Persekitaran selamat diperlukan untuk anak-anak membesar dengan sempurna.
Tetapi sedang perkara itu adalah keperluan yang merentasi masa, erti ‘persekitaran’ telah berubah dari zaman ke zaman.
“Dulu, ‘persekitaran’ lebih tertumpu kepada sekitaran fizikal, orang sekeliling yang ada pengaruh terhadap anak-anak dan maklumat melalui media cetak atau televisyen dan radio.
“Namun sekarang, istilah ‘persekitaran’ termasuk alam siber, aplikasi digital, serta akaun yang boleh berhubungan dengan sesiapa sahaja, termasuk anak-anak dalam keluarga, tanpa batas,” kata pengerusi eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor.
Justeru beliau menyarankan agar ibu bapa menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak termasuk aspek keperibadian dan emosi, selain keselamatan di ruang dan media digital.
“Anak-anak perlu kenal pasti jenis dan ciri penderaan atau buli, bukan setakat dari sudut fizikal, malah dari sudut keperibadian dan emosi.
“Anak-anak perlu dibimbing untuk rasa selamat dan yakin berkongsi dengan ibu bapa serta melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai situasi buli atau penderaan yang mereka sendiri atau orang lain alami,” katanya.
Satu lagi skop ‘persekitaran selamat’ yang ibu bapa perlu bimbing anak-anak mereka adalah dalam bidang penyalahgunaan dadah – bukan sekadar yang konvensional malah dadah ‘moden’ lain.
“Bahan maklumat mengenai dadah seperti ini terdapat di ruang media alternatif dengan pendekatan ‘branding’ yang mengelirukan dengan ia diletakkan sebagai bahan penenang dan sebagainya.
“Anak-anak perlu dibimbing agar mereka tidak mudah tertipu dengan bahan terlarang sedemikian,” katanya.
Encik Mohamed Khair antara empat anggota panel yang akan membincangkan topik, ‘Bagaimana ibu bapa boleh sediakan persekitaran selamat untuk anak-anak di tengah-tengah cabaran demi mengharungi kehidupan dengan lebih yakin?’ di sidang keibubapaan percuma anjuran Berita Harian pada 2 November.
Acara berjudul, Mengeratkan Hubungan Bersama Anak, itu akan diadakan dari 2 hingga 5 petang di Pusat Konvensyen Suntec.
Selain Encik Mohamed Khair, anggota panel lain bagi sesi itu ialah penceramah motivasi, Ustazah Liyana Musfirah; pegawai kes kanan di unit penjagaan selepas (penyepaduan semula) AMP, Cik Shafiqah Ashur; dan sukarelawan IM Volunteers Network, Encik Danial Iskandar.
Menurut Cik Shafiqah, antara trend yang beliau lihat dalam kalangan belia yang terbabit dalam gejala sosial yang kurang sihat ialah kurangnya persekitaran yang menyokong dengan ibu bapa tidak mempunyai kemahiran untuk membantu belia mengatasi tabiat kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah.
“Zaman remaja adalah masa yang mencabar, dan mereka pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran seperti isu hubungan dan pengawalan tingkah laku.
“Pada masa sama, belia terdedah kepada pelbagai kandungan dalam talian yang boleh mempengaruhi pandangan dunia mereka dan seterusnya kemahiran mereka dalam membuat keputusan.
“Mempunyai persekitaran rumah yang selamat untuk membincangkan isu-isu ini membolehkan belia mendalami isu-isu tersebut secara teratur di bawah pengawasan ibu bapa,” katanya.
Justeru Cik Shafiqah berkata ibu bapa harus dilengkapi dengan pemahaman tentang pentingnya rangkaian sokongan sosial yang positif dan bagaimana membentuk rangkaian tersebut dengan keluarga mereka menjadi sesuatu yang integral dalam sistem tersebut.
Encik Danial pula berkongsi bahawa segelintir ibu bapa masih terlalu tegas dengan anak-anak mereka dan menekankan kedua-dua ibu bapa dan anak perlu memahami keperluan satu sama lain.
“Untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak, ibu bapa perlu meneroka dengan anak-anak dan ketahui apakah cabaran mereka,” katanya.
Ustazah Liyana pula berkata selain berkomunikasi, ibu bapa juga perlu mempelajari cara berinteraksi dengan anak-anak.
“Ada perbezaan ketara antara komunikasi dengan interaksi.
“Komunikasi bermakna ia adalah perkongsian maklumat. Interaksi pula bermakna memahami anak lebih daripada maklumat yang dia kongsi pada saat itu.
“Ini bermakna kita lihat pada anak kita dan dengar melangkaui perkataan yang dituturkan. Kita lihat bahasa tubuhnya, pandangan matanya dan beri perhatian penuh kepada mereka,” ujar Ustazah Liyana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg