Topic followed successfully
Go to BHkuSi cilik berani di dapur, tidak cerewet makan
Si cilik berani di dapur, tidak cerewet makan
Ibu libat anak dua tahun beli bahan dan sedia makanan, bentuk tabiat makan sihat
Si cilik berani di dapur, tidak cerewet makan
Umurnya baru dua tahun, namun, Sarah Muhammad Zaini terlibat dalam hampir setiap langkah penyediaan makanan hariannya.
Dia mengikuti ibunya, Cik Khadijah Abdul Majid, berbelanja di pasar raya dan memilih sayur serta buah kegemaran yang diletakkan dalam bakul kecil yang dibawa dari rumah.
Di dapur, Sarah, yang berumur dua tahun empat bulan, memetik daun, mencuci sayur dan buah, serta menggaul bahan.
Dia juga memotong sayur atau buah lembut menggunakan pisau yang selamat untuk kanak-kanak.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Khadijah, 38 tahun, berkata beliau melibatkan anaknya dalam proses penyediaan makanan bukan hanya untuk mengisi masa si kecil dengan kegiatan bermakna ketika beliau sibuk memasak di dapur.
“Melihat saya memasak dan bertanya soalan tentang apa yang saya sedang sediakan menjadi detik pembelajaran yang menyeronokkan untuk Sarah.
“Selain itu, saya turut melibatkan anak saya dalam proses penyediaan makanan kerana saya mahu dia belajar kemahiran di dapur dan kemahiran berbelanja barang pasar,” kata suri rumah itu.
Sedap dipandang dan dimakan
Selesai menyediakan makanan, tiba masa untuk si kecil menikmati hasil titik peluhnya.
Makanan yang disediakan bersama ibunya cukup menarik seperti bubur oat dengan buah dan granola yang dibuat sendiri, mi sup ayam dan brownies keledek.
Tidak sekadar menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang, Cik Khadijah turut memastikan hidangan itu disajikan dengan cantik dan teratur dalam pinggan – membuat hidangan biasa seperti nasi dan lauk nampak begitu menyelerakan.
Amalan itu merupakan ilham yang diperoleh daripada pengalamannya bekerja di prasekolah Jepun di Singapura selama 12 tahun.
“Hidangan yang disediakan untuk kanak-kanak di prasekolah itu selalu dimasak segar, seimbang dari segi nutrisi, dan penyajiannya sangat menarik.
“Melihat betapa kanak-kanak di sana menikmati makanan mereka benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama untuk Sarah,” kata Cik Khadijah.
Buat masa ini, Sarah menikmati tiga sajian utama sehari diselang-seli snek berkhasiat seperti kacang, buah dan sayur kukus.
Cik Khadijah berkata selalunya anaknya makan apa sahaja yang beliau masak untuk anggota keluarga lain tanpa garam dan gula.
Untuk hidangan sedemikian, Cik Khadijah berkata orang dewasa akan menambah garam atau gula di pinggan sendiri, atau beliau akan masak lauk versi orang dewasa dalam periuk lain.
“Saya akan membuat sedikit perubahan kepada resipi biasa, seperti tidak memasukkan bahan pedas, garam dan gula.
“Saya gunakan perasa semula jadi daripada herba seperti oregano dan jintan manis, ikan bilis dan stok ayam atau cendawan.
“Makanan bayi tidak semestinya tidak berperisa. Menggunakan stok meningkatkan rasa dan menjadikan waktu makan lebih dinikmati,” kata Cik Khadijah.
Perkenal awal kepada perisa, tekstur
Berkongsi cara beliau mula-mula memperkenalkan anaknya kepada makanan pejal, Cik Khadijah berkata proses itu bermula ketika Sarah sekitar enam bulan.
Ia bermula dengan makanan mudah seperti avokado yang dilenyek dan keledek kukus yang dijadikan puri.
Ketika anaknya berumur tujuh bulan, Cik Khadijah menawarkan makanan lembut bertekstur seperti sayur kukus, buah-buahan lembut dan roti bakar.
Melihat anaknya semakin selesa dengan tekstur makanan berbeza, beliau mula menggabungkan makanan dan menyediakan puri lebih pekat.
“Apabila dia semakin ingin tahu tentang apa yang kami makan, kami membiarkannya merasai semuanya.
“Jika makanan yang ingin dicuba itu pedas atau masin, kami bilas dengan air panas terlebih dahulu,” kata Cik Khadijah.
Bermula dari umur lapan bulan, Sarah mula diperkenalkan kepada makanan yang lebih pelbagai, tidak lagi makanan yang dilenyek atau dijadikan puri.
Cik Khadijah mula menyediakan hidangan dalam jumlah besar untuk dibekukan dalam bahagian kecil.
Hidangan itu termasuk sup hati ayam dengan lobak, saderi dan ubi bit, dan sos tomato dengan daging cencang, bayam dan zukini – kedua-duanya sesuai dinikmati dengan nasi atau pasta.
Pada umur itu juga Sarah sudah mula makan sendiri menggunakan sudu dan garpu atau tangan.
Lega anak tidak cerewet makan
Buat masa ini, ibu seorang anak itu bersyukur anaknya suka makan hampir semua makanan dan berani mencuba makanan baru.
“Ini sangat memudahkan apabila kami melakukan kunjungan semasa Hari Raya atau bercuti di luar negara.
“Sarah mahu mencuba dan menikmati makanan lain tanpa banyak masalah,” kata Cik Khadijah.
“Bagi saya dan suami, kesabaran dan ketekalan adalah sangat penting. Kami selalu makan bersama dan menyatakan yang makanan itu sedap.
“Jika Sarah tidak mahu makan sesuatu yang dihidangkan, kami tidak memberinya makanan lain seperti kudapan atau biskut.
“Kami sekadar memberitahunya untuk kembali ke meja dan menghabiskan makanannya jika dia berasa lapar lagi,” tambahnya.
Cik Khadijah, yang selalu mengongsi gambar makanan yang dinikmati anaknya di media sosial, Instagram berkata, beliau tersentuh dengan maklum balas yang diberikan rakan-rakan dan keluarganya mengenai hidangan yang disediakan.
“Ramai kata mereka kagum dengan hidangan yang saya sediakan untuk Sarah, tetapi kebanyakan mereka sebenarnya suka melihat Sarah makan dengan berselera.
“Ini adalah perjalanan yang berterusan dan saya pun masih banyak belajar.
“Cuma saya berharap Sarah membesar menjadi seseorang yang berani mencuba makanan baru, menikmati setiap suapan dan tidak cerewet makan,” kata Cik Khadijah.
Panduan menyediakan makanan yang cepat dimasak:
– Gunakan dua hingga tiga bahan sahaja untuk satu hidangan sudah mencukupi.
Antara resipi yang boleh dicuba ialah: Nasi goreng bawang putih yang bahannya hanya nasi dan bawang putih, dan spageti aglio e olio yang bahannya hanya spageti, minyak zaitun dan bawang putih.
Ayam kukus atau sayur yang digoreng dalam penggoreng kering atau air-fryer pun cukup menyelerakan untuk si kecil yang masih meneroka rasa.
– Kurangkan langkah memasak dengan mengukus bahan berbeza dalam periuk yang sama.
– Untuk menambah kelazatan, gunakan stok ayam atau serbuk ikan bilis yang boleh dibeli daripada penjual seperti Anya Meals dan Lilo.
Cara kurangkan ‘stres’ waktu makan
– Lapik dada yang boleh menampung makanan yang terjatuh dari mulut atau sudu. Ini dapat memastikan pakaian si kecil kekal bersih.
– Alas meja seperti Table Tyke. Walaupun makanan jatuh ke meja, ia masih boleh diambil semula dan dimakan. Juga memudahkan kerja membersihkan meja selepas makan.
– Pinggan dan mangkuk yang tidak mudah bergerak. Mudah dan selamat digunakan si kecil.
