Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah lebih menarik dengan pilihan warna bijak
Rumah lebih menarik dengan pilihan warna bijak
Perabot, aksesori kecil berwarna beri suntikan berbeza pada ruang bertema neutral
Rumah lebih menarik dengan pilihan warna bijak
Pemilihan warna yang teliti dapat menggayakan rumah dengan berkesan, kata pereka dalaman, Cik Priscilla Tan, daripada firma reka bentuk, StyledbyPT.
“Walaupun dalam rumah yang bertema neutral, sedikit warna boleh mengubah suasana sesebuah bilik,” katanya.
Ia adalah konsep yang sering digunakan oleh pengasas dan pengarah firma reka bentuk Free Space Intent, Encik Raymond Seow, dalam projeknya.
Sering kali, pemilik rumah datang kepadanya dengan warna tertentu dalam fikiran.
Mereka menyebut warna kegemaran atau warna yang membawa makna istimewa bagi mereka.
Kadangkala, beliau membuat permintaan khusus: “Saya meminta mereka mencari gambar rujukan, daripada Pinterest dan laman media sosial lain, yang membuatkan mereka gembira.”
Berikut tiga perkara lain yang perlu dipertimbangkan apabila ingin menambah warna ke dalam rumah.
Aksesori kecil
Pengarah runcit Ikea Singapura, Encik Michael la Cour, mengesyorkan agar memulakan dengan aksesori kecil untuk menambah lapisan warna dalam rumah.
Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah bantal, lampu, permaidani atau aksesori hiasan seperti pasu.
Malah barangan berfungsi turut mendapat sentuhan warna baru.
Ini dapat dilihat pada penyambung wayar, Hornfels, berwarna kuning pucat ($24.90); atau peti simpanan warna pastel yang dijual oleh peruncit hiasan rumah, Stacked Store, (daripada $12).
Perabot besar
Bilik bertema neutral boleh menjadi lebih ‘hidup’ apabila perabot besar yang menonjol diperkenalkan sebagai titik tumpuan.
“Perabot utama seperti meja sisi berwarna atau kerusi santai berlengan, atau permaidani bercorak yang menyerlah, menjadikan bilik terasa lebih peribadi dan menarik,” kongsi Encik la Cour kepada The Straits Times (ST).
Flat empat bilik di Bishan milik Cik Lim Min, 33 tahun, seorang karyawan pemasaran, dan suaminya dihiasi dengan pelbagai perabot dalam warna terang dan menonjol.
Sistem penyimpanan modular berwarna kuning daripada jenama reka bentuk Swiss, USM, menjadi kemegahan di ruang belajar mereka.
Di ruang tamu pula, kerusi santai, Ligne Roset Togo, berwarna merah gelap menjadi tumpuan, dipadankan dengan perabot lebih besar berwarna merah jambu.
“Ini adalah perabot yang kami beli untuk jangka masa panjang. Semasa memilihnya, kami tidak terlalu fikirkan tentang trend, yang lebih penting ialah warna yang benar-benar kami suka,” katanya.
Sebagai alternatif kepada perabot biasa seperti almari atau sofa, sistem almari, Pax daripada Ikea, menawarkan pilihan pintu gelongsor dalam warna biru, hijau atau kedua-duanya dalam corak berpetak (daripada $340, tidak termasuk caj pemasangan dan penghantaran).
Gabung warna
Terdapat cara untuk mencampurkan dan memadankan warna dengan baik.
Sebagai contoh, rumah Cik Lim menampilkan kabinet berwarna kuning pucat di dapur berkonsep terbuka, perabot berwarna merah dan merah jambu di ruang tamu, serta almari antik Cina berwarna biru kehijauan di ruang masuk yang menghubungkan kedua-dua ruang itu.
Untuk mendapatkan lebih banyak inspirasi tentang gabungan warna yang sesuai, anda boleh menggunakan penjana palet warna percuma, merujuk pelbagai sumber di Internet, atau menggunakan roda warna sebagai panduan.
Seperti yang dinyatakan oleh Encik Seow: “Perkara yang paling penting ialah keseimbangan.
“Pilihan warna adalah sangat subjektif, tetapi anda tidak akan tersalah selagi anda mempertimbangkan cara untuk melengkapi dan mengimbangi warna dalam sesebuah ruang.”
