Tugas memasarkan tudung yang sudah dikenali dari Malaysia di Singapura tidaklah semudah yang dilihat di permukaannya.
Ia memerlukan lebih daripada sekadar pemahaman tentang gaya dan tekstil – ia menuntut visi, strategi, dan empati mendalam terhadap keperluan wanita moden.
Itulah yang dilakukan oleh Cik Filzah Zainal, Pengarah Urusan, TudungPeople Singapura, yang tidak hanya membawa jenama hijab yang dikenali itu ke pasaran tempatan, bahkan turut menyuntik nafas baru dengan pendekatan masyarakat dan pemerkasaan wanita sebagai teras utama.
“Saya percaya tudung bukan sekadar penutup aurat. Ia adalah cara kita mengekspresikan diri, mencerminkan keindahan dalaman dan luaran,” ujar beliau penuh yakin.
Cik Filzah, 37 tahun, yang memiliki ijazah Perhubungan dan Media Baru daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), tidak pernah menyangka beliau akan menceburi bidang fesyen sopan buat wanita.
Namun, minatnya terhadap keusahawanan dan media digital membuka ruang yang tidak dijangka.
“Saya ingat lagi pensyarah saya kata, e-dagang dan media baru akan menjadi masa depan.
“Waktu itu belum jelas hala tuju saya, tapi saya tahu saya mahu bina sesuatu yang ada nilai,” katanya.
Namun, laluan ke dalam dunia perniagaan bukan tanpa percubaan.
Beliau pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan dalam talian – daripada kosmetik hingga fesyen – sebelum memperolehi peluang menjadi pengedar rasmi TudungPeople Singapura pada 2014.
Jenama TudungPeople, yang berasal dari Malaysia diasaskan usahawan lulusan seni bina, Cik Fazrena Abdul Aziz, pada 2011, dan disambut baik oleh pengguna di Singapura.
Namun, Cik Filzah tahu bahawa sekadar menjual produk tidak mencukupi.
Bermula dari 2014, peluang untuk menjadi pengedar tunggal TudungPeople di Singapura hadir tepat pada masanya.
Dengan gabungan kefahaman dalam perhubungan digital dan strategi pengguna, beliau mengubah proses pesanan yang dahulu dilakukan secara manual di Facebook kepada satu wadah e-dagang yang sistematik dan mesra pengguna.
Apa yang membezakan TudungPeople di Singapura dengan jenama tudung lain bukan hanya rekaannya yang sejajar dengan keperluan masa kini lagi selesa, bahkan pendekatan menyeluruh dan berteraskan masyarakat.
Di bawah kepimpinan Cik Filzah, TudungPeople Singapura menganjurkan pelbagai acara bulanan seperti ceramah kerohanian dan motivasi, bengkel warna, serta kegiatan santai seperti berjalan riadah dan seni gubahan bunga.
“Saya mahu wanita rasa selesa bukan saja dengan tudung yang dipakai, bahkan juga dengan diri mereka sendiri.
“Tudung itu hanyalah permulaan. Keyakinan datang apabila kita rasa didengar dan disokong,” kata beliau.
Di sebalik setiap pelancaran koleksi baru yang ditunggu pelanggan setiap hari saban minggu, terdapat operasi logistik yang teliti.
Daripada membuka 20 kotak bekalan dalam masa sehari dua, hingga menyelaraskan operasi runcit dan dalam talian, semuanya memerlukan ketekunan dan kerjasama pasukan yang ketika ini terdiri daripada 12 orang di gudang dan lapan di kedai runcit.
“Pelanggan di Singapura sangat menghargai kecekapan dan ketekalan. Kami bukan sahaja menjual tudung, tapi juga penyelesaian gaya hidup,” jelas Cik Filzah, yang turut mengawasi aspek sumber manusia, kewangan dan pemasaran bersama pasukan kecil tetapi berdedikasi.
Sementara mereka bertemu pelanggan di tokoh yang terletak di Arab Street, urusan penerimaan bekalan dan logistik dibuat dari gudang mereka di Gambas Crescent.
Sebagai seorang wanita dalam dunia perniagaan, Cik Filzah tidak terlepas daripada cabaran stereotaip.
“Ada andaian bahawa lelaki lebih tegas dalam memimpin. Saya pula percaya dalam kepimpinan yang empati – tahu bila perlu beri ruang dan bila perlu tegas,” katanya.
Beliau bernikah pada usia 35 tahun, setelah melalui tempoh bujang yang dipenuhi dengan pencarian diri dan pengalaman keusahawanan.
Kini sebagai ibu dan pemimpin syarikat, beliau terus mengimbangi tuntutan keluarga dan kerjaya.
“Setiap hari ada cabaran. Tapi saya belajar untuk tidak lakukan semuanya sendiri.
“Saya bina sistem, bahagikan tugas, dan yang paling penting, percaya pada pasukan saya,” katanya sambil tersenyum.
Beliau percaya Singapura berpotensi menjadi hab antarabangsa bagi fesyen sopan, dan mahu memperluas pengaruh TudungPeople ke peringkat sejagat melalui strategi kerjasama dengan pihak lain dan penglibatan sosial.
Salah satu kempen yang paling menyentuh hatinya ialah majlis Ramadan yang dianjurkan bersama pelanggan dan tokoh media sosial.
“Saya bayangkan satu ruang di mana wanita boleh berkongsi perjuangan dan tujuan mereka.
“Selepas 10 tahun dalam industri ini, impian itu jadi nyata,” katanya dengan penuh emosi.
Jenama itu juga aktif menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial, termasuk kerjasama dengan pertubuhan seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan kerjasama bersama jenama tempatan.
Kepada wanita yang ingin memulakan perniagaan tetapi masih ragu-ragu, nasihat Cik Filzah, ringkas tetapi bermakna:
“Kenali kekuatan anda. Bina sokongan. Bercakap dengan orang yang pernah lalui jalan itu. Sebenarnya, tak pernah kita terlambat untuk memulakan sesuatu.”
Beliau sendiri pernah meragui nilai sumbangannya kerana tidak menghasilkan produk dari awal.
Namun kini, beliau sedar, kekuatannya terletak pada membina pengalaman, masyarakat dan sistem yang menyokong wanita dalam perjalanan mereka.
“Saya belajar untuk mengorak perjalanan saya sendiri. Kita semua ada cara berbeza untuk memberi nilai,” kata Cik Filzah yang mahu membuktikan kepimpinan wanita bukan sekadar duduk di kerusi pengarah, bahkan mampu mendengar, menyantuni, dan mencipta ruang untuk wanita lain bersinar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg