Ramai warganet yang masih tertanya-tanya bintang manakah yang menimbulkan rasa tidak selesa buat pelakon Shahid Kapoor?

Ini menyusuli kenyataan Shahid, 42 tahun, kepada laman Film Companion tentang tekanan yang dirasakannya selama setahun apabila perlu bekerjasama dengan seseorang yang tidak ‘ngam’ dengannya.

“Bagi saya, rasa selesa ketika bergandingan dengan seseorang itu penting. Saya selalu tanya kepada diri saya apakah saya ingin habiskan masa setahun dalam keadaan tidak tenang hanya kerana tenaga negatif daripada seseorang? ‘Vibe’ positif dan disiplin rakan gandingan penting. Begitu juga dengan personalitinya,” kata beliau.

Selepas membaca kenyataannya, warganet mula memberi tekaan rambang bahawa Shahid merujuk pada Ranveer Singh dan Deepika Padukone yang bekerjasama dengannya bagi filem Padmaavat.

Ada warganet yang berkata: “Apa yang berlaku dalam set filem itu kekal misteri buat saya sebab bukan sekali malah lima enam kali Shahid enggan banyak berbual tentang Ranveer dan Deepika.”

Ada juga yang merasakan orang yang membuat Shahid tertekan adalah Kangana Ranaut yang berpadu tenaga dengannya bagi filem Rangoon. Sebabnya, Kangana dikenali sebagai seorang yang payah bertolak ansur.

Entahlah ya... terus meneka sampai suatu hari jawapannya diperoleh juga.