Sheraton JB: Hotel baru pilihan keluarga dekat CIQ untuk bercuti
Sheraton JB: Hotel baru pilihan keluarga dekat CIQ untuk bercuti
Kemudahan dan layanan mesra kanak-kanak
Setiap kali menyeberang Koswe ke Johor Bahru, Airbnb sering menjadi pilihan kerana harganya yang berpatutan dan mudah ditempah, meskipun saat-saat akhir.
Namun baru-baru ini, saya berpeluang menginap di Sheraton JB, hotel yang sering saya pandu lalu, jauh sebelum hartanah itu siap sepenuhnya.
Sebelum ini, saya hanya mampu melihat dari jauh, tetapi tidak sangka dapat bermalam di situ selama tiga hari dua malam atas jemputan pihak hotel.
Mereka yang mengambil ‘jalan tikus’ melalui Jalan Storey, Bukit Senyum untuk menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQC) Bukit Chagar, pasti akan terserempak hotel besar ini yang terletak tidak sampai lima minit jauh.
Ternyata, pengalaman di Sheraton JB sangat menyeronokkan, tambahan pula dengan kemudahannya yang serba baru, layanan baik kakitangan hotel serta sentuhan mesra kanak-kanak yang menjadikan ia tempat tinggal yang sangat sesuai buat seisi keluarga.
Setibanya saya di sana, saya tertarik dengan kemodenan teknologi di tempat meletak kereta, yang hanya mengimbas plat nombor kereta tanpa perlu untuk pemandu mengeluarkan kad ‘Touch N Go’ seperti biasa.
Setibanya di tingkat 1 hotel, saya diarahkan bahawa lobi daftar masuk terletak di tingkat 5.
Bilik saya pula di tingkat 12, dan saya diberi ‘Family Room’.
Saya terpegun dengan keluasan bilik itu – 58 meter persegi – dan susun atur bilik yang kemas.
Bilik utama dilengkapi katil ‘king’, serta kemudahan asas termasuk televisyen, peti sejuk, dan mesin membuat kopi.
Malah, terdapat meja dan tempat duduk bersebelahan tingkap, sesuai untuk menjamu selera atau santai bersama keluarga.
Ruang kegemaran saya, dan tentu sekali anak-anak saya ialah bilik kanak-kanak yang bersambung dengan bilik utama.
Hiasannya bertemakan suasana pantai dengan warna kebiru-biruan dan cengkerang laut yang menyala di dinding bilik.
Anak-anak saya pun kesukaan melihat katil bertingkat atau ‘bunkbed’ yang tersedia.
Bilik siap dilengkapi dengan jubah mandi dan selipar kecil, serta alat mewarna buat kanak-kanak.
Tandas di dalam bilik utama jumpa mempunyai tangga khas supaya si kecil dapat mencapai singki, sesuatu yang amat saya hargai.
Ciri-ciri ini walau tampak kecil, besar maknanya buat ibu bapa seperti saya.
Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu keluar bilik, tetapi penginapan di hotel ibarat tak lengkap jika tidak membawa anak-anak bermandi-manda dalam kolam renang.
Seperti biasa, terdapat kolam renang khas untuk dewasa dan juga kanak-kanak.
Namun, apa yang istimewa ialah kolam renang kanak-kanak dilengkapi taman permainan – satu kemudahan yang jarang tersedia dalam kebanyakan hotel di JB.
Terdapat beberapa gelongsor yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, ia sememangnya kejutan manis buat kami.
Memandangkan bilik saya merangkumi akses kepada Sheraton Club, saya menuju ke sana dari 5.30 petang hingga 7.30 malam untuk menjamu makanan dan minuman yang tersedia.
Namun saya diberitahu kakitangan di sana bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan masuk kerana mereka menghidangkan arak kepada tetamu hotel.
Justeru kanak-kanak sebaliknya disediakan tempat di sudut berdekatan dengan kelab tersebut, lengkap dengan ‘bean bag’, tempat duduk, alat mewarna, serta makanan dan minuman buat si kecil.
Menu kanak-kanak terdiri antaranya daripada burger ayam, cip nachos, dan popcorn.
Menu makanan di Sheraton Club lebih menarik dan pelbagai, justeru saya dan suami ulang-alik untuk membawa keluar makanan yang bagi saya lebih mengenyangkan untuk makan malam.
Keesokan pagi, saya menikmati tawaran bufet sarapan di Sheraton JB.
Menunya memang luas, dengan hidangan antarabangsa seperti makanan India dan Western, serta makanan kegemaran tempatan seperti nasi lemak dan teh tarik.
Bufet juga menampilkan keju, hirisan daging sejuk (cold cuts), salad, aneka roti dan kek, jus buah bagi mereka yang tidak mahu sarapan terlalu berat.
Apabila kami menjamu selera di situ pada 8 pagi, restorannya belum terlalu sibuk justeru kami dapat menikmati makanan dalam suasana agak tenang.
Sepanjang menginap di situ, saya sempat mencuba pilihan makanan yang disajikan di restoran Daily Social dan Soo Noodles – tetapi perlu maklum ini atas perbelanjaan sendiri – terletak di lantai lima.
Sedang Daily Social menampilkan hidangan dari seluruh dunia, antaranya steak, fish and chips, Soo Noodles pula memenuhi cita rasa tempatan melalui pilihan mi menyelerakan seperti Chilli Pan Mee.
Di tingkat sama, kafe &More menyediakan kopi bancuhan segar, pastri, sandwic, dan kek sesuai bagi mereka yang ingin menikmati snek baik di sebelah siang mahupun malam.
Secara keseluruhan, pengalaman menginap di sana amat menyeronokkan, apatah lagi bagi ibu dua anak kecil seperti saya.
Ia juga peluang untuk lari daripada kebiasaan menginap di Airbnb.
Akhirnya, ada hotel baru yang benar-benar memahami keperluan si cilik.
Namun, pusat beli-belah SKS City Mall yang bersambung dengan hotel itu masih belum beroperasi.
Oleh itu, kami terpaksa memandu keluar untuk ke pusat beli-belah terdekat.
Walaupun kemudahan di dalam hotel serba lengkap, saya berharap kawasan sekitarnya akan lebih maju pada masa hadapan.

