Vietnam kini melonjak sebagai destinasi pelancongan pilihan di Asia Tenggara, khususnya bagi pelancong Singapura.

Peningkatan itu jelas terlihat pada hasil pelancongan negara tersebut, yang melambung daripada hanya 1.34 bilion dong (sekitar $64,800) pada 1990 kepada 840 trilion dong pada 2024, menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Kebangsaan Vietnam (VNAT).

Malah, Vietnam memimpin pemulihan pasaran pelancongan serantau pascapandemik, mencapai kadar pemulihan 98 peratus berbanding 2019.

Kejayaan itu bukan kebetulan. Ia hasil paduan kestabilan politik, sistem pendidikan yang teguh dan pembangunan prasarana yang pesat.

Kedudukan geografi bersebelahan China turut mengukuhkan Vietnam, menjadikannya penghubung penting dalam rantaian bekalan global, sekali gus memacu ekonomi dan sektor pelancongannya.

Bagi pengunjung, tarikan utama Vietnam terletak pada warisan sejarah yang kaya, panorama alam semula jadi memukau dan kos yang berpatutan.

Sejak beberapa tahun ini, budaya jalanan, sajian tempatan dan pengalaman membeli-belah menjadi ‘magnet’ baru, terutama buat pelancong muda.

Cik Nadia Lim, 25 tahun, seorang pelawat tetap Ho Chi Minh City, menyifatkan Vietnam sebagai destinasi yang mudah diakses dan menawarkan nilai yang tinggi.

Dengan kos lebih rendah berbanding Singapura, beliau menikmati pelbagai pilihan beli-belah dan makanan.

Ledakan sektor pelancongan itu turut didorong pelaburan besar dalam hospitaliti.

Syarikat antarabangsa seperti The Ascott dan Marriott International terus mengembangkan sayap mereka, termasuk membina hotel dan resort baru di lokasi seperti Phu Quoc dan Vung Tau.

Pada masa yang sama, pelancongan kesihatan dan kesejahteraan semakin diminati, dengan pembangunan resort berkonsep ‘onsen’ (kolam mandian air panas) di utara dan tengah Vietnam.

Akses ke Vietnam juga bertambah mudah dengan penambahan laluan penerbangan baru.

Syarikat penerbangan tambang rendah, seperti Scoot dan Vietjet, rancak memperluaskan sayap mereka ke destinasi pantai memikat seperti Phu Quoc dan Nha Trang.

Tambang penerbangan pergi balik dari Singapura ke Ho Chi Minh City pula serendah sekitar $210, menjadikan Vietnam destinasi percutian mesra bajet.

Pemerintah Vietnam menggariskan sasaran tinggi, mahu menarik sehingga 50 juta pelancong antarabangsa menjelang 2030, disokong inisiatif termasuk memperkasa prasarana dan mengukuhkan jenama destinasi.

Pulau Phu Quoc, contohnya, sedang diukir sebagai hab acara antarabangsa, bersedia menyambut forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada 2027.

Walaupun demikian, bayangan cabaran tetap ada, termasuk ketidaktentuan ekonomi global dan lonjakan kos tenaga yang mungkin merencatkan perbelanjaan pelancong.

Namun, panorama sektor pelancongan Vietnam kekal teguh, dibuktikan dengan 6.76 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada suku pertama 2026 sahaja.

Bagi pencipta kandungan seperti Cik Natasha Lee, Vietnam terus menawarkan daya tarikan yang tiada tandingan.

Dengan saiz negara yang meluas dan khazanah destinasi yang masih menanti untuk diteroka, Vietnam bukan sekadar persinggahan popular – ia adalah sebuah kisah pengalaman yang sentiasa memanggil untuk dilawati lagi.