Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M³ jaya bina batu asas kemajuan, perlu lakar langkah seterusnya

Hadapi cabaran pada awal, namun bekerjasama dengan agensi, masyarakat untuk jayakan program tingkat taraf masyarkat
Sep 27, 2024 | 3:16 PM
Gerakan M Kuasa Tiga (M³), yang menggembleng tenaga dan sumber Mendaki, Muis dan Mesra, kali pertama diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (baju merah), pada 2018 dengan tujuan memperkukuh kerjasama ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat. Gambar ini dipetik semasa acara Raikan Ilmu di One Punggol Pada Julai 2023. Bersama Encik Masagos ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri).
Gerakan M Kuasa Tiga (M³), yang menggembleng tenaga dan sumber Mendaki, Muis dan Mesra, kali pertama diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (baju merah), pada 2018 dengan tujuan memperkukuh kerjasama ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat. Gambar ini dipetik semasa acara Raikan Ilmu di One Punggol Pada Julai 2023. Bersama Encik Masagos ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri). - Foto fail

Sejak diumumkan pada 2018, gerakan M Kuasa Tiga (M³) yang menggembleng tenaga dan sumber Mendaki, Muis dan Mesra telah berusaha mempertingkat taraf masyarakat Melayu/Islam melalui program-program yang dijalankan dengan sokongan sukarelawan.

Pelbagai kemajuan telah dicapai dalam bidang seperti pendidikan dan kadar kebentanan pesalah, namun, pada masa yang sama, masih terdapat jurang yang perlu terus ditangani.

Berikut bahagian pertama daripada laporan khas dua bahagian Berita Harian (BH) yang meneliti pencapaian dan cabaran M³ sepanjang lima tahun lalu. Bahagian kedua dijadual terbit dalam Berita Minggu pada 29 September.

Tatkala gerakan yang menggembleng tenaga dan sumber Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) – dipanggil M Kuasa Tiga (M³) – dimulakan pada 2019 dan menyusuli itu, pembentukan bandar-bandar M³, beberapa pertanyaan berhubung peranan dan khidmat benar-benar ‘baru’ yang boleh ditawarkan kepada masyarakat Melayu/Islam timbul.

Antara pertanyaan yang kerap wujud adalah berkenaan kehadiran M³ yang dikhuatiri menambah lapisan pentadbir dan berpotensi bertindih ke atas usaha badan-badan Melayu/Islam dan kumpulan relawan akar umbi lain yang sudah wujud sekian lama untuk memenuhi keperluan masyarakat dalam pelbagai bidang berbeza, kata beberapa pemerhati dalam masyarakat yang dihubungi Berita Harian (BH).

Namun, penubuhan M³ tidak berhasrat melakukan sedemikian, kata beberapa pengerusi M³@Bandar dalam wawancara khas dengan akhbar ini.

Antara lain, ia menghimpunkan sumber masyarakat Melayu/Islam dan menyediakan platform untuk memadankan golongan yang memerlukan sokongan dengan bantuan yang sedia ada, dengan M³ memperuntuk sokongan tambahan sewajarnya, jika bantuan yang diperlukan tiada.

Selain kekeliruan mengenai peranan M³ pada hari-hari awalnya, terdapat juga ‘pertembungan’ dan ‘persaingan’, malah keraguan antara pertubuhan untuk bekerjasama, kongsi beberapa pengerusi M³@Bandar.

Justeru, salah satu cabaran awal relawan dan pengerusi adalah untuk meruntuhkan hambatan dan mengubah budaya yang sudah lama terpahat dalam komponen individu utama M³ – Mendaki, Muis dan Mesra – supaya semua pihak dapat berganding bahu dan bekerjasama sepenuhnya.

Buat masa ini, usaha untuk melahirkan cara kerjasama secara lebih berkesan telah mencapai sebahagian kemajuan yang diharapkan.

“(Pada awalnya) Apabila kami cuba mendekati dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi, terdapat beberapa keraguan, dan hakikat bahawa kami amat baru, orang ramai tidak begitu jelas tentang apakah yang boleh kami lakukan.

“Ia salah satu cabaran awal yang kami hadapi, tetapi saya gembira selepas beberapa waktu, kami telah dapat membuktikan diri,” kata pengerusi M³@Woodlands, Dr Noorul Fatha As’art, yang merupakan Ketua Pegawai Perubatan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Berkongsi pendapat serupa, pengerusi M³@Jurong, Encik Muhd Faizal Othman, yang juga Timbalan Pengarah, Pembangunan Halal di Muis, berkata tentangan awal terhadap program M³ adalah “perkara biasa” disebabkan gerakan itu masih baru pada ketika itu, namun melalui usaha berterusan, “kami secara bertahap-tahap meraih kepercayaan dan penyertaan masyarakat”.

Namun, tugas menambah kesedaran mengenai peranan M³ adalah satu usaha berterusan, kata beberapa pengerusi M³@Bandar.

Walaupun selepas lima tahun menjalankan kegiatan dan program, beberapa pengerusi akur sebahagian segmen masyarakat, bahkan dalam kalangan sukarelawan mereka juga pun, masih keliru dan tidak begitu jelas atau tahu tentang peranan M³.

“Kesedaran (mengenai peranan dan khidmat yang ditawarkan M³) masih satu masalah; ramai anggota masyarakat tidak sedar sepenuhnya tentang M³ dan sokongan yang sedia ada,” kata pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Mohd Azuan Tan, seorang guru sekolah menengah.

TITIK PERMULAAN

Gerakan M³ adalah daya usaha di bawah kepimpinan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang kali pertama diumumkan pada 2018 dengan tujuan memperkukuh kerjasama ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat.

Terdapat 11 M³@Bandar seluruh Singapura, yang memberi wadah kepada sukarelawan Melayu/Islam daripada pelbagai latar belakang, termasuk guru, doktor, karyawan penjagaan kesihatan dan peguam, berkhidmat kepada masyarakat.

BH telah mendapatkan pandangan daripada sembilan pengerusi M³@Bandar untuk tujuan laporan ini, manakala dua lagi enggan mengulas.

Mantan pengerusi M³@Tampines, Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang merupakan antara pemimpin masyarakat perintis dalam usaha gerakan itu, berkata M³ dibentuk bukan sebagai pertubuhan, tetapi gerakan yang menyatukan seluruh masyarakat Melayu/Islam menjadi “satu persamaan dan pasukan yang berkuasa”.

“Disebabkan penyepaduan ini, kami dapat menyediakan wadah bagi orang ramai menjadi sukarelawan. Sebelum ini, jika saya peguam atau doktor, di manakah boleh saya pergi untuk kerja sukarelawan? Saya tidak boleh pergi Muis, Mendaki atau Mesra kerana masing-masing terlibat dalam bidang khusus seperti agama, pendidikan dan seni serta budaya.

“Tetapi dengan adanya M³@Bandar, mereka ada platform untuk menggunakan kepakaran mereka dan menyumbang kepada penduduk,” kata beliau.

TINGKAT KEMAMPANAN

Sementara itu, beberapa pengerusi M³@Bandar yang dihubungi berkata pembiayaan jangka panjang bagi program yang dijalankan terus menjadi keprihatinan mereka.

Disebabkan ia bukan sebuah pertubuhan, M³ tiada dana atau bajet sendiri untuk melaksanakan sebarang projek.

Sebaliknya, setiap jawatankuasa perlu memohon pembiayaan daripada pihak agensi dan badan masyarakat bagi setiap projek yang ingin diusahakan, jelas timbalan pengerusi M³@Woodlands, Encik Harmizan Abdul Hamid.

“Untuk menjadikan wadah ini lebih stabil, perlu ada bajet yang disediakan bagi setiap bandar M³ yang diuruskan oleh platform bandar itu sendiri,” kata beliau memberi saranan.

Pengerusi M³@Tampines, Encik Jamaludin Saad, berkongsi bahawa usaha mendapatkan pembiayaan dan sumber untuk inisiatif jangka panjang sentiasa menjadi pertimbangan utama mereka.

Selain pendanaan, satu lagi keprihatinan adalah mengenai kemampanan program yang dijalankan, sama ada ia dapat bertahan untuk jangka panjang, memandangkan M³ sebahagian besarnya dikendalikan sukarelawan.

Para pengerusi berkata jawatankuasa mereka melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang M³ dan memastikan kemampanan program di bandar masing-masing.

Antaranya, Encik Azuan berkata mereka akan memberi lebih banyak tumpuan pada usaha pemasaran dan perhubungan untuk menonjolkan kejayaan program mereka supaya dapat lebih menarik penyertaan masyarakat dan sukarelawan.

Daripada melabelkan program sebagai ‘berfungsi’ atau ‘tidak berfungsi’, pengerusi M³@Jalan Besar, Encik Didicazli Ismail, pula berkata pihaknya berusaha memastikan program mereka dipertingkat secara berterusan.

“Jawatankuasa kami menyemak dan memperhalusi program supaya dapat memenuhi keperluan penduduk dengan lebih baik, dan memastikan mutu dan kerelevanan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, turut menarik perhatian terdapat satu persepsi berlarutan yang juga harus ditangani, iaitu bahawa M³ sebuah projek politik.

Antara kritikan adalah M³ dilihat sebagai ‘projek politik’ yang dimulakan penjawat politik dan mungkin boleh dibubarkan selepas penjawat politik itu tidak lagi menggalas tugas yang sama.

Ini berdasarkan daya usaha serupa yang dijalankan sebelum ini oleh pemimpin masyarakat Melayu/Islam terdahulu, seperti Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) dan Ekonomi Berteraskan Ilmu (KBE) – yang masing-masing lahir semasa kepimpinan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (2002-2018) dan Encik Abdullah Tarmugi, (1993-2002) – dan kini tidak lagi aktif dan kurang diingati.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab M³ untuk menyangkal tanggapan salah ini supaya ia meningkatkan sokongan daripada anggota masyarakat Melayu/Islam,” kata Dr Mustafa.

LANGKAH KANAN KEMAJUAN

Mengatur langkah untuk menggembleng semua pihak agar kerjasama menjadi lancar bagi memenuhi aspirasi masyarakat Melayu/Islam bagaimanapun bukan suatu perkara mudah.

Cabarannya termasuk memenuhi pelbagai permintaan di tahap bandar dan juga di peringkat setiap agensi ‘M’, serta membentuk sebuah sistem yang mampan, kata para pengerusi dan pemerhati.

Terdapat lima bidang tumpuan di bawah M³ - menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.

Sebagai contoh, Encik Mohamed Naseer Tam Abdul Aziz, 43 tahun, yang kehilangan kerja pada November 2023, berkata beliau bersyukur kerana pasukan FA4 (Bidang Tumpuan Keempat) M³ telah membantunya mencari pekerjaan baru.

“Kes saya dirujuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada M³... dan menyusuli itu, pasukan FA4 menghubungi saya dan melawat saya di rumah.

“Mereka menasihati saya cara-cara untuk meningkatkan kemahiran dan juga memberikan nasihat tentang peluang pekerjaan yang ada,” kata beliau.

Cik Mardiana Idrus, 39 tahun, memberitahu BH program eKelasMateMatika (eKMM) anjuran Mendaki yang disertainya pada 2023 telah banyak membantu dirinya dan membangunkan kemahiran anaknya dalam mata pelajaran matematik.

“Anak saya ketika itu masih di prasekolah dan saya tidak mahu anak saya ketinggalan kelak bila dia memasuki sekolah rendah. Justeru, saya mendaftar untuk eKMM untuk belajar bagaimana saya dapat membimbing anak saya dalam matematik. 

“Kini, saya dapat lihat perubahan yang ketara dalam anak saya dan dia boleh membuat latihan kerja sekolah dengan sendiri tanpa bimbingan daripada saya,” kata beliau.

Sesungguhnya, setiap M³@Bandar perlu mendekati golongan penduduk yang berbeza, daripada warga emas hingga ke anak-anak muda, kerana latar belakang dan keperluan setiap kumpulan itu amat berlainan, tambah beberapa pengerusi.

Terdapat juga keperluan memastikan daya usaha yang dijalankan di peringkat bandar tidak menduplikasi program sedia ada, di samping mendapatkan sokongan rakan-rakan, sukarelawan dan masyarakat.

Walaupun mencabar, setiap pihak bekerjasama untuk mengatasi segala hambatan demi mencapai hasil yang diinginkan dalam membantu mempertingkat taraf masyarakat Melayu/Islam.

Dan hasilnya positif dan memberangsangkan sepanjang lima tahun sejak gerakan M³ dimulakan.

Para pemerhati berkata program M³ – seperti KelasMateMatika (KMM), #amPowered, Fitrah, Bersamamu, dan Jaga Kesihatan, Jaga Ummah – menunjukkan peningkatan ketara dalam bidang termasuk pendidikan, kadar kebentanan pesalah, kesihatan dan kadar perceraian dalam masyarakat Melayu/Islam.

Setiap M³@Bandar juga mempunyai program tersendiri yang memenuhi keperluan penduduk mereka.

Misalnya, Projek Dian di kawasan seperti Jalan Besar menyokong keluarga yang tinggal di flat sewa awam; program Back To School di Pasir Ris-Punggol menyediakan barang keperluan sekolah dan khidmat sokongan kepada keluarga dengan anak-anak; dan Kelab Kesihatan Woodlands pula mengajak penduduk bersenam dan hidup sihat bersama.

Pemerhati, Dr Mustafa, berkata M³ telah “menentang pengkritik dan skeptiknya, dan melepasi jangkaan dalam mewujudkan modal sosial dan intelektual bagi masyarakat Melayu/Islam dalam era digital”.

Gerakan itu juga telah menarik minat generasi muda untuk memulakan projek kolaboratif dan menyumbang kembali kepada masyarakat, tambah beliau.

Mantan pengerusi AMP, Encik Azmoon Ahmad, pula berkata salah satu petunjuk kejayaan M³ yang sangat jelas adalah pencapaiannya dalam menarik asatizah menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

“Masyarakat Melayu/Islam sangat berakar dengan amalan agama dan dalam cara masalah ditangani dan diselesaikan. Tanpa penglibatan asatizah, saya tidak rasa ini boleh dicapai untuk jangka masa panjang,” kata beliau.

MEMANDANG KE HADAPAN

Meskipun sudah menunjukkan kejayaan dalam beberapa aspek dalam masyarakat, para pengerusi dan pemerhati berkata M³ ‘masih lagi muda’ dan banyak lagi tugas perlu dilakukan untuk terus mempertingkatkan masyarakat.

Encik Azmoon berkata soalan utama hari ini adalah sama ada sistem pendidikan semasa dapat mempersiapkan masyarakat untuk landskap masa depan, lebih-lebih lagi dengan evolusi global baru yang dipacu teknologi dan globalisasi.

Pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, pula berkata masih ada cabaran, terutamanya dalam pekerjaan dan mobiliti sosial, dengan masyarakat Melayu/Islam menghadapi jurang pendapatan dan penempatan kerja jika dibandingkan dengan kumpulan etnik lain.

Beliau menyarankan agar latihan penilaian ke atas program M³ dapat dijalankan untuk meneliti keberkesanannya dengan lebih terperinci.

“Ini mungkin melibatkan tinjauan kerap untuk menilai keperluan masyarakat dan memantau hasil program, termasuk kadar pekerjaan, pencapaian pendidikan, dan peningkatan kesihatan.

“Usaha berkongsi hasil ini secara telus boleh memupuk kepercayaan dan membolehkan M³ menyesuaikan strateginya berdasarkan data masa nyata,” kata beliau.

Encik Abu Bakar pula berkata langkah ke hadapan bagi M³ sekarang adalah untuk meneliti semua kemajuan yang telah dibuat dan memperkukuhkan strateginya untuk masa depan, terutamanya dengan peranannya dalam usaha nasional seperti gerakan Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura) yang diterajui Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Perlu ada fasa pengukuhan dan lihat pada apa yang perlu diperbaiki. Sekarang M³ perlu memikirkan apakah langkah seterusnya,” kata beliau.

“Apabila kami cuba mendekati dan bekerjasama dengan rakan kongsi, terdapat beberapa keraguan, dan hakikat bahawa kami amat baru, orang ramai tidak begitu jelas tentang apakah yang boleh kami lakukan...tetapi saya gembira selepas beberapa waktu, kami telah dapat membuktikan diri.”
Dr Noorul Fatha As’art, pengerusi M³@Woodlands.

“Sebelum ini, jika saya peguam atau doktor, di manakah boleh saya pergi untuk kerja sukarelawan? Saya tidak boleh pergi Muis, Mendaki atau Mesra kerana masing-masing terlibat dalam bidang khusus seperti agama, pendidikan dan seni serta budaya. Tetapi dengan adanya M³@Bandar, mereka ada platform untuk menggunakan kepakaran mereka dan menyumbang kepada penduduk.”
Encik Abu Bakar Mohd Nor, mantan pengerusi M³@Tampines.

“Jawatankuasa kami menyemak dan memperhalusi program supaya dapat memenuhi keperluan penduduk dengan lebih baik, dan memastikan mutu dan kerelevanan.”
Encik Didicazli Ismail, pengerusi M³@Jalan Besar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg