Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘ALL STARS GEGAR VAGANZA’

Siapa kata Hady Mirza, Aliff Aziz ‘anak emas’?

Ketua Juri, Ramli MS, puji persembahan memukau Hady, lihat Aliff gigih usaha walau buat silap
Oct 31, 2023 | 05:30 AM



Tiada istilah ‘anak emas’ yang harus diperbesar-besarkan dan dikaitkan dengan dua peserta All Stars Gegar Vaganza kelahiran Singapura, Hady Mirza dan Aliff Aziz.


Hanya kerana ketua juri, Datuk Ramli MS, dilahirkan di Kota Singa, tidak semestinya beliau memberi ruang dan peluang untuk dua penghibur itu mara tanpa usaha mereka sendiri.

Itulah yang Ramli tekankan ketika menjawab soalan dalam sidang media yang berlangsung secara ‘live’ dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di YouTube pada dinihari Isnin.

Kata Ramli, mengulas kedudukan Hady, 43 tahun, di tangga kedua pada konsert minggu keenam dengan tema ‘No Retreat, No Surrender’ (Tidak Berundur, Tidak Menyerah Kalah):


“Apa pula Hady anak emas? Memang dia sangat bagus. Bukan senang dan sangat susah baginya untuk menyanyi dengan koreografi tari yang sebegitu. Lainlah dia menyanyi sahaja dan penari yang menari. Kami bertiga (juri) sebulat suara bersetuju Hady memberikan yang terbaik pada malam ini. Lagu Hati (Hael Husaini) tu pun bukannya mudah.


“Bagi kami, tiada istilah ‘anak emas’. Kalau mereka bagus, mereka layak berada di atas. Kalau tak berikan persembahan yang terbaik, mereka boleh duduk di bawah. Kami tak pilih kasih.

“Macam ada orang cakap Aliff Aziz anak emas Astro dan juri. Kalau tak ada Zamani, dia dah keluar ‘angkat beg’. Bagi kami, seandainya seseorang itu buat yang terbaik di pentas dan dia berjaya manfaatkan tiga minit di pentas sebaik mungkin, dia layak kami beri markah lebih. Tak tahukah di atas pentas tu, ‘macam neraka’ (satu penyeksaan kalau kurang persiapan)?” ujar Ramli.

Tambahan pula, Aliff dan Hady pernah berada di tangga bawah ‘Bottom 3’ dan bukan sentiasa di dalam senarai peserta lima terbaik atau ‘Top 5’.

Beliau akur Aliff, 32 tahun, yang berada di tangga ke-11 dengan markah 62 peratus telah mencuba sebaik mungkin bagi mendendangkan lagu Arjuna, nyanyian asal band rok Indonesia, Dewa 19.


“Dia cuba sebaik mungkin saya tahu. Tapi kelemahan Aliff sampai buat silap adalah suaranya tenggelam dalam muzik. Ada acuan muzik yang tak kena dan silap sana sini. Koreografi jadi sangat susah,” tambah Ramli.

Pertandingan pada Ahad malam itu melihat Liza Hanim, 43 tahun, kekal mantap mempertahankan kedudukannya sebagai juara mingguan seperti minggu lalu, dengan markah 76.75 peratus berbekal lagu rancak Kris Dayanti, Rembulan, yang diberi sentuhan penyusunan muzik baru.


Kata Liza: “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Terus terang memang saya tak fikir tentang kedudukan saya pada malam ini. Saya cuma nak ‘enjoy’.

“Bunda Hetty Koes Endang (juri) pula buat saya terkejut apabila beliau bertanya, ‘Liza, mengapa nyanyiannya begitu?’ Saya ingat memang tak ‘pass’ tetapi rupanya dia sahaja mengusik. Alhamdulillah, persembahan saya sampai ke hatinya dan juri lain.”

Mengulas persembahan Liza, Ramli berkata ia sangat mantap dan menampilkan keyakinan diri pelantun lagu, Gelisah Mimpi itu.


“Peraduan semakin sengit. Mana-mana yang lemah dah terkeluar pada minggu-minggu sudah. Justeru, jangkakan persembahan akan menjadi lebih sengit lagi pada minggu-minggu mendatang. Saya tahu ramai yang akan pertingkat persembahan untuk beri yang lebih baik,” ujar Ramli.

Hady, yang mendapat markah 76.5 peratus dan di tangga kedua, pula kerap dipanggil ‘oppa’ (bermaksud abang dalam bahasa Korea) sejak akhir-akhir ini oleh pengacara Nabil Ahmad.

Dengan gerak tarinya yang menawan dan kot merah jambunya pada persembahan Ahad, gelaran itu memang bertepatan.

Warganet Rasidah Abdul Mansor, menulis di YouTube: “Hady Mirza ‘ada kelas’. Dia ada pakej sebagai penghibur sebab ada rupa dan ada suara. Dia sangat ‘cool’. Sangat sesuai untuk ditampilkan dengan persembahan malam.”

Mengenai Aliff pula, Safuan Zakuan berkata: “Walaupun Aliff Aziz menyanyi tak sedap malam ini, saya setuju apabila Zamani tersingkir.

“Dia nyanyi macam tak ada semangat. Semua orang tahu dia sakit tetapi tak nampak kesungguhan dia nak menang RM200,000 ($57,417)! Aliff nampak berusaha walaupun suaranya berbisik.”

All Stars Gegar Vaganza bersiaran setiap Ahad, mulai 9 malam di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >