Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Semangat Hazrul berseni sana sini kian rancak

Dalam kesibukan teruskan tugas ejen hartanah, bintang 'Gegar Vaganza' dari S'pura enggan tangguh kerja seni di sini dan di M'sia
Feb 02, 2023 | 05:30 AM



MOMENTUM yang sudah ada selepas kemunculannya dalam peringkat akhir Gegar Vaganza 9 (GV9) memerlukan bintang Singapura, Hazrul Nizam, untuk terus merancang kerjaya nyanyiannya di Singapura dan Malaysia.



Kalau dahulu ejen hartanah ini boleh sahaja menyanyi apabila perlu bersama kumpulan akapelanya atau di atas undangan pihak tertentu, kini menjana lagu baru, kerjasama dengan artis lain atau aktif menerima undangan penganjur acara turut menjadi keutamaannya.



Hazrul, 42 tahun, yang ditemui Berita Harian sebelum terlibat dalam konsert Persada Budaya di Wisma Geylang Serai (WGS) berkata:



"Sekarang ini sudah ada beberapa tugasan dan 'lamaran' yang saya terima bahkan saya ada pengurus berasingan di Singapura dan Malaysia untuk membantu saya mengendalikan kerjaya nyanyian saya.



"Pengurus saya memang mengusulkan agar saya teruskan apa yang saya telah bina dalam GV9 dengan adanya pengikut yang lebih ramai di Malaysia dan Singapura.



"Buat lagu baru dan bekerjasama dengan seorang penyanyi wanita di Singapura dan seorang lagi penyanyi wanita di Malaysia juga antara perancangan saya. Buat masa ini, biar saya rahsiakan dahulu siapa mereka. Cuma mereka memang sahabat saya.



"Apa yang perlu saya lakukan adalah bangkitkan semangat untuk terus 'on' dalam kesibukan tugas sebagai ejen hartanah. Masalahnya kadangkala kita ni tak terbuat-buat apa yang perlu dilakukan. Harus luputkan sikap nanti-nanti atau bertangguh."



Lusa, Hazrul juga bakal menjayakan program kerjasama Mediacorp dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muzika Ekstravaganza, yang bakal disiarkan di Suria dan aplikasi meWATCH.



Beliau akan berduet dengan alumni GV8, Suki Low, dalam medley lagu Kita Insan Biasa (nyanyian asal Dayangku Intan dan Jay Jay) dan Dua Insan (dendangan M. Nasir dan Yunizar Hussein).



Antara yang menyentuh perasaan Hazrul adalah impak GV9 pada kerjayanya dan tambahnya pengikut termasuk dalam kalangan generasi muda.



"Sewaktu berlatih buat Persada Budaya, saya bertemu dengan budak sembilan tahun yang datang untuk latihan silat.



"Tak sangka dia kenal saya dan ikuti perkembangan saya di GV9. Mungkin kerana ibu bapanya menonton program realiti ini," jelas Hazrul yang dikenali kerana lagu yang sudah distrim lebih setengah juta, Kaulah Segalanya, ciptaan Mayuni Omar.



Hazrul yang dikenali ramai sebagai berhemah dan merendah hati juga merancang belajar mencipta lagu sendiri.



"Sebelum ini, kerana kesibukan tugas sepenuh masa, tak terfikir nak bikin lagu sendiri. Tugas ini selalu diserahkan kepada penggubah lagu macam Mayuni.



"Bagaimanapun, rasanya nak belajar tulis lirik sendiri dan cipta irama lagu sendiri sebab ini kemahiran yang setiap anak seni boleh jadikan sebagai sandaran," ujarnya.



Februari juga adalah bulan istimewa yang akan melihatkan Hazrul berada dalam muzikal Ogy Ahmad Daud, Muzikal Wajah Rahsia Hati, di Teater Gateway sekitar Bukit Merah pada 11 Februari.



Beliau akan berduet dengan Ogy bagi runut bunyi filem Suara Kekasih, Rela Menanti serta menyanyi secara solo lagu Gerhana yang dipopularkan Ogy.



"Saya membesar dengan filem Kak Ogy. Pastinya saya berbesar hati dapat jayakan muzikal beliau bersama rakan GV9, Fuad Rahman.



"Bagi saya, kededua lagu Rela Menanti dan Gerhana miliki keistimewaannya sendiri," katanya.



Dalam meniti kerjaya seninya yang kembali menyinar, Hazrul tidak lupakan ramai yang memberinya dorongan untuk tidak sia-siakan bakat yang dimiliki demi menghibur ramai.



"Saya hargai dan bersyukur dengan banyak peluang yang diberi sejauh ini. Menyanyi dengan diiringi Orkestra Melayu Singapura (OMS) menaik taraf persembahan seorang penyanyi pada skala berbeza. Amat seronok menyanyikan lagu Kaulah Segalanya dan Kau Pun Sama dengan iringan muzik OMS," jelasnya.



Setiap hari juga, beliau banyak belajar perkara baru. Apabila konsert Persada Budaya meletakkannya sebagai inspirasi, Hazrul menjelaskan kadangkala kehidupan ini penuh dengan perkara yang tidak dijangka.



"Saya sama sekali tak rancang untuk kembali dengan sesuatu kemunculan yang gah. Kebetulan ada masa, saya masuk bertanding untuk dapatkan pengalaman dan ilmu.



"Apabila dianggap sebagai inspirasi, saya bersyukur dan ikhlas memberi. Ia juga dorongan untuk saya semai dalam diri saya perkara yang baik, nilai seni yang baik dan budaya kerja yang boleh mencetus inspirasi buat anak seni dalam generasi muda," jelasnya.



Dalam lingkungan tugasnya sebagai ejen hartanah, Hazrul berkata dengan adanya pertanyaan dari orang Malaysia mengenai khidmatnya, beliau mungkin boleh mengembangkan sayapnya ke sana dengan memohon lesen untuk mengendalikan hartanah di sana pada masa akan datang.



"Buat masa ini, tak ada lesen lagi. Tapi terkejut juga bila orang Malaysia hubungi saya untuk tanyakan perkara ini selepas nombor telefon saya tertera di GV9. Mana tahu pada masa akan datang ada rezeki kendali hartanah di sana?" ujarnya.




"Sekarang ini sudah ada beberapa tugasan dan 'lamaran' yang saya terima bahkan saya ada pengurus berasingan di Singapura dan Malaysia untuk membantu saya mengendalikan kerjaya nyanyian saya. Pengurus saya memang mengusulkan agar saya teruskan apa yang saya telah bina dalam GV9 dengan adanya pengikut yang lebih ramai di Malaysia dan Singapura. Buat lagu baru dan bekerjasama dengan seorang penyanyi wanita di Singapura dan seorang lagi penyanyi wanita di Malaysia juga antara perancangan saya."
- Hazrul Nizam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >