jeritan pengunjung kedengaran lebih banyak daripada biasa di USS sepanjang musim ini, mungkin ada sebabnya.
HHN14 berlangsung hingga 1 November 2026 di Universal Studios Singapore.
Tiket berharga $68 bagi tarikh bukan puncak dan $78 bagi tarikh puncak.
Lungsuri laman web, https://www.rwsentosa.com/en/play/universal-studios-singapore/halloween-horror-nights-14 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
