Ketika memerhatikan pelanggan mengambil makanan di sebuah pusat penjaja, satu perkara menarik perhatian Cik Dina Eliyana Teo Muhammad Ridzwan Teo.

Walaupun sering dianggap sekadar pelengkap hidangan, ramai pelanggan sebenarnya mencapai cili terlebih dahulu sebelum mengambil suapan pertama.

Bagi Cik Dina, 25 tahun, tabiat yang kelihatan biasa itu membayangkan betapa pentingnya peranan cili dalam budaya makanan Singapura.

Setiap resipi dalam buku, ‘The Chilli Club’, disertakan dengan kisah peribadi penyumbangnya serta ilustrasi lukisan tangan yang dihasilkan oleh Cik Dina berdasarkan cerita yang dikongsikan.
Setiap resipi dalam buku, ‘The Chilli Club’, disertakan dengan kisah peribadi penyumbangnya serta ilustrasi lukisan tangan yang dihasilkan oleh Cik Dina berdasarkan cerita yang dikongsikan. - Foto DINA ELIYANA TEO MUHAMMAD RIDZWAN TEO

Pemerhatian itulah yang mencetuskan idea di sebalik buku, The Chilli Club, projek tahun akhir yang dihasilkan Cik Dina sebagai sebahagian daripada pengajiannya dalam program Sarjana Muda Seni Halus dalam Seni Reka Bentuk dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi Visual di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Minat Cik Dina terhadap makanan berakar daripada persekitaran keluarganya sendiri.

Beliau yang merupakan anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan daripada tiga beradik itu membesar dengan ibunya sebagai tukang masak utama di rumah, manakala seorang abangnya bertugas sebagai penolong cef.

“Sesuatu masakan tidak akan menjadi hidangan yang sama tanpa cili,” katanya.

Namun, bagi Cik Dina, yang menarik bukan sekadar rasa pedas itu sendiri.

Dalam negara yang kaya dengan pelbagai tradisi makanan, cili hadir dalam pelbagai bentuk, daripada sambal yang diwarisi turun-temurun hinggalah kepada resipi yang diolah mengikut cita rasa keluarga masing-masing.

Di sebalik setiap jenis sambal dan cara menikmatinya, sering tersimpan cerita tentang keluarga, latar budaya dan pengalaman hidup.

Dengan ilustrasi bergaya contengan tangan pada kulit hadapan buku yang dihasilkan, ia pada mulanya kelihatan seperti mana-mana buku resipi lain.

Buku, ‘The Chilli Club’ , menghimpunkan 11 resipi daripada 10 individu berketurunan Asia dan campuran Asia, merangkumi pelbagai hidangan dan sambal yang mencerminkan latar budaya serta pengalaman hidup penyumbangnya.
Buku, ‘The Chilli Club’ , menghimpunkan 11 resipi daripada 10 individu berketurunan Asia dan campuran Asia, merangkumi pelbagai hidangan dan sambal yang mencerminkan latar budaya serta pengalaman hidup penyumbangnya. - Foto DINA ELIYANA TEO MUHAMMAD RIDZWAN TEO

Namun, setiap muka surat mendedahkan sesuatu yang lebih daripada sekadar resipi.

Di samping 11 resipi sambal yang dikumpulkan daripada 10 individu berketurunan Asia, terselit pelbagai kisah tentang bagaimana makanan menjadi sebahagian daripada pengalaman dan kenangan hidup mereka.

Antara yang paling terkesan ialah kisah seorang mak cik berketurunan campuran India dan Cina yang berkongsi resipi sambal tumis ikan kembung.

Resipi itu turut menyingkap kembali kenangan membantu ibunya menjual cili berhampiran sebuah perhentian teksi selepas pulang dari sekolah.

Kisah seperti itu menunjukkan bagaimana makanan sering menjadi sebahagian daripada pengalaman dan kenangan hidup seseorang.

Cerita itu kemudian dikongsi menerusi sebuah bengkel memasak dan sesi merasa sambal.

Selain berpeluang merasa pelbagai jenis sambal yang dipaparkan dalam The Chilli Club, peserta turut diberi peluang menghasilkan versi sambal mereka sendiri.

Buku itu merakam kisah tersebut dalam bentuk tulisan dan ilustrasi sementara pengalaman menyediakan dan menikmati sambal bersama-sama itu pula menjadi cara untuk menghidupkannya melalui deria rasa.

“Antara perkara yang paling menyentuh hati saya adalah apabila beberapa peserta menghubungi saya selepas bengkel itu untuk berkongsi bahawa mereka telah cuba menghasilkan sambal sendiri di rumah, malah meminta petua daripada saya.”

Menerusi The Chilli Club, Cik Dina menunjukkan bahawa persoalan tentang siapa yang paling tahan pedas sering menjadi titik mula kepada perbualan yang jauh lebih bermakna.

Di sebalik rasa pedas itu tersimpan kisah tentang keluarga, budaya dan pengalaman yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain.

“Sesuatu masakan tidak akan menjadi hidangan yang sama tanpa cili... Antara perkara yang paling menyentuh hati saya adalah apabila beberapa peserta menghubungi saya selepas bengkel itu untuk berkongsi bahawa mereka telah cuba menghasilkan sambal sendiri di rumah, malah meminta petua daripada saya.”
Cik Dina Eliyana Teo Muhammad Ridzwan Teo, mahasiswi Sarjana Muda Seni Halus dalam Seni Reka Bentuk dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi Visual dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).