Pesta Kandungan Kanak-Kanak Asia (AFCC) kembali pada 2026 dengan pelbagai acara daripada sesi bercerita dan bengkel kepada penyampaian dan pelancaran buku.

Bertema, ‘The Worlds We Make’, pesta kali ini diadakan dari 21 hingga 24 Mei di Bangunan Perpustakaan Negara di Victoria Street.

Ia mengajak pengunjung meneroka cara cerita boleh menjadi pemacu tindakan yang kuat dan peranan pencipta kandungan kanak-kanak dalam masa hadapan yang dibina, masyarakat yang dibayangkan dan perubahan yang mahu dilakukan.

Pesta anjuran Majlis Buku Singapura itu menampilkan lebih 100 program dan penceramah, termasuk oleh Pustakawan Kanan, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah, dan penulis buku kanak-kanak, Far’ain Jaafar.

Penerbit tempatan, Ungu Pen dan Pustaka Nasional juga akan melancarkan buku baru mereka di pesta itu.

Berikut antara kegiatan yang dijalankan:

Penyampaian
Cerita Rakyat: Dilestarikan, atau Diolah Semula?
Tarikh: 22 Mei
Masa: 10.30 hingga 11.30 pagi
Lokasi: Possibility Room, Aras 5

Sebahagian besar sastera kanak-kanak berasal daripada cerita rakyat yang diwarisi daripada tradisi sastera lisan.

Namun, sejauh manakah penceritaan semula cerita rakyat perlu kekal benar menurut versi asal?

Haruskah ia diubah suai mengikut perubahan zaman supaya kekal relevan?

Atau haruskah ia benar-benar diubah dengan tujuan mempermasalahkan versi asal atau untuk mengedepankan nilai baru yang mungkin bertentangan dengan nilai yang terkandung dalam versi asal?

Sesi ini akan berlangsung dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bengkel
Menyemai Cinta pada Bahasa Ibunda melalui Cerita Warisan
Tarikh: 22 Mei
Masa: 3.30 hingga 5 petang
Lokasi: Imagination Room, Aras 5

Pembentangan ini meneroka bagaimana cerita warisan berbahasa Melayu dapat memupuk jati diri, rasa ingin tahu dan literasi awal kanak-kanak, sambil memperkenalkan sejarah berbilang budaya dan warisan bersama Singapura.

Berasaskan Siri Warisan PCF Sparkletots (PCFSP) yang diilhamkan oleh pelbagai sudut Singapura lama dan masyarakat berbeza, sesi ini menunjukkan cara pendidik dan ibu bapa boleh menggunakan naratif tempatan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa, menggalakkan minat membaca dan menyokong pembinaan makna dalam persekitaran berbilang bahasa.

Penceritaan berbahasa Melayu juga membantu kanak-kanak meneroka bukan sahaja warisan Melayu, malah landskap berbilang budaya Singapura, sekali gus memupuk rasa saling hormat, empati dan kebersamaan.

Sesi akan berlangsung dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Sesi bercerita
Sate!
Tarikh: 24 Mei
Masa: 10.30 hingga 11.30 pagi
Lokasi: Perpustakaan Awam Sentral (CTPL) Submarine Room, Besmen 1

Mari nikmati pengalaman yang penuh kemeriahan sambil menyelami bau harum, bunyi rancak dan suasana meriah gerai sate di pusat penjaja!

Sertai penulis, Far’ain Jaafar, dalam pengembaraan sastera bahasa yang menghidupkan kisah tentang keenakan makanan penjaja, ikatan keluarga dan warisan budaya kita.

Pelancaran buku
Tarikh: 24 Mei
Masa: 2:30 hingga 3:30 petang
Lokasi: Plaza, Aras 1

Taman Haiwan Di Dalam Rumah

Hujan telah merosakkan rancangan Hyder dan Luna untuk ke taman haiwan.

Jika mereka tidak dapat pergi ke taman haiwan, bolehkah mereka membawa taman haiwan kepada mereka?

Dengan sebuah kubu selimut dan sedikit kreativiti, Hyder dan Luna, mengubah ruang tamu mereka menjadi taman haiwan di dalam rumah yang paling seronok!

Sebuah kisah tentang mencari pengembaraan dan keseronokan di mana-mana sahaja kita berada.

Nuha Patah Tangan

Nuha terjatuh dari palang gayut di taman permainan hingga tangannya patah.

Oh, tidak!

Adakah dia akan dapat menggunakan tangannya semula?

Dengan bantuan keluarga yang penyayang dan seorang doktor yang sabar, Nuha memulakan perjalanan pemulihan.

Sepanjang proses itu, dia belajar bahawa tangan yang patah tidak bermakna semangatnya turut patah.

Purr-fect Bismillah and Alhamdullillah

Sertai Sara, keluarganya dan Mocha si kucing, sedang mereka berkongsi saat-saat penghargaan setiap hari.

Buku ini menawarkan pengenalan yang baik kepada perkataan bismillah dan alhamdulillah menerusi kisah menarik untuk si kecil.

Untuk maklumat lanjut, lungsuri pautan, https://afcc.com.sg