Emosi meluap-luap tatkala penyanyi Annie Lennox menyanyikan lagu sahabat seninya, Sinead O’Connor, atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat, Nothing Compares 2 U, sebagai satu persembahan mengenang sumbangan Allahyarhamha dalam bidang muzik dunia.
Agensi berita Reuters melaporkan Lennox, 69 tahun, vokalis kumpulan Eurythmics, begitu terkesan sewaktu membawa lagu yang asalnya merupakan dendangan mendiang Prince.
Shuhada’ yang meninggal dunia pada usia 56 tahun pada Julai 2023, membawa lagu berkenaan hingga ke tangga jaya carta muzik antarabangsa dengan persembahan mengagumkan.
Warganet tertanya-tanya mengapa Lennox menjadi pilihan untuk memberi sanjungan buat Shuhada’ sedangkan ironinya pada 1991, beliau telah memboikot Anugerah Grammy yang menjadi pentas kecemerlangan buat Shuhada’ yang meraih Anugerah Persembahan Muzik Alternatif Terbaik bagi album, I Do Not Want What I Haven’t Got, yang turut memuatkan lagu, Nothing Compares 2 U.
Pada masa yang sama, Lennox turut menguar-uarkan gesaan agar gencatan senjata dilancarkan bagi menamatkan perang Israel-Hamas yang berlarutan hingga hari ini.
Sanjungan turut diberi kepada mendiang Tina Turner dan Tony Bennett.
Stevie Wonder, 73 tahun, menyanyikan lagu sahabatnya, mendiang Bennett, yang meninggal dunia pada usia 96 tahun pada Julai 2023.
For Once In My Life berkumandang penuh syahdu, dengan Wonder berkata:
“Saya teringat Tony menyanyikan lagu ini ketika saya berusia 13 atau 14 tahun.
“Bagaimanapun, yang seronoknya apabila saya dapat menyanyikan lagu ini bersama beliau, seseorang yang saya kagumi, bertahun selepas itu.
“Suaranya sangat menakjubkan kerana cintanya pada seni, keamanan, perpaduan manusia dan hak sivil.”
Pengacara Oprah Winfrey pula mengenang kata-kata mendiang Tina Turner yang meninggal dunia pada Mei 2023.
“Tina pernah berkata kepada saya agar berdandan untuk makan malam meskipun tiada orang ada di sisi saya.
“Ia adalah untuk menghargai diri saya sendiri agar saya dapat rasakan betapa cantiknya kehidupan saya,” jelas Winfrey sebelum memperkenalkan penyanyi dan pelakon Fantasia Barrino dan Adam Blackstone untuk memberikan penghormatan muzik Turner.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg