Mereka yang ingin menaiki penerbangan bajet ke Thailand dan Jepun kini mempunyai pilihan lebih luas sedang syarikat penerbangan tambang rendah Scoot mengumumkan tiga laluan baru ke lapangan terbang Chiang Rai (Thailand), Okinawa dan Tokyo (Jepun).
Penerbangan itu akan bermula secara bertahap antara Disember 2025 dengan Mac 2026, menurut Scoot dalam satu kenyataan media pada 12 Ogos.
Pelancaran perkhidmatan ke tiga destinasi itu bermakna syarikat penerbangan itu membawa penumpang ke 76 destinasi, termasuk Singapura, merentas wilayah Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah.
Laluan tambahan itu juga bermakna setiap minggu, Scoot akan mengendalikan 111 penerbangan ke Thailand dan 45 penerbangan ke Jepun.
Tambang kelas ekonomi sehala dari Singapura ke Chiang Rai bermula daripada $128, manakala ke Okinawa dan Tokyo bermula daripada $190.
Terletak di bahagian paling utara Thailand, Chiang Rai terkenal dengan kawasan pergunungan indah dan suasananya tenang.
Berakar umbi dalam warisan Lanna, penduduk etniknya adalah pelbagai dengan suku kaum bukit yang berbeza. Kepelbagaian budayanya dicerminkan dalam seni bina, masakan dan seni.
Scoot akan memulakan lima penerbangan setiap minggu ke Chiang Rai pada 1 Januari 2026.
Okinawa, ‘syurga’ subtropika Jepun, pula adalah kepulauan yang terkenal dengan pantai bersih, air jernih, dan warisan Ryukyu yang unik.
Kaya dengan budaya dan tapak Warisan Dunia Unesco semula jadi, Okinawa menawarkan jendela kepada sejarah dan keindahan alam.
Scoot juga akan melancarkan perkhidmatan ke Tokyo, menyediakan pelancong laluan alternatif dan mudah untuk sampai ke ibu kota Jepun yang sibuk itu.
Penerbangan ke Okinawa sebanyak tiga kali seminggu akan bermula pada 15 Disember 2025, manakala penerbangan harian ke Tokyo akan bermula pada 1 Mac 2026.
Scoot dalam kenyataannya juga mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan kekerapan penerbangan dalam rangkaiannya bagi menyokong permintaan bagi perjalanan udara dalam tempoh percutian akan datang.
Mulai Ogos, penerbangan ke Bangkok dinaikkan dari 35 ke 39 kali setiap minggu, manakala ke Ipoh, ia meningkat dari 17 ke 21 kali seminggu bermula November.
Mulai Disember pula, Scoot akan menggandakan kekerapan penerbangan ke Chiang Mai, dari tujuh kepada 14 setiap minggu.
Destinasi lain yang akan menyaksikan kekerapan penerbangan termasuk Sapporo, Taipei dan Pulau Jeju di Asia Timur serta Vienna di Eropah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg