Pelakon dan pempengaruh Malaysia, Sharifah Rose, 26 tahun, mengakui belum bersedia untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki, apatah lagi rakan seindustri.
Pengakuan itu sekali gus menolak secara halus luahan pelakon, Syafi Tee, 32 tahun, yang sebelum ini menyatakan rasa suka terhadapnya selepas mereka digandingkan dalam drama web terbaru, Jiran Tepi, Hati-Hati.
Bagi Rose, atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, dirinya lebih selesa berkawan tanpa meletakkan sebarang harapan untuk mencari pasangan dalam kalangan pelakon.
“Saya memang tidak bercadang untuk mencari pasangan daripada kalangan pelakon.
“Mungkin boleh berkawan, tetapi bukan untuk bercinta. Saya lebih selesa dengan lelaki di luar bidang seni.
“Sebagai pelakon, kita tahu kerjaya ini ada pasang surutnya, jadi sudah tentu saya mahukan seseorang yang stabil.
“Saya pun agak terkejut bila membaca kenyataan dia (merujuk kepada Syafi) di media. Saya rasa dia baik, cuma kami tidak begitu rapat pun,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Syafi atau nama sebenarnya, Mohd Syafi Mohd Ridhuan Tee, merupakan seorang pelakon yang bergiat aktif sejak 2019.
Anak kedua daripada enam adik-beradik itu merupakan anak kepada penceramah terkenal di Malaysia, Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Mengulas lanjut, Rose berkata, kenyataan Syafi mungkin berpunca daripada salah faham, memandangkan mereka hanya berinteraksi secara profesional di lokasi penggambaran.
“Saya rasa mungkin perkara itu salah faham. Dalam industri, biasalah kita ada crush (suka) pada seseorang pelakon yang kita kagumi atau mahu berlakon bersama.
“Bagi saya, Syafi seorang yang mudah bekerjasama. Tapi saya pula jenis yang buat hal sendiri di set, jadi hubungan kami pun hanya sekadar rakan sekerja.
“Dia ada cakap selesa berkawan dan berbual dengan saya, tapi soal perasaan suka itu saya tak tahu menahu,” katanya yang dikenali menerusi drama, Do You Love Me, Captain? dan Kekasih Hati Mr Bodyguard.
Rose turut menegaskan hubungannya dengan Syafi tidak lebih daripada sekadar rakan industri.
“Saya selesa berkawan sahaja. Bila habis penggambaran, saya terus balik, tidak ada masa untuk lepak atau keluar bersama.
“Kami kenal pun sebagai karakter dalam set, bukan secara peribadi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rose kembali aktif di lokasi selepas terbabit dalam drama terbaru, Doa Yang Terlindung, yang bakal menghiasi slot Akasia di saluran TV3 mulai 7 Januari 2026.
Beliau berkata projek kali ini memberikan cabaran berbeza kerana watak yang dibawakan menuntut emosi mendalam dan jauh daripada karakter ceria yang sering dimainkan.
“Selalunya saya membawakan watak romantik komedi, tapi kali ini berbeza. Karakter saya, Anisah, memiliki latar belakang berat dan penuh trauma.
“Dia melalui perubahan besar dalam hidupnya. Saya rasa watak ini cukup memberi inspirasi kerana ramai penonton boleh kaitkan dengan kisah sebenar,” katanya.
Drama Doa Yang Terlindung turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Firdaus Karim, dan Nafiz Muaz.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg