Ratu Jaz Malaysia, Datuk Sheila Majid, kesal dengan tindakan kumpulan dari British, The 1975, yang mencetuskan kemarahan ramai berhubung aksi biadab yang dilakukan menerusi Festival Good Vibes 2023 pada Jumaat lalu.
Sheila menerusi hantaran di Instagram (IG) pada Sabtu berkata tindakan kumpulan berkenaan juga berpotensi menutup ‘periuk nasi’ pelbagai pihak merangkumi penganjur, penghibur dan peminat.
“Kepada The 1975, banyak pihak kehilangan pendapatan bermula daripada penganjur, kemudiannya promoter, kru penerbitan, pemuzik, penghibur dan lain-lain kerana tindakan anda yang mementingkan diri sendiri.
“Tidakkah anda tahu berapa banyak wang dibelanjakan dan berapa bulan diperlukan untuk menganjurkan acara sebesar ini? Apatah lagi, mereka yang membeli tiket untuk menonton band lain?
“Menjadi terkenal tidak memberi anda hak untuk berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai. Walau apapun pendapat atau keutamaan jantina anda, kami tidak berminat untuk mengetahuinya,” tulis Sheila.
Pada masa yang sama, penyanyi lagu Sinaran ini menyifatkan tindakan bertentangan daripada undang-undang negara yang dilakukan anggota kumpulan berkenaan mampu memberi kesan negatif kepada pertumbuhan industri muzik tanah air, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Anda sepatutnya bermain muzik. Acara tiga hari ini sudah dibatalkan hanya kerana anda! Adakah anda dan anggota kumpulan lain bangga dengan diri sendiri atas perkara ini? Begitu ramai penghibur tidak dapat membuat persembahan kerana sikap mementingkan diri sendiri dan perbuatan bodoh anda.
“Orang seperti anda yang memberikan kesan sangat buruk kepada industri muzik. Jadikan ini sebagai pengajaran kepada semua penghibur. Hormati undang-undang negara tempat anda beraksi. Fikir sebelum bertindak kerana ia bukan hanya mengenai diri anda sahaja,” tulisnya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Fahmi Fadzil, mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga Ahad.
Encik Fahmi berkata beliau sudah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab dipamerkan oleh anggota kumpulan berkenaan di Sepang pada Jumaat.
Menerusi Festival Good Vibes 2023, vokalis The 1975, Matty Healy mempertikaikan undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan golongan pelik (LGBTQ) di Malaysia.
Healy kemudian bertindak mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bes, Ross McDonalds, di atas pentas.
Sambil memegang botol arak ketika membuat persembahan, Healy turut meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Turut memberi ulasan ringkas di Instagram adalah penyanyi asal Singapura yang kini menetap di Malaysia, Sufi Rashid. Beliau menganggap sikap The 1975 sebagai mementingkan diri sendiri dengan tindakan vokalisnya merupakan kerja bodoh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg