Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas 10 tahun mencuba, penyampai berita Glenda Chong bakal jadi ibu

Lalui 10 cubaan IVF untuk hamil pada usia 51 tahun
Oct 23, 2024 | 5:30 AM
Penyampai berita, Cik Glenda Chong, dan suami Encik Justin Chan ketika mengumumkan kehamilannya pada 5 Oktober.
Penyampai berita, Cik Glenda Chong, dan suami Encik Justin Chan ketika mengumumkan kehamilannya pada 5 Oktober. - INSTAGRAM GLENDA CHONG

Selepas 10 tahun berusaha untuk hamil, penyampai berita Singapura, Cik Glenda Chong, akhirnya berkongsi berita gembira.

Pada usia 51 tahun, beliau kini hamil empat bulan dengan anak pertamanya, seorang bayi lelaki.

Penyampai berita Mediacorp itu dan suaminya, seorang peguam, Encik Justin Chan, mengumumkan berita kehamilan tersebut menerusi video dan wawancara bertulis yang diterbitkan pada 5 Oktober oleh CNA Today.

Kehamilan beliau berlaku selepas menjalani 10 kitaran persenyawaan in vitro (IVF), satu teknologi reproduktif yang melibatkan rangsangan badan wanita untuk menghasilkan telur, kemudian mengeluarkannya.

Telur tersebut disenyawakan dengan sperma lelaki sebelum embrio yang telah disenyawakan dipindahkan kembali ke dalam rahim.

Kadar kejayaan IVF berbeza-beza, tetapi jurucakap Kementerian Kesihatan memberitahu The Straits Times pada 2023 bahawa kadar kejayaan kitaran rawatan reproduktif bantuan bagi wanita berusia 45 tahun ke atas adalah kurang daripada 3 peratus pada 2020 dan 2021.

Pada usia 51 tahun, kehamilan Cik Chong dianggap berisiko tinggi.

Beliau dilarang melakukan perjalanan melebihi radius lima jam dari Singapura.

Beliau juga perlu bertemu doktornya, Dr Suresh Nair, pengarah perubatan di klinik Seed of Life, setiap minggu atau dua minggu sekali untuk pemeriksaan.

Pasangan itu berhati-hati untuk berkongsi berita tersebut sehinggalah baru-baru ini, dan mereka tidak mempunyai rancangan untuk membeli barang-barang bayi sehingga tarikh bersalin Cik Chong semakin dekat, kerana bimbang akan “mengganggu” hasil kehamilan tersebut.

Pasangan yang berkahwin pada 2014 itu sememangnya mahukan anak dan mula mencuba untuk hamil secara semula jadi sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga.

Memandangkan Cik Chong sudah berusia 41 tahun ketika itu, beliau berhenti mengambil alkohol dan kafein, dan mula bersenam secara teratur untuk meningkatkan kesihatannya serta peluang untuk hamil.

Beliau melalui apa yang dipanggilnya sebagai rutin – kaedah untuk hamil secara semula jadi, termasuk memantau suhu badannya, serta perubatan tradisional Cina dan akupunktur.

Selepas dua tahun mencuba namun masih tidak berjaya, pasangan itu beralih kepada IVF.

Dalam proses IVF yang memakan masa bertahun-tahun itu, mereka menemui enam doktor, termasuk dua dari luar negara.

Cik Chong juga mengalami keguguran yang berlaku terlalu awal sehingga beliau tidak dapat merasakannya.

Perjalanan IVF itu sangat mencabar dari segi emosi bagi Cik Chong dan suaminya.

Apabila usia semakin meningkat, Cik Chong hanya mampu menghasilkan satu telur dalam dua kitaran IVF terakhirnya, berbanding 20 telur yang dapat dikeluarkan ketika beliau mula-mula memulakan rawatan.

“Saya sangat, sangat sedih. Saya tidak bersedia dari segi mental untuk satu telur itu. Jadi secara emosi, saya betul-betul terjejas,” katanya.

Encik Chan, yang berusia lewat 40-an, menambah: “Setiap kali ia tidak berjaya, ia adalah satu tamparan hebat... anda perlu melalui kitaran harapan ini berulang kali dan kemudian melihat harapan tersebut musnah.”

Percubaan pasangan itu untuk menimang cahaya mata sendiri turut menyebabkan ketegangan.

Pada satu ketika, Encik Chan bertanya adakah beliau tidak mencukupi untuk Cik Chong?

Beliau teringat, “Saya berkata, ‘Tidak, awak lebih daripada mencukupi. Tetapi saya mahukan lebih daripada awak. Saya mahukan versi kecil awak berlari ke sana sini, saya mahukan versi kecil kita, saya mahukan versi kecil saya berlari ke sana sini’.”

Namun begitu, beliau telah reda dengan kehidupan tanpa anak kandung pada kitaran IVF yang ke-10.

Malah beliau sudah bersedia untuk berhenti mencuba.

Cik Chong menjalani kitaran terakhir itu tanpa sebarang jangkaan, tetapi kitaran tersebut jugalah yang akhirnya membuahkan hasil yang sangat diidamkan selama ini dan Cik Chong disahkan hamil.

Beliau berkata: “Harapan sentiasa ada, dan harapan adalah motivasi besar bagi saya.”

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg