Awalnya, masih ada yang ragu-ragu apabila penggubah lagu dan penyanyi, Sissy Imann Mohammad Kamil, dipilih buat julung-julung kalinya sebagai pengacara pertandingan gah dalam industri muzik Malaysia, Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39).
Beliau dipasangkan dengan pengacara televisyen, Nazrudin Habibur Rahman (Naz), 48 tahun.
Bagaimanapun, pengalaman kali pertama mereka mengendalikan acara anugerah berskala besar itu, mendapat reaksi positif penonton kerana ramai yang kagum dengan ilmu muzik Sissy, 29 tahun, yang mampu menyuntik kelainan pada rancangan kegemaran ramai itu.
Sissy memberitahu laman web, Berita Harian Malaysia (BHM), beliau dan Nazrudin banyak berbincang dengan penulis skrip mengenai pengisian acara sebelum bertukar pandangan dengan pasukan penerbitan.
“Saya dan Naz sama-sama teliti skrip dan buat suntingan bersama penulis skrip.
“Bagi maklumat yang berkaitan karya dipertandingkan, saya rujuk pula dengan komposer terbabit,” kata pelantun lagu, Mungkin Kamu itu.
Sebaik AJL39 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Februari, netizen memuji gandingan Sissy dan Naz yang dikatakan tidak melalut, sebaliknya banyak berkongsi maklumat berguna.
Pengetahuan Sissy dalam bidang muzik turut mendapat pujian penonton hingga ada yang mencadangkan agar beliau diberi peluang mengendalikan edisi ke-40 acara anugerah berprestij itu, pada 2026.
Sissy berkata, biarpun memiliki ijazah sarjana dalam bidang muzik, beliau masih merujuk kepada pakar dalam aspek berkaitan teknikal.
“Contohnya, apabila bercakap mengenai kumpulan padu suara, saya hubungi Datuk Syafinaz Selamat untuk pastikan perkara yang ingin disampaikan betul.
“Langkah ini penting kerana tanggungjawab yang dipikul saya dan Naz sangat berat.
“Kalau kami sampaikan perkara salah, tidak seronoklah,” katanya yang bergegas terbang ke Taiwan atas urusan kerja sebaik tugasnya selesai.
Pada AJL39, komposer, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh mencetuskan kejutan apabila lagu, Hening Rindu, ciptaan mereka, yang dinyanyikan Marsha Milan, dinobat juara.
Lagu itu merupakan runut bunyi rasmi drama, Aku Bukan Ustazah, lakonan Erysha Emyra, Zahiril Adzim dan MK K-Clique.
Ikhwan, Wan Saleh dan Marsha membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 ($30,205).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg