Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siri drama TV ‘Shogun’ catat sejarah, bolot 18 kemenangan piala Emmy

Sep 16, 2024 | 6:43 PM
Anna Sawai (kiri), yang membawa watak Toda Mariko dalam siri drama ‘Shogun’, memenangi anugerah pelakon wanita terbaik, manakala Hiroyuki Sanada, yang membawa watak Yoshii Toranaga dalam siri yang sama, memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik di Anugerah Emmy.
Anna Sawai (kiri), yang membawa watak Toda Mariko dalam siri drama ‘Shogun’, memenangi anugerah pelakon wanita terbaik, manakala Hiroyuki Sanada, yang membawa watak Yoshii Toranaga dalam siri yang sama, memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik di Anugerah Emmy. - Foto REUTERS

Pelakon Jepun, Anna Sawai, mencipta sejarah di Anugerah Emmy 2024 dengan mendukung gelaran wanita pertama berketurunan Asia yang merangkul anugerah pelakon wanita terbaik dalam siri drama.

Bintang yang juga seorang penyanyi dan penari itu menerima anugerah tersebut bagi wataknya sebagai, Toda Mariko, dalam Shogun.

Siri drama televisyen, Shogun, turut mencipta sejarah dengan membolot 18 kemenangan Emmy, jauh mengatasi rekod sebelumnya iaitu 13.

Shogun menjadi pemenang drama bukan berbahasa Inggeris pertama bagi anugerah yang sangat diidamkan iaitu siri drama terbaik.

Sawai ialah pelakon wanita berketurunan Asia kedua yang bersaing dalam kategori tersebut setelah Sandro Oh, yang dicalonkan empat kali bagi Killing Eve, tetapi tidak pernah menang.

“Saya menangis sebelum nama saya diumumkan, saya tak keruan dan kalut,” kata Sawai setelah naik ke pentas di Peacock Theatre di Los Angeles pada 15 September.

Dengan penuh emosi, beliau meluahkan penghargaan kepada pasukan Shogun, serta ibunya.

“Terima kasih kepada pasukan saya dan terima kasih kepada keluarga saya – ibu, saya sayang anda.

“Anda sebab mengapa saya berada di sini,” kata pelakon yang dilahirkan di New Zealand sebelum berpindah ke Jepun pada usia 10 tahun itu.

“Anda menunjukkan saya ketabahan dan begitulah bagaimana saya dapat memaparkan (watak) Mariko.

“Ini adalah untuk semua wanita yang tidak mengharapkan apa-apa dan terus menjadi contoh buat semua. Terima kasih banyak-banyak,” jelasnya lagi.

Kemenangan Sawai menyusul beberapa minit setelah Hiroyuki Sanada, yang turut beraksi dalam drama tersebut, turut dinamakan pelakon lelaki terbaik.

Sanada turut mencatat sejarah dengan menjadi pelakon lelaki Jepun pertama memenangi anugerah tersebut.

Beliau juga individu berketurunan Asia kedua untuk menang dalam kategori pelakon drama utama setelah Lee Jung-jae, yang diiktiraf dengan anugerah pada 2022 bagi wataknya dalam Squid Game.

“Ia adalah projek impian Timur-bertemu-Barat, dengan segala hormat,” kata pelakon utama veteran itu.

Shogun yang merupakan siri daripada FX yang dimiliki Disney dan berdasarkan cereka sejarah, James Clavell, menerima 25 pencalonanan secara keseluruhan – iaitu yang terbanyak.

Dengan penggambaran diadakan di Canada, ia menampilkan sari kata dan barisan pelakon Jepun khususnya.

Penerbit eksekutif, Justin Marks, berterima kasih kepada penerbit kerana melaksanakan “sebuah karya zaman Jepun yang sangat mahal, bersari kata, di mana klimaks utamanya berkisar tentang pertandingan puisi”.

Shogun adalah drama tentang penterjemahan – bukan apa yang hilang, tetapi apa yang ditemui, apabila anda lakukan mesyuarat keselamatan dalam dua bahasa, dan anda belajar untuk tidak berjalan di atas tikar tatami dengan but utiliti anda,” katanya.

Shogun juga memenangi Emmy untuk arahan terbaik bagi siri drama, di samping 14 anugerah lain yang dimenangi dalam kategori kecil sewaktu acara gala berasingan pada hujung minggu sebelumnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg