Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarah Yasmine tuntut ganti rugi $250,000 daripada Aliff Aziz

Pengakuan Aliff tentang hubungan dengan Ruhainies sahkan kenyataan yang Sarah muat naik adalah fakta, bukan fitnah
Mar 11, 2025 | 10:48 AM
Bekas kekasih Aliff Aziz, Sarah Yasmine, memberi Aliff masa seminggu untuk melunaskan ganti rugi yang telah ditetapkan sebanyak $250,000.
Bekas kekasih Aliff Aziz, Sarah Yasmine, memberi Aliff masa seminggu untuk melunaskan ganti rugi yang telah ditetapkan sebanyak $250,000. - Foto INSTAGRAM SARAHYASMINEEKH

Nama seorang wanita – Sarah Yasmine – yang timbul di tengah-tengah kehangatan berita keretakan rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah pada awal 2024 muncul kembali dengan tuntutan terkini.

Beliau kini meminta Aliff membayar ganti rugi $250,000.

Sarah, 25 tahun, memuat naik beberapa hantaran di Instagramnya pada 9 Mac, meminta Aliff melunaskan wang pampasan dalam masa seminggu.

“Sekiranya anda ‘tidak menerima’ apa yang saya hantar kepada anda secara peribadi semalam pada 8 Mac 2025, tidak ada cara untuk saya sampaikan, jadi saya menyiarkannya di sini saja,” kata Sarah dalam hantarannya, setahun setelah kejadian tangkap khalwat Aliff berlaku.

Sarah mendakwa menjalin hubungan dengan Aliff sejak Januari 2024.

Namun, pada 9 Mac 2024, Aliff, 34 tahun, ditangkap berkhalwat dengan pelakon Malaysia, Ruhainies, atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32 tahun, di sebuah kondominium.

Ia sekali gus menimbulkan kontroversi dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Sarah, yang pada masa yang sama, dikatakan menjalin hubungan dengan Aliff, tidak percaya dengan tuduhan itu dan menyebelahi kekasihnya.

Namun rahsia Sarah wujud dalam hidup Aliff terbongkar apabila Sarah sendiri memuat naik beberapa tangkap layar perbualan Aliff dan Ruhainies di wadah WhatsApp, selain hantaran gambar dan video menunjukkan dirinya bermesra dengan kekasihnya itu.

Sementara itu, Aliff dan Ruhainies masih mempertahankan kedudukan mereka tidak bersalah.

Aliff turut dikatakan memfailkan Akta Perlindungan Daripada Gangguan (Poha) terhadap Sarah untuk menghentikan semua siaran Instagram yang merosakkan imejnya.

Dalam laporan akhbar lain, Aliff mengaku telah membuat kesilapan kerana menjalin hubungan dengan Sarah.

Menurut Sarah, niatnya pada masa itu adalah untuk membela Aliff, yang dikritik oleh peminat dan netizen.

Namun beliau kecewa apabila mendapat tahu Aliff benar-benar mempunyai hubungan dengan Ruhainies dan berkongsi bukti perbualan mereka di Instagramnya.

Kini, Sarah mahu pelakon asal Singapura itu memberi wang pampasan kepadanya.

Dalam perbualan di wadah Instagram bersama wartawan Berita Harian (BH), Sarah berkata, beliau melakukan ini bukan kerana ingin membalas dendam.

Sebaliknya, beliau ingin memberi amaran kepada mereka yang menuduh dirinya mereka-reka cerita tidak benar.

“Surat tuntutan adalah satu cara undang-undang untuk menangani kemudaratan yang disebabkan oleh kenyataan palsu yang dibuat tentang saya.

“Jumlah ($250,000) yang diminta berdasarkan kerosakan yang dialami dan ia adalah hak undang-undang saya sepenuhnya untuk mendapatkannya.

“Ini bukan tentang marah atau dendam tetapi tentang bertanggungjawab dan memastikan bahawa tuntutan palsu mempunyai akibat.

“Saya hanya mengikuti proses yang sewajarnya dan terpulang kepada pihak lain tentang cara mereka memilih untuk bertindak balas.”

Dalam hantaran di akaun Instagramnya, Sarah berkata beliau wajar bertindak sedemikian kerana Aliff sudah membuat pengakuan khalwat bersama Ruhainies, sekali gus membuktikan keadaan sebenar.

“Pengakuan ini mengesahkan bahawa kenyataan saya sebelum ini tentang hubungan anda dengan pelakon tersebut, yang telah saya kongsikan secara terbuka, adalah fakta dan bukan fitnah.

“Walaupun begitu, anda telah membuat tuntutan Poha secara salah terhadap saya, yang membawa kepada Perintah Perlindungan Dipercepatkan (EPO) yang dikeluarkan pada 29 April 2024. Tindakan undang-undang ini adalah remeh dan tanpa kebenaran,” ujarnya.

Sarah juga memberi amaran kepada mereka yang menganiaya dirinya pada tempoh yang sama dan berjanji akan mencari keadilan.

“Bagi mereka yang telah menganiaya saya dalam tempoh yang sama, terutamanya mereka yang mereka fitnah terhadap saya, sama ada besar atau kecil, ketahuilah bahawa saya akan datang kepada anda juga tahun ini (2025). Anda tahu siapa anda,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan BH, ibu kepada Aliff, Cik Hafizah Basharahil, memberi jawapan ringkas:

“Kami tidak ada komen. Hanya doakan yang terbaik untuknya (Sarah). Beliau memerlukan itu.”

Surat tuntutan adalah satu cara undang-undang untuk menangani kemudaratan yang disebabkan oleh kenyataan palsu yang dibuat tentang saya.  Jumlah ($250,000) yang diminta berdasarkan kerosakan yang dialami dan ia adalah hak undang-undang saya sepenuhnya untuk mendapatkannya.
Sarah Yasmine, yang mendakwa dirinya bekas kekasih Aliff Aziz.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg