Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simposium Mendaki: Belia Melayu/Islam utama pekerjaan baik, buru ilmu demi masyarakat

Jul 31, 2024 | 5:30 AM
Perbincangan panel semasa Simposium Mendaki bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (dua dari kiri) pada 10 Julai.
Perbincangan panel semasa Simposium Mendaki bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (dua dari kiri) pada 10 Julai. - Foto MENDAKI

Lebih 90 peratus belia Melayu/Islam berasa adalah penting untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, mempunyai kerjaya serta meraih kemahiran dan ilmu baru di luar sistem pendidikan formal.

Sekitar 90 peratus belia pula berpendapat bahawa keluarga dan peluang lebih baik pada masa depan adalah motivasi penting bagi mencapai aspirasi kerjaya dan akademik mereka.

Itu adalah antara dapatan kajian, Aspirasi Belia Islam, yang dikongsikan dengan rakan-rakan kongsi pemerintah, korporat dan masyarakat di Simposium Mendaki 2024 pada 10 Julai.

Kajian itu melibatkan lebih 1,000 responden belia Melayu/Islam dan dijalankan selama dua tahun antara April 2022 dengan Julai 2024.

Ia bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang dapat membantu atau menghindari belia daripada mencapai aspirasi akademik dan kerjaya mereka.

Dapatan kajian tersebut juga membolehkan Mendaki dan rakan-rakan kerja badan itu untuk memikirkan program yang boleh dijalankan bagi membantu belia mencapai impian mereka sekali gus membentuk masyarakat berjaya.

Dapatan kajian itu dibentangkan semasa simposium yang dihadiri Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang turut serta dalam perbincangan panel bersama hadirin.

Selain itu, kajian tersebut turut mendapati ramai belia meraih motivasi daripada individu yang berjaya dalam bidang akademik lebih-lebih lagi jika mereka daripada latar belakang yang sama.

Namun usaha untuk mencapai aspirasi tersebut boleh terjejas dengan faktor lain seperti motivasi, perancangan dan kepercayaan pada kecekapan diri atau ‘self-efficacy’.

Dapatan kajian menunjukkan program pementoran boleh memberi kesan positif kepada keyakinan diri belia untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka minati.

Menurut kajian itu lagi, motivasi mulai merosot apabila aspirasi kerjaya atau akademik tidak sealiran dengan minat belia, dan jika mereka berasa diri mereka serba kekurangan dalam usaha mencapai aspirasi tersebut.

Antara dapatan lain kajian tersebut, bantuan kewangan boleh membantu belia menjadi lebih berdaya tahan.

Sekitar 92 peratus belia yang mendapat pinjaman pendidikan Mendaki berasa mereka lebih berdaya tahan dalam mengatasi cabaran merealisasikan aspirasi kerjaya mereka.

Simposium Mendaki adalah antara acara utama yang diadakan sempena program, Raikan Ilmu, yang bertujuan menggalak masyarakat Melayu/Islam meraikan ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian daripada budaya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg