Ibu bapa yang merancang menggunakan kredit Pas Budaya SG untuk membeli buku kanak-kanak karya penulis tempatan boleh melakukan demikian di acara Jalan Buku Singapura yang sedang berlangsung.

Di pesta buku di VivoCity itu, sekitar 80 peratus daripada judul buku yang ditawarkan boleh dibeli menggunakan kredit tersebut.

Acara yang berlangsung hingga 8 November itu menghimpunkan lebih 1,200 judul karya sastera Singapura, atau SingLit, dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Pilihan buku yang dipamerkan merangkumi pelbagai genre seperti cereka, bukan cereka, puisi, fantasi, novel grafik, warisan dan pendidikan, selain karya sastera kanak-kanak yang terdiri daripada buku bergambar hingga buku cerita berbab.

Lebih 40 penerbit tempatan termasuk yang menawarkan buku Melayu iaitu Alam Cahaya, Helang Books, Little People Big Words, Proppet’s World, Pustaka Nasional dan Ungu Pen.

Dianjurkan bersama oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA), acara yang dianjurkan buat julung kali itu disifatkan sebagai pesta buku terbesar di Singapura yang dikhususkan untuk karya SingLit.

Menurut SBPA, jualan buku SingLit meningkat lebih 300 peratus sejak buku-buku tersebut layak dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG pada Mac 2026.

Kredit Pas Budaya SG $100, yang ditawarkan kepada semua warga Singapura berusia 18 tahun ke atas, boleh ditebus hingga 31 Disember 2028.

Selain berpeluang meninjau pelbagai judul buku yang ditawarkan, pengunjung juga boleh menyertai lebih 30 program sastera dan interaktif yang ditawarkan.

Ini termasuk pelancaran buku, persembahan puisi lisan dan puisi dwibahasa, persembahan puisi secara langsung menggunakan mesin taip, sesi bercerita untuk kanak-kanak serta lakaran secara langsung oleh ilustrator tempatan.

Pengunjung turut berpeluang menemui penulis dan ilustrator tempatan, selain mendapatkan tandatangan penulis menerusi beberapa sesi menandatangani buku yang diadakan.

Sekitar 80 peratus daripada judul buku yang ditawarkan di pesta buku Jalan Buku Singapura boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG.
Sekitar 80 peratus daripada judul buku yang ditawarkan di pesta buku Jalan Buku Singapura boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG. - Foto SBPA

Sate! Satay!

Sertai penulis, Far’ain Jaafar, dalam sesi bercerita interaktif yang berasaskan bukunya, Satay! Sate!. Kanak-kanak akan diajak mengambil bahagian sepanjang cerita disampaikan, dengan pelbagai peluang untuk berbual, meneka dan menyertai aktiviti yang disediakan.
Tarikh: 5 November
Masa: 6 - 6.45 petang

Pling! Pak! Bong!

Sertai penulis Nur-El Hudaa Jaffar dalam sesi bercerita Pling! Pak! Bong!. Buku ini mengisahkan tentang Azim yang mendapat tahu bahawa dia juga boleh menghasilkan muzik menerusi bunyi-bunyian yang menyeronokkan dan kisah yang menyentuh hati, kanak-kanak akan belajar bahawa setiap daripada mereka mempunyai keistimewaan tersendiri untuk dikongsi bersama orang lain. Sesi ini akan diakhiri dengan aktiviti mewarna yang akan membolehkan si kecil menghidupkan kisah tersebut menggunakan warna pilihan masing-masing.
Tarikh: 6 November
Masa: 6 - 6.45 petang

Payung Datuk Besar

Ikuti kisah menyentuh hati tentang kasih sayang dan peluang kedua yang melibatkan seorang datuk dan cucunya. Apabila payung kesayangan Datuk rosak, cucunya mula menyedari bahawa barang-barang lama dan rosak juga masih mempunyai potensi untuk dimanfaatkan dengan cara baharu. Menerusi sesi bercerita dwibahasa interaktif bersama penulis, Ainul Farhana Mohd, kanak-kanak akan meneroka pelbagai cara untuk menggunakan semula dan memberikan nafas baharu kepada payung terpakai. Mereka juga berpeluang mencoret dan menghasilkan reka bentuk payung mengikut kreativiti masing-masing.
Tarikh: 7 November
Masa: 6 - 6.45 petang

Kain Songket Ibu

Ibu Danial menghadiahkan kain songket hijau kesayangannya yang penuh kenangan kepada Danial. Dengan bangganya, Danial memakai kain tersebut ke sekolah sempena Hari Keharmonian Kaum. Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku kepada kain itu! Sertai penulis Kain Songket Ibu, Hana Mohd, dalam sesi bercerita interaktif yang mengajak kanak-kanak meneroka warna, tekstur dan corak kain songket. Peserta juga berpeluang mereka cipta corak dan motif songket sendiri!
Tarikh: 7 November
Masa: 4 - 4.45 petang

I See / Saya Lihat: Enam Deria, Satu Kisah

Sertai penulis, Maria Mahat, dalam sesi aktiviti interaktif yang diilhamkan daripada bukunya I See / Saya Lihat. Menerusi sesi ini, kanak-kanak berpeluang meneroka jalan cerita menggunakan keenam-enam deria mereka. Setiap halaman mengajak si kecil menggunakan mata, telinga dan tangan untuk turut serta dalam pengalaman membaca yang menyeronokkan.
Tarikh: 8 November
Masa: 1 - 1.45 petang

Tentukan hala tuju cerita

Dalam sesi ini, penulis dan pencerita, Norlin Samat, akan membacakan sebuah kisah yang mempunyai pelbagai jalan cerita. Namun, penontonlah yang akan mengundi dan menentukan hala tuju cerita tersebut. Adakah wira dalam cerita akan membuka pintu atau melarikan diri? Bersorak, bertepuk tangan atau angkat tangan untuk menentukan perjalanan cerita sehingga ke penghujungnya. Aktiviti menyeronokkan ini sesuai untuk seisi keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang gemarkan pengembaraan!
Tarikh: 8 November
Masa: 3 - 3.45 petang

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti